![]() KAK Yan dan keluarga menyiapkan sajian berbuka untuk tetamu. |
Sajian kampung sambut teman aktres tersohor dalam satu majlis berbuka di kediamannya di Bandar Utama
MEMASAK bagaikan satu terapi buat aktres bernama Azean Irdawaty Yusoef, 59. Meskipun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Azean atau Kak Yan tidak pernah menjadikan penyakit kanser payu dara yang dihidapi lebih hampir dua tahun itu sebagai penghalang untuk ke dapur.
Walau dalam kepayahan kerana pergerakan yang terbatas, sebagai wanita, Kak Yan sentiasa memastikan dapurnya berasap. Malah sikap rajin turun ke dapur turut diperturunkan kepada dua anak daranya Elza Irdalyna, 22, dan Inessa Irdayanty, 19.
Lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan, jika tiada undangan majlis berbuka puasa di luar, aktres yang pernah memenangi beberapa anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia sejak 80-an lagi lebih senang memasak dan berbuka di rumah saja bersama suami Khairil Anwar serta anak-anak.
“Kak Yan lebih suka memasak sendiri daripada beli makanan di luar kerana selalunya makanan luar rupanya saja yang cantik tetapi rasanya tak seberapa. Lebih baik masak sendiri janji kita puas hati,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Utama, baru-baru ini yang mengundang beberapa rakan karibnya berbuka puasa puasa.
Kata Azean, sudah lama dia berhajat memasak untuk teman baiknya tetapi dek kerana kesibukan masing-masing, hasratnya itu beberapa kali tertangguh. Setelah beberapa tahun merancang, hasrat itu terlaksana juga tahun ini. Jelas tergambar kegembiraan di wajah pelakon Esok Masih Ada, Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan dan banyak lagi itu apabila rakan-rakan dapat berkumpul di rumahnya.
![]() |
| SAJIAN berbuka puasa dihasilkan Kak Yan memang enak dan menyelerakan. |
Oleh kerana amat berbesar hati dengan kunjungan rakannya, Kak Yan menyediakan menu cukup istimewa berkonsep ala kampung. Antara menu disediakan Kak Yan seperti sambal udang petai, ikan patin masak tempoyak, sambal belacan, ikan pekasam, kerabu tembikai, ulam-ulaman dan bermacam lagi juadah membuka selera yang kebanyakannya resipi turun-temurun daripada neneknya.
Bukan saja menunya ala kampung, makanan yang dimasak sendiri aktres itu turut dihidang dengan gaya kampung. Nasi diletakkan di dalam nyiru, lauk pauk berkuah pula diletakkan dalam periuk tanah dan sambal belacan pula yang diletakkan dalam lesung batu.
Bagi menyediakan semua menu berkenaan, Kak Yan ditemani Abang Karl sejak awal-awal pagi lagi sudah ke pasar mencari bahan masakan. Sementara ikan patin pula datang dari jauh iaitu Pahang yang ditempah dari seorang rakan termasuk tempoyaknya sekali, semata-mata kerana terlalu gembira meraikan kehadiran rakan.
“Kalau nak memasak untuk berbuka, biasanya selepas solat Zuhur, Kak Yan dah masuk ke dapur buat persiapan perlahan-lahan. Sebelum itu, Kak Yan akan minta anak-anak ataupun suami keluarkan dulu kelengkapan sebab Kak Yan tak boleh terlalu banyak menunduk.
“Di dapur Kak Yan memang diletakkan sebuah meja kecil kerana Kak Yan tak boleh duduk di bawah. Jadi kalau nak memotong apa saja, semuanya dilakukan atas meja. Kalau Kak Yan memasak seorang, selepas Zuhur Kak Yan dah mula ke dapur tetapi jika ada anak-anak ada, Kak Yan lewat sikit sebab mereka ada untuk membantu. Bagaimanapun, mereka bukannya selalu dapat membantu sebab masing-masing sibuk. Elza sibuk dengan kerjanya sementara Ines pula sibuk dengan pengajian di kolej.
“Walaupun masing-masing sibuk, alhamdulillah kami berkesempatan juga berbuka puasa bersama-sama termasuk anak sulung Kak Yan iaitu Benjy pada Ramadan pertama yang lalu,” katanya.
Menjadi kelaziman juga setiap kali bulan Ramadan, aktres itu akan mengadakan majlis buka puasa dan tahlil sebanyak tiga kali di kediamannya. Majlis tahlil yang pertama diadakan khusus untuk ahli keluarga sebelah suaminya, manakala yang kedua khusus untuk bapanya dan ketiga untuk arwah ibu pelakon itu.
Kata Azean, sebagai anak sulung, dia berasa bertanggungjawab mengadakan tahlil untuk ahli keluarganya. Selain itu, inilah saja masanya dapat dia mengumpulkan semua sanak saudara kerana perkara itu sukar dilakukan pada hari raya lantaran memahami adik beradik serta ipar duai tentunya mempunyai perancangan masing-masing pada hari berkenaan.
“Waktu raya kami susah sikit nak bersatu, maklumlah masing-masing ada keluarga sendiri. Jadi, Kak Yan sengaja buat majlis tahlil di bulan Ramadan kerana tak mahu ganggu aktiviti mereka di hari raya. Selain itu, Kak Yan sengaja mengadakan majlis sebegini supaya anak-anak dapat kenal saudara mara mereka. Jika tidak dilakukan aktiviti sebegini, mereka takkan kenal saudara-mara serta sepupu sendiri,” katanya.
Biarpun keadaan kesihatannya tidak lagi seperti dulu, namun darah seni yang mengalir dalam jiwa aktres ini masih belum pudar. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir tidak banyak tawaran berlakon yang diterima Kak Yan. Kali terakhir dia berlakon adalah dalam filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Walaupun mengakui jiwanya masih lagi kuat ingin berlakon, namun Azean berkata dia tidak mahu menyusahkan pihak produksi ketika di set penggambaran berikutan kesihatannya yang tidak begitu baik.
“Kalau ikutkan memanglah Kak Yan mahu berlakon lagi tetapi Kak Yan takut menyusahkan orang ketika di set, maklumlah Kak Yan tidak lagi seperti dulu. Kalau nak terima sekalipun, kenalah watak yang tak perlu Kak Yan bergerak terlalu banyak,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: