Mendiamkan diri selama setahun lebih selepas memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap bekas isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru, 28, pada 22 Februari 2008, Beego tidak memilih untuk menghilang terus daripada industri lakonan.
Dalam jangkamasa itu, Beego yang turut menyelesaikan kes penceraiannya pada Mac lalu sebenarnya mengambil masa untuk menenangkan diri.
Melawat Thailand dan Singapura selain menghabiskan kebanyakan masa bersama ibu bapanya di Johor Bahru, Beego turut memerlukan masa untuk mencari kekuatan diri.
Kehilangan sementara itu juga kerana dirinya tidak sanggup berdepan dengan soalan-soalan 'pedas' yang bakal ditanya orang ramai. Maka, apabila merasakan dirinya sudah bersedia, Beego mula menerima tawaran lakonan sejak Februari lalu.
"Selepas merasakan diri sudah bersedia dan menerima tawaran yang banyak, saya membuat keputusan untuk kembali bekerja. Kesungguhan pengarah filem Libas, Jurey Latiff mencari saya juga menjadi punca mengapa saya kembali berlakon.
"Saya juga terlibat dengan penggambaran drama Cuci yang ditayangkan di RTM. Selain daripada itu, Aziz M.Osman turut menawarkan saya untuk berlakon dalam filemnya, CE1 serta telefilem, Tragedi Malam Raya untuk tayangan TV3," kata Beego ketika ditemui pada majlis Inspirasi Lebaran TV3 dan Riang Ria TV9.
Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszarul Nizam Abdullah, 29, memberitahu masa keseorangan itu juga telah mengajar dia erti kehidupan, kepercayaan dan takdir.
Oleh itu, jika Beego bakal menerima nasib yang sama pada masa akan datang, dia sudah mempunyai pengalaman.
"Mungkin selepas ini saya yang mempunyai pengalaman akan lebih bersedia menghadapi cabaran dalam krisis hubungan cinta. Tapi ini juga tidak bermaksud saya lebih senang menerimanya. Kini saya amat bersyukur kerana mempunyai keberanian untuk meneruskan perjalanan hidup saya secara biasa.
"Saya kini lebih berdikari dan sentiasa mencari jalan penyelesaian kepada setiap masalah. Apa yang utama adalah mengamalkan sikap bermaaf-maafan dan sedia melupakan kisah sedih," tambahnya yang sedang merakamkan tele-filem Segi.
Perkahwinan pasangan itu pada 28 Disember 2007 di Bandar Baru UDA, Johor Bahru hanya mampu bertahan selama empat bulan walaupun mereka bercinta selama sembilan tahun. Maka, perpisahan itu bukan sesuatu yang senang untuk diterima.
Malah, kenyataan itu membuatkan Beego hampir mahu mengambil nyawanya sendiri. Ini kerana, hati Beego tidak pernah menyangka atau berfikir institusi cintanya akan menerima nasib sedemikian.
Namun, dia bernasib baik kerana di sepanjang kemelutan itu, ramai kawan sejatinya tampil memberi sokongan padu. "Saya amat bertuah kerana kawan-kawan saya berada di sisi saya pada saat-saat saya memerlukan mereka.
"Bukannya saya tidak boleh berkongsi dengan ibu saya tetapi saya lebih selesa bercerita dengan kawan-kawan saya. Pada saya, ibu hanya akan menasihati saya tetapi kawan-kawan saya pula akan memahami perasaan saya.
"Ini kerana ada di kalangan mereka yang pernah melalui pengalaman sama. Apa pun, saya amat terharu kerana mereka adalah orang yang membantu saya mengharungi saat-saat genting itu," ujar Beego.
|
|
Belum serik untuk bercinta semula, kali terakhir Beego berjumpa dengan Intan adalah semasa di mahkamah.
Namun, Beego sehingga kini masih memakai cincin perkahwinan mereka kerana tidak sampai hati untuk membuangnya. Lagipun perpisahan itu bukan sesuatu yang senang untuk dilupakan.
"Macam mana saya boleh buang begitu sahaja cincin itu? Saya tidak dapat berbuat sedemikian. Rasanya satu-satu cara untuk saya melupakan kisah cinta lama saya adalah dengan berkahwin semula.
"Pernah suatu ketika saya berfikir untuk tidak mahu bercinta semula tetapi sampai bila saya perlu bersedih? Hidup perlu diteruskan dan perpisahan adalah lumrah hidup. Ia adalah ujian Tuhan yang saya kena laluinya," jawab Beego yang popular menerusi drama Puteri.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak atas perpisahan itu, Beego memberitahu dia dan bekas isterinya tidak meminta takdir perpisahan berlaku kepada hidup mereka.
Kini dengan hidup 'baru', Beego mengaku hatinya sudah terbuka untuk menerima cinta baru. Tapi dia merasakan tidak ramai wanita yang berani mendampinginya.
"Siapalah yang nak kat saya? Walaupun saya tidak kisah untuk bercinta, tapi kini saya masih solo. Mungkin disebabkan ramai orang takut kepada saya, maka saya masih keseorangan. Dia orang mungkin rasa saya jahat. Ditambah dengan saya yang agak pemalu dan penyegan, jadi agak sukar untuk saya berkenalan dengan wanita.
"Tapi apa yang utama adalah jika saya ingin berkahwin pada masa akan datang, saya mahukan restu daripada keluarga wanita itu. Pengalaman telah mengajar dan saya mahu mereka menerima saya dengan seadanya. Cukuplah sekali peristiwa perit itu," katanya dalam senyuman.
Mengubah imej diri dengan menyimpan rambut panjang buat pertama kali dalam hidupnya, Beego menyukai penampilannya sekarang kerana mempunyai signifikasi tersendiri.
"Dulu saya tidak pernah menyimpan rambut panjang kerana sikap tidak sabar untuk menunggu. Tapi, sekarang dengan rambut panjang, saya tahu bahawa diri saya seorang yang penyabar. Nilai kesabaran itu akan saya gunakan pada masa-masa akan datang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: