Tuesday, September 1, 2009

IKIM.fm semarakkan Secangkir Kasih



NIK Mustapha (duduk) menyampaikan pek makanan kepada orang kurang upaya sambil diperhatikan Zawahir (kiri).

SEPANJANG bulan Ramadan pelbagai cara dilakukan pelbagai pihak untuk membuat amal jariah. Kebanyakan syarikat korporat memilih menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim, ibu tunggal serta orang kurang upaya.

Bagi badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) yang ditubuhkan pada 2006 kerana bencana tsunami, mereka mempunyai cara sendiri meraikan serta membantu golongan kurang bernasib baik ini iaitu menerusi program Secangkir Kasih - Bantulah Mereka Berbuka Puasa dengan kerjasama radio IKIM.fm.

Islamic Relief (IR) adalah sebuah badan bertaraf antarabangsa. Berusia 25 tahun, program yang dikenali sebagai Feed The Fasting di peringkat antarabangsa itu sudah dilaksanakan sejak sekian lama. Program istimewa yang diadakan pada bulan Ramadan ini mengedar pek makanan bernilai RM50 berasaskan makanan asas penduduk di sesebuah negara itu kepada mereka yang berkelayakan.

Di Malaysia program ini dimulakan secara kecil-kecilan pada 2007 dan masih diteruskan tahun lalu, tahun ini IRM mensasar untuk mengagihkannya kepada 10,000 penerima yang berkelayakan di seluruh negara.

Pengurus Negara IRM Malaysia, Zawahir Abdullah berkata, pek makanan yang akan diagihkan itu mengandungi makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, garam serta beberapa keperluan lain yang cukup untuk menampung bekalan makanan untuk keluarga yang terdiri dari tiga hingga lima orang.

“Program ini adalah program tradisi IR di seluruh dunia. Kami bekerjasama dengan IKIM.fm menerusi program Secangkir Kasih sejak tiga bulan yang lalu, setiap minggu pendengar IKIM boleh mengikuti perkembangan program ini pada setiap Jumaat jam 11.30 pagi menerusi saluran IKIM.fm di frekuensi 91.5 fm.

“Dalam program Bantulah Mereka Berbuka Puasa, kami membekalkan pek mengandungi makanan kepada keluarga yang memerlukan. Program ini dimulakan secara kecil-kecilan pada 2007, tahun lalu kami sasarkan 10,000 penerima tetapi hanya berjaya mengagihkan kepada 7,000 penerima saja. Tahun ini kita sasarkan angka yang sama, kami melakukan pengagihan seminggu sebelum umat Islam berpuasa supaya penerima dapat membuat persiapan Ramadan melalui bekalan yang disediakan.

“Program ini adalah satu konsep baru kerana kami hanya membekalkan bekalan makanan saja tetapi tidak menyediakan wang ringgit. Bantuan kewangan hanya diberikan untuk kes seperti bencana saja. Lagipun amalan ini amat besar pahalanya kerana kita memberi makan kepada mereka yang kekurangan,” kata Zawahir.

Kata Zawahir, mereka yang ingin menghulurkan bantuan bagi membantu program ini boleh berbuat demikian dengan melayari laman web IRM di www.irm.org.my atau juga boleh menghubungi talian 03-89486334.

Walaupun program ini masih lagi baru diperkenalkan di negara ini, tetapi sumbangan yang diterima cukup menggalakkan malah ramai juga yang sudah mengetahui mengenai program anjuran IRM ini.

“Kami berharap program ini akan mendapat sambutan menggalakkan pada masa akan datang supaya lebih ramai penerima mendapat manfaat daripada bantuan yang dihulurkan, agar mereka dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna,” katanya.

Selain program ini yang diadakan khusus pada bulan Ramadan, IRM turut menghulurkan bantuan raya bukan saja kepada orang Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam. Baru-baru ini juga IRM bersama-sama dengan IKIM.fm turut ke Acheh menghulurkan bantuan kepada bekas mangsa tsunami yang berlaku lima tahun lalu.

Sementara itu Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, walaupun IKIM.fm diwujudkan untuk meningkatkan kefahaman pendengar terhadap ajaran Islam tetapi pihaknya tidak pernah membataskan aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran pendengar terhadap tanggungjawab sosial.

“Kami di IKIM berharap supaya lebih banyak badan bukan kerajaan mencontohi IRM dalam kerja kebajikan seperti ini. Walaupun kami diwujudkan untuk meningkatkan kefahaman pendengar mengenai ajaran Islam tetapi kami juga tidak meminggirkan aktiviti sosial kerana peranan kami sebagai media yang prihatin,” katanya pada majlis pelancaran program Secangkir Kasih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: