
GERARD James Butler mungkin tidak berada dalam senarai aktor paling popular di Amerika Syarikat, namun hakikatnya dia bukanlah muka baru di Hollywood.
Jejaka kelahiran Scotland berusia 39 tahun itu sebenarnya pernah terlibat dalam filem seperti 300, The Phantom of the Opera, Lara Croft Tomb Raider: The Cradle of Life, P.S. I Love You, Nim's Island dan RocknRolla.
Gerard mula menceburi bidang lakonan apabila mendapat watak pertamanya menerusi pementasan Coriolanus (versi teater Trainspotting). Dia hanya menembusi pasaran filem dengan memegang watak Archie Brown untuk filem Mrs. Brown (1997) bersama Judi Dench dan Billy Connolly.
Pada tahun sama, Gerard terlibat dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies. Perjalanan karier Gerard amat lancar dan terlibat dalam sekurang-kurangnya dua filem setahun.
Bakal dilihat menerusi filem Law Abiding Citizen, Gerard terlebih dahulu akan menghiburkan peminat dengan karya The Ugly Truth dengan memegang watak sebagai Mike Chadway.
Diterbitkan oleh penerbit filem Legally Blonde, menariknya filem itu ditulis oleh tiga wanita, Karen McCullah Lutz, Kirsten Smith dan Nicole Eastman. Dirakamkan di California, filem itu turut dijayakan oleh Katherine Heigl (Abby Richter) dengan menelan bajet AS$38 juta (RM134 juta).
Bagi mendalami pengalaman dan cerita romantik moden The Ugly Truth arahan Robert Luketic, ikuti petikan temu bual Gerard yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).
Apakah definisi seksi untuk anda?
GERARD: Saya akan melihat seorang wanita yang memakai skirt pendek dan tertanya-tanya mengapa dia berbuat sedemikian. Ia kelihatan bodoh. Sebenarnya seksi bergantung kepada bagaimana wanita itu membawa dirinya. Ini kerana bagi saya, penampilan seksi itu hanya mampu bertahan selama tiga saat. Seorang wanita bagi saya boleh menjadi seksi dengan pelbagai cara berbeza.
Adakalanya dia seksi kerana cara perwatakannya sendiri. Adakalanya dia seksi kerana pendapat yang diluahkan atau pemikirannya. Dia juga boleh menjadi seksi dengan cara dia mengejutkan saya atau hanya dengan perasaan cinta. Adakalanya saya juga menghargai wanita yang tahu bila untuk berhenti bercakap (ketawa).
Jadi apakah elemen penting bagi seorang wanita yang ingin mendapatkan perhatian anda?
Dia perlu ada sifat humor dan spontan. Saya juga lemah apabila bertemu dengan wanita yang baik hati. Mereka akan mencairkan hati saya dan saya mahu memeluk mereka.
Pada pandangan anda, siapakah yang lebih jujur jika dibandingkan antara wanita dan lelaki?
Saya tidak tahu. Rasanya kaum wanita. Lelaki lebih ringkas serta asli dan itulah kejujuran. Tetapi pada masa yang sama, lelaki suka berbohong tentang banyak perkara dan wanita tidak dapat mengetahuinya. Jika wanita tahu separuh daripada apa yang sedang difikirkan oleh lelaki, mereka mungkin ialah gay.

Adakah lelaki lebih mudah dilukai?
Rasanya mungkin kerana mereka kekurangan 'tempat' untuk meluahkan perasaan dan bercerita mengenai kelemahan mereka. Adalah sukar untuk lelaki bercerita mengenai kelemahan mereka di hadapan wanita kecuali anda mempercayai orang itu kerana lelaki selalunya mahu mengekalkan imej sempurna.
Mereka juga tidak boleh merungut di hadapan lelaki kerana mahu menjadi lelaki macho. Lelaki juga tidak dapat meluahkan perasaan kepada kawan baiknya. Bukan semua lelaki bersikap sedemikian tetapi sebahagian besar daripada mereka bersifat ego. Wanita pula boleh bercerita dengan kawan mereka atau lelaki.
Ramai orang mungkin tidak bersetuju tetapi dalam filem The Ugly Truth, Mike ialah seorang yang suka mendengar masalah orang. Dia mungkin seorang yang amat yakin dengan pendapatnya tapi dia seorang pendengar yang baik.
Adakah anda pandai memberikan nasihat?
Ya. Apabila saya memberikan nasihat, saya memberikan reaksi melampau. Maksud saya, saya akan bertanya pelbagai soalan dan mereka akan terkejut melihat respons saya.
Dalam filem The Ugly Truth, Mike ada memberitahu Abby bahawa semua orang perlu memahami diri sendiri dahulu sebelum orang lain boleh memahami anda. Adakah anda juga berpendapat sedemikian?
Saya setuju. Semasa Mike mengajar Abby untuk menjadi seksi, saya memberitahu dia bahawa wanita perlu memahami seksualiti dan badan mereka. Perkara yang sama juga untuk lelaki memahami badan wanita dan wanita perlu memahami badan lelaki.
Filem itu menggambarkan konsep menarik mengenai berita TV zaman moden ini. Kita selalu berpendapat medium itu hanya untuk berita dan informasi. Abby cuba untuk menerbitkan satu program yang memberikan sentuhan tempatan tetapi dalam realitinya penonton mahukan kontroversi.
Kenapa kita perlu duduk menonton TV berjam-jam dan melihat seseorang tidur?
Tiada babak seksual yang dipaparkan tetapi ada yang menarik semasa babak tarian Latin.
Adakah anda terkejut momen tarian itu bertukar menjadi begitu menggoda?
Sebenarnya saya amat terkejut dengan hasilnya. Saya mengambil beberapa kelas sebelum penggambaran dan Katherine sudah tahu tarian itu.
Pada mulanya saya ingat saya akan mempunyai masalah mengingati gerak tari tetapi apabila kami memulakan rakaman, saya terus menari. Babak tarian itu adalah saat sempurna untuk filem itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: