
FILEM ini berjaya mendapat anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22. Lebih daripada itu, Liyana Jasmay berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik manakala Afdlin sebagai Pengarah Terbaik untuk filem yang sama.
Maka adakah anda rasa patut melepaskan filem ini? Jawapannya tidak! Filem yang wajib ditonton ini mempamerkan mesej yang kuat dalam setiap watak.
Ia sebuah cerita tentang seorang lelaki, Papadom, yang mencuba pelbagai cara untuk melihat kegiatan harian anaknya, Miasara. Malah dia masih menganggap anaknya adalah Mia yang baru lahir dan mengenal dunia.
Mungkin ada yang berpendapat jalan cerita ini terlalu biasa iaitu kisah seorang bapa yang sayangkan anaknya dan cuba mengongkong perjalanan hidupnya. Namun, cara penyampaian dan olahan cerita menjadikan visualnya tampak segar dan mempesona.
Ditambah pula dengan kekuatan skrip yang bersahaja dan dibawakan dengan semula jadi oleh barisan pelakon, filem komedi ringan ini sarat dengan mesej kekeluargaan dan kasih sayang.
Jalinan emosi kasih dan sayang antara watak-watak menerusi lakonan Liyana Jasmay, Que Haidar, Afdlin shauki, Vanidah Imran, Nur Khiriah, Farid Kamil dan Scha jelas terpancar di setiap sudut filem ini.
Sesuatu yang pasti tentang karya layar perak Afdlin Shauki adalah skripnya yang memikat. Malah ia begitu terkesan dan mampu menjadi bahan ingatan buat penonton untuk berlucu sebaik saja selesai menontonnya.
Komen Sofia: Terkenangkan peristiwa sewaktu zaman nakal-nakal dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: