SEJAK kecil lagi, S. Paramasivam, 45, belajar erti kehidupan. Bapanya mengusahakan perniagaan makanan warisan nenek moyangnya di Restoran Sivalingam di Sentul, Kuala Lumpur.
Justeru daripada bapanya itulah, Paramasivam memperoleh pengalaman yang begitu berharga.
Walaupun sekadar menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima namun jerit-perih membantu bapanya membuat beliau tegar menguruskan restorannya kini.
“Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan ayah. Saya ‘dibuli’ dengan perlu membasuh pinggan mangkuk, mengelap keseluruhan lantai, mengambil pesanan selain menyediakan makanan dan minuman di restoran beliau sebelum membuka restoran sendiri.
“Kadang-kadang upah pun tidak diberi setelah seharian penat bekerja. Tetapi itu realiti dunia perniagaan makanan yang saya belajar daripada ayah – perlu kuat usaha, sabar serta bijak merancang.
“Setelah berpuluh tahun membantu ayah akhirnya saya membuka restoran sendiri iaitu Restoran Sri Kortumalai Pillayar di Brickfields, Kuala Lumpur pada tahun 2000 dengan kos yang agak tinggi,” katanya jujur.
Bicaranya lagi, realiti di negara ini, tidak mengira kaum sama ada Cina, Melayu mahupun India, selagi seseorang kuat bekerja dan tidak malas pasti akan berjaya kerana kekayaan negara itu ibarat sebuah kek yang diraih bersama.
“Tiada istilah tiada kerja di negara ini. Jika tidak mengapa ramai pendatang asing sanggup bermati-matian ingin bekerja di sini. Malangnya warga tempatan lebih gemar memilih kerja,” katanya.
Namun peristiwa yang berlaku pada pukul 4.20 petang, Sabtu 4 April 2009 menjadi momen yang tidak dapat dilupakan Paramasivam
Tanpa diduga beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah singgah untuk makan dan minum di restorannya dalam rangka lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat.
“Saya terkejut kerana tidak membuat sebarang persiapan menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara. Secara tiba-tiba Najib datang bersama 20 orang pengiring termasuk pengawal peribadi serta pihak polis.
Suspen sekejap
“Malah dia ajak saya duduk di sebelahnya. Mulanya saya agak gementar tetapi beliau menenangkan saya. Kita orang biasa dia ‘orang besar’, suspen juga sekejap,” ungkapnya.
Tambahnya sambil tersenyum: “Beliau berada di restoran bermesra dengan pelanggan selama hampir satu jam. Najib juga sempat bertanyakan bagaimana saya mengoperasikan restoran ini serta masalah ketika kemelesetan ekonomi.
“Ibarat kawan. Ini menunjukkan beliau sangat prihatin kepada semua rakyat dan memegang prinsip 1Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” ujar Paramasivam.
Menurutnya, di restorannya itu, Najib telah menikmati sedikit putu mayam, tosai beralaskan daun pisang dan minum teh O ais limau.
Beliau mengakui, sejak kedatangan Najib, suasana di premis perniagaannya kini lebih aman selain kurang gengster serta samseng jalanan yang membuat kacau.
“Dahulu kerap pengunjung mabuk serta tidak ingin membayar makanan. Malah untuk bayar makanan sahaja timbul pergaduhan tetapi kini tiada lagi,” katanya.
Namun, satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan beliau ketika kunjungan Najib ke restorannya itu ialah apabila Najib membayar RM100 untuk makanan dan minuman beliau serta mereka yang mengiringinya.
“Saya masih menyimpan wang itu di rumah sehingga kini sebagai kenangan.
“Saya juga merancang untuk menggantung kain rentang besar, Najib’s Corner di hadapan kedai pada perayaan Deepavali Oktober nanti selain membuat sudut khas di restoran.
“Harapan saya, Najib dapat singgah di restoran ini pada perayaan Deepavali nanti untuk merasmikannya. Mungkin saya akan pengsan ketika itu kerana terkejut. Namun, peristiwa itu pasti hebat dan menarik,” tegasnya.
Najib bukan satu-satunya tokoh ternama yang pernah singgah makan di restoran Paramasivam.
“Selain Najib, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan pernah singgah menikmati makanan dan minuman di restoran ini,” akhiri beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: