Saturday, September 12, 2009

Tidak boleh diselamatkan lagi!




SEJAK pertengahan Ramadan lalu, tiba-tiba sahaja nama penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 25, hangat diperkatakan media apabila dia membuat pengakuan telah diceraikan oleh suaminya yang juga seorang pelakon, Mohd. Faizal Yusop, 31, setelah tiga tahun berkahwin.

Mereka yang bernikah pada 28 April 2006 telah dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lima bulan.

Dalam laporan berita sebelum ini, Nana memberitahu dia telah berpisah dengan suaminya pada 26 Ogos lalu dengan talak dua melalui telefon. Lebih mengejutkan, Nana juga memberitahu sebelum itu Faizal pernah melafazkan talak satu terhadap dirinya pada awal Ogos.

Bagaimanapun Nana menolak sekeras-kerasnya dakwaan campur tangan orang ketiga menjadi punca utama keretakan rumah tangga mereka berdua sebaliknya mengatakan tidak ada persefahaman sebagai punca utama penceraiannya.

Bagi mendasari lebih lanjut perasaan dan isi hati ibu muda itu di kala mengharungi ujian paling getir dalam hidupnya dan persediaannya memikul gelaran ibu tunggal dalam usia yang begitu muda, ikuti temu bual Nana bersama Kosmo! baru-baru ini ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Noraniza Idris Production Ventures di Ampang.

Kosmo!: Ramai yang terkejut apabila mendengar berita penceraian Nana dan Faizal, tetapi mengapa tidak tunggu selesaikan penceraian ini selepas raya?

NANA: Sebab saya memang tak boleh tunggu. Lagipun dia dah ceraikan saya. Jadi buat apa saya perlu menunggu lagi. Saya dah hubungi mahkamah syariah dan disarankan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

Sejak awal perkahwinan lagi terdapat banyak cerita kurang manis tentang kalian, apakah benar khabar angin kononnya Faizal ada teman wanita lain?

Tidak juga. Kalau nak ikutkan dari dulu ramai orang cakap dia ada teman wanita lain dan hubungan kami tidak mampu kekal lama. Kalau betul dia ada orang lain, kenapa baru sekarang kami bercerai setelah tiga tahun berkahwin.

Apakah pula kata keluarga Nana?

Kalau boleh mereka nak saya berbaik semula dan hidup bahagia macam perkahwinan orang lain. Tetapi perkahwinan kami memang tidak boleh diselamatkan lagi walaupun masing-masing ada usaha untuk mempertahankan mahligai ini dan memikirkan tentang anak.

Adakah terdetik perasaan Nana untuk kembali bersama Faizal?

Setakat ini belum ada lagi. Ini nekad saya. Tetapi tak tahu akan datang macam mana pula. Keputusan ini dibuat atas persetujuan kami bersama dan saya pernah cakap kepada dia kalau dah tak boleh nak hidup bersama, baik awak lepaskan saya. Pada awalnya, lepas cerai dua minggu saya tidak sanggup nak tengok muka dia.

Adakah itu bermakna anda berdua tidak boleh berkawan selepas bercerai?

Tidaklah sampai begitu, lama-kelamaan kami okey dan berkomunikasi seperti biasa walaupun sudah tiada ikatan lagi. Hubungan kami sekarang sebagai sahabat dan kami bergilir-gilir jaga anak.




Adakah wujud sebarang pertengkaran?

Kecil itu adalah tetapi tidaklah sampai pertengkaran yang besar-besar sangat sebab Faizal baik. Cuma kami ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Saya tidak boleh ikut kemahuan dia dan Faizal juga tidak boleh ikut kemahuan saya. Kita sebagai manusia biasa tidak boleh nak nilai orang. Dalam baik Faizal ada sikit buruknya, begitu juga saya. Masing-masing ada kelemahan.

Sehingga detik ini, apakah Nana merasakan perkahwinan ini satu kesilapan?

Bukan satu kesilapan. Ia jadi pengajaran untuk saya dan Faizal. Saya nak teruskan hidup dan besarkan anak serta bantu keluarga lepas ini. Saya tidak pernah menyesal kahwin dengan dia. Faizal ajar saya jadi kuat dalam mengharungi hidup dan mengenali kehidupan dengan lebih mendalam.

Nana sudah bersedia pikul gelaran ibu tunggal dalam usia muda?

Insya-Allah saya masih sihat dan muda lagi. Kalau bercerai dalam umur 40 tahun lagilah susah. Sekurang-kurangnya saya ada kerja tetap dan boleh teruskan bidang nyanyian. Saya mahu berdiri sendiri selepas ini tanpa kehadiran lelaki bernama suami. Lepas ini saya mahu buat kemunculan semula.

Tidak rasa janggal bila hidup sendirian?

Memang terasa sikit awal-awal sebab semua kerja sekarang kena buat sendiri dan dibantu oleh emak. Contohnya masukkan kereta sorong anak saya buat sendiri kerana sebelum ini Faizal yang tolong buatkan.

Ada yang hairan, kenapa sampai talak dua?

Ada sebab tertentu dan saya tidak boleh beri komen.

Boleh kongsi situasi Nana bila Faizal jatuhkan talak?

Masa itu saya sudah kuat sikit sebab kami sudah lama tidak duduk sekali. Saya pun sudah jangka perkara ini akan berlaku sebab sebelum itu saya telah bersembahyang istiqarah beberapa kali dan petunjuk jelas ke arah perpisahan kami berdua. Lagipun pada bulan Mei lalu saya macam ada perasaan bahawa hubungan ini tidak boleh diselamatkan lagi. Saya reda dan pasrah.




Apa yang membuatkan Nana tabah mengharungi semua dugaan ini?

Dua bulan lalu memang saya menangis dan sedih sangat bila fikir tentang penceraian. Orang telefon saya tidak jawab. Tetapi sampai bila saya harus bersedih? Hidup kena diteruskan. Kini, saya jadi kaunselor pendidikan di Kolej Universiti PJ. Emak tolong jaga anak di rumah buat sementara waktu manakala bapa jaga rumah di kampung.

Nampaknya sekarang Nana lebih terbuka bercerita soal peribadi ya?

Terus-terang saya tidak buka pekung di dada. Cuma nak beritahu apa yang berlaku, jadi tidak timbul sebarang fitnah kemudian hari. Bagi saya, sikap terus-terang lebih mudah. Harap dapat membuang persepsi negatif orang lain sebelum ini tentang saya dan Faizal.

Sebelum ini memang Nana ada niat nak sembunyikan penceraian ini?

Saya akui memang sebelum ini saya tidak angkat telefon pihak media sebab kalau boleh nak rahsiakan hal ini tetapi nak buat macam mana, ramai orang dah tahu. Kini saya perlu jelaskan dan sudah bersedia untuk berdepan dengan orang ramai dan pihak media.

Adakah anda selesa kekal sebagai kawan daripada menjadi seorang isteri?

Perkara sudah jadi, saya reda. Faizal masih kawan saya dan dia seorang bapa yang bertanggungjawab serta kami bergilir-gilir menjaga anak kami. Rasanya lebih baik kami hidup seperti ini, jadi kawan sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: