Sunday, September 13, 2009

Cerita Aidilfitri Jimmy Shanley & Diana Danielle


Jimmy Shanley & Diana Danielle


TAHUN ini merupakan tahun ketujuh saya menyambut hari raya Aidilfitri tanpa ibu dan seperti biasa hari raya saya tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya,” luah pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 29 tahun.

Menurut Jimmy, ibunya yang tercinta pergi meninggalkannya sejak tahun 2002 ketika menunaikan fardu haji.

Biarpun sedih dengan keadaan itu, Jimmy tetap cekal mengharungi hidup memandangkan masih ada lagi adik beradik lain yang dijadikan tempat mengubat kerinduan.

“Setiap tahun saya akan kembali ke Simpang Pulai, Ipoh, Perak dan untuk raya kali ini juga saya tetap akan pulang ke sana bagi merayakan Aidilfitri bersama dengan sanak saudara yang lain.

“Apabila usia semakin menginjak dewasa, saya dapat rasakan yang hari raya saya semakin sederhana dan tak sudah tidak meriah seperti dahulu lagi,” kata Jimmy lagi.

Biarpun sering kali diburu perasaan resah dan sedih ketika meraikan hari raya, Jimmy tetap optimis dalam mengharungi hidup memandangkan dia semakin sibuk dengan tugas seharian.

Setiap tahun antara menu wajib yang pasti ada ketika merayakan Aidilfitri termasuklah lemang dan rendang. Biarpun makanan itu bukan dari air tangan ibunya, ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan Jimmy selama ini.

Bercerita mengenai karier pula, Jimmy kini berbangga apabila program Trek Selebriti sudahpun memasuki usia enam tahun dan selam itu juga dia diberi kepercayaan untuk menjadi hos.

Jika mengikut jumlah penonton, Trek Selebriti antara rancangan yang paling memberangsangkan di saluran Astro Ria. Jadi sudah pasti banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memikat lebih ramai penonton.

“Buat masa ini saya lebih selesa menjadi pengacara sahaja. Ramai yang bertanya mengapa saya tidak terus berlakon? Apa yang boleh saya katakan mungkin belum ada rezeki saya dalam bidang lakonan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Trek Selebriti @ Renaisance 2009 baru-baru ini.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah Aliff Aziz, Imran Ajmain, Faizal Tahir, Tomok, Nurul, Aizat, Along Cham, Qhaud dan ramai lagi yang turut sama disetai kanak-kanak Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Stapak dan Rumah Anak-Anak Yatim Yayasan Khidmat Masyarakat, Satapak, Kuala Lumpur.

Bagi Diana Danielle pula dia akan membuktikan usia remajanya bukanlah halangan kepada untuk bekerja keras bagi menempa kejayaan.

Namanya kini semakin hangat diperkatakan apabila dikatakan bakal membintangi teater Natrah yang akan dipentaskan di Istana Budaya sedikit masa lagi walaupun masih belum ada hitam dan putihnya.

Ketika ditemui pada majlis yang sama, Diana yang sudahpun melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) semakin seronok dengan dunia barunya itu.

“Sudah tentu saya meletakkan keutamaan kepada pelajaran terlebih dahulu. Saya juga tidak membataskan lakonan tetapi pihak produksi mesti mengikut jadual saya,” kata Diana lagi.

Ujarnya dia kini baru sahaja selesai penggambaran tele filem sempena hari raya ini di samping sedang menunggu tayangan dua buah filem lakonannya yang akan menemui peminat hujung tahun ini.

“Saya sangat teruja dengan filem Kecoh Betul dan Majika. Tak sabar rasanya nak melihat maklum balas daripada peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya.

“Dalam bidang nyanyian pula, saya dapat rasakan kehadiran saya diterima baik oleh peminat dan sudah pasti saya mempunyai perancangan untuk menerbitkan album solo” kata pelakon drama Air Mata Maria ini.

Setelah hampir sebulan menahan lapar dan dahaga, kira-kira seminggu lagi umat Islam akan menyambut kehadiran bulan Syawal dengan penuh keberkatan.

Diana yang akan menyambut hari raya di Taiping, Perak juga tidak terkecuali membuat persiapan bagi meraikan Hari Raya bersama keluarga.

“Saya akan merayakan Hari Raya kali ini dengan penuh kesederhanaan. Tapi tahun ini saya sempat membelikan mama set perabot baru sebagai tanda kasih sayang saya kepadanya.

“Saya juga telah menyediakan hampir RM2,000 sebagai duit raya untuk diagih-agihkan kepada sanak saudara dan tetamu yang hadir nanti,” jelasnya yang mahu menyediakan lemang dan pulut kuning pada hari raya ini.

Kata Diana lagi, hari raya merupakan hari yang ditunggu-tunggu memandangkan pada masa itulah semua ahli keluarga dapat berkumpul kembali di samping mengeratkan silaturahim sesama sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: