ARAU - "Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya nampak sebuah kereta tenggelam dalam terusan."
Demikian cerita seorang saksi, Hassan Chin, 54, mengenai kemalangan melibatkan Perodua Kancil dan Proton Wira yang meragut nyawa seorang warga emas di Kilometer 1, Sungai Baru, di sini semalam.
Kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu mengorbankan pemandu kereta Perodua Kancil, Marzuki Othman, 58.
Menurut Hassan, beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terus terjun ke dalam terusan itu untuk menyelamatkan mangsa kemalangan itu.
"Saya dapat selamatkan mangsa wanita yang duduk di bahagian belakang menerusi pintu kereta yang terbuka," ceritanya sambil memberitahu kenderaan tersebut dipercayai tenggelam sedalam kira-kira 1.5 meter.
Tambahnya, beliau kemudian bersama beberapa penduduk yang baru tiba cuba mengeluarkan pemandu kereta itu tetapi sukar kerana mangsa terlekat pada tali pinggang kaledar dan terpaksa menggunakan pisau bagi memotong tali itu.
"Beberapa orang awam turut menyelam tetapi sukar mengeluarkan mangsa kerana kereta yang tenggelam berada dalam keadaan mengiring dan arus sungai kuat.
"Seorang penduduk berlari mendapatkan pisau dan baru mangsa berjaya dikeluarkan namun mangsa meninggal dunia ketika menunggu ambulans yang tiba kira-kira 45 minit selepas dinaikkan," katanya yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Trafik Kangar, Asisten Supritendan Rusli Yahaya berkata, isteri mangsa, Kalsom Abd. Latif, 62, yang berada di tempat duduk belakang cedera ringan selepas diselamatkan orang ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: