|
|
CUBA bayangkan bagaimanakah suasananya jika kita dibesarkan dalam suasana masyarakat minoriti Islam?
Ilxat Yi Lixia remaja berbangsa Uighur dari Xinjiang, China akui kehidupannya agak mencabarnya apabila dibesarkan sebagai muslim di sebuah kota besar yang tidak ramai penganut Islam.
Ilxat atau lebih mesra dipanggil Lex, dilahir dan dibesarkan di Shanghai kerana datuknya berhijrah dari perkampungan Kashgar di selatan Xinjiang untuk menjalankan perniagaan.
“Di sekolah saya hanya ada beberapa orang sahaja yang beragama Islam. Kalau identiti bangsa saya orang boleh cam sebab wajah kami berlainan tapi ada yang tidak menunjukkan ciri berlainan dari segi penampilan.
“Untuk mendekatkan saya dengan budaya masyarakat kami, saya akan dibawa balik ke kampung setiap tahun. Di sana barulah saya dapat melihat corak kehidupan orang Islam kerana majoriti masyarakat di sana beragama Islam.
“Daripada kunjungan saban tahun itulah saya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat saya. Bapa saya memang tidak mahu saya jauh dengan budaya orang Uyghur,” kata Lex kepada Pancaindera.
Lex kini menuntut di sebuah kolej di Kuala Lumpur dalam jurusan Pengurusan Pelancongan sejak awal tahun ini. Tahun lalu dia mengikuti kursus bahasa Inggeris di sini.
“Bapa saya menghantar saya ke Malaysia kerana dia mahu mendekatkan saya dengan kehidupan orang Islam. Saya rasa Kuala Lumpur sesuai dengan saya sebab ada unsur moden dan dalam masa yang sama ada masyarakat Islam.
“Saya mula jatuh cinta dengan Malaysia semasa belajar bahasa Inggeris. Sebab itulah apabila mahu menyambung pelajaran, saya cari kolej di sini juga,” ujar Lex yang menyambut ulang tahun ke 21 Rabu lalu.
Lex akan berhari raya di Kuala Lumpur tahun ini dan berharap dapat merasai nikmat menyambut hari raya di tempat orang.
“Kalau di Shanghai kami macam tak beraya pun sebab di sana tak ada cuti untuk Hari Raya Aidilfitri. Saya masih ke sekolah pada Hari Raya dan keluarga saya juga bekerja.
“Tapi kalau di Kashgar suasananya lebih meriah terutamanya Hari Raya Aidiladha dengan adanya aktiviti korban lembu,” jelas Lex yang belum pandai bertutur bahasa Melayu.
Tahun ini juga kali pertama Lex berpuasa di Malaysia. Dia akui cuaca panas membuatkan beliau rasa lebih tercabar. Malah Lex mendapat gastrik kerana makan makanan yang pedas.
Kisah yang membawa Lex ke Malaysia juga sangat menarik. Ia bermula apabila beliau mengadakan persembahan bola keranjang jalanan bersama sebuah kumpulan dari Amerika. Apabila berasa sukar untuk berkomunikasi, beliau nekad mahu belajar.
“Bapa saya menghantar saya ke Malaysia sebab dia dengar daripada kawannya yang pernah ke sini pasal keharmonian masyarakat Malaysia yang hidup berbilang kaum.
“Dia mahu saya lebih rapat dengan orang Islam. Saya sendiri menyukai cara hidup masyarakat di Malaysia,” ujarnya lagi.
Lex meminati bola keranjang sejak kecil dan menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Halo Nation. Pada mulanya beliau bermain bola keranjang biasa, tapi menyedari susuknya tubuhnya tidak tinggi dan tak boleh meningkat ke peringkat lebih jauh, Lex beralih kepada bola keranjang jalanan.
“Di Shanghai, memang popular permainan ini dan kami mengadakan persembahan di pentas. Ia menggabungkan permainan bola keranjang, muzik dan tarian. Kumpulan kami pernah menang pertandingan yang dianjurkan.
“Selepas menang pada tahun 2005 kami jadi popular dan diundang mengadakan persembahan serta menjadi model untuk majalah dan iklan televisyen. Saya juga pernah dilantik sebagai pembantu aksi bola keranjang jalanan kepada pelakon Jay Chou dalam filem Kungfu Dunk. Saya juga ada beberapa adegan dalam filem itu.
“Minat saya dalam bola keranjang jalanan membuahkan hasil. Saya juga pernah diundang mengadakan persembahan dalam satu majlis pembukaan kelab di Kuala Lumpur bulan lalu,” kata Lex.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: