KATA nista mahupun gosip liar, nyata Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, bukanlah orang yang sesuai untuk diuji kerana dia sudah cukup kebal dengan kerenah dunia seni yang penuh ranjau dan duri. |
Hamburlah dengan sejuta tohmahan sekalipun, ia tidak menjadi kudis buat wanita yang sentiasa mengekalkan sifat merendah diri tanpa mendabik dada dengan kehidupannya yang berprofil tinggi.
Malah, setiap dugaan dilalui dengan tenang dan sabar. Moleknya sifat dan budi pekerti insan bernama Siti ini, dia terus dijulang peminat tanpa mampu digugat meskipun selepas berstatus isteri.
Ketabahan Siti melayari dunia seni turut mengagumkan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, lelaki bertuah kerana memiliki hatinya.
Selesai solat Tarawih dan sambutan ulang tahun perkahwinan ketiga 3 pasangan ini yang diadakan di kediaman mewah Datuk K di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Jumaat bersamaan 21 Ogos lalu, Datuk K membuat satu pengakuan yang menyentuh semua hati wakil media yang hadir.
"Dek kerana Siti saya belajar menghadapi gosip kerana dia seorang yang tidak melatah dan tidak pernah tunjuk perasaan marah setiap kali berhadapan situasi (gosip) begini. Siti pandai mengendali serta menjernihkan keadaan.
"Cuma itulah, setiap gosip yang diperkatakan walaupun tidak benar ia meninggalkan kesan kepada masyarakat. Dari mula kahwin gosip tidak pernah lekang dari hidup kami," katanya.
Celah Siti, dia memilih untuk bergelumang di lapangan seni dan kerana itulah dia harus mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan kontroversi serta gosip yang adakalanya menguji kesabaran dan keimanan.
"Keadaan yang terjadi membuatkan kami susah untuk menjawab. Lebih-lebih lagi terpaksa menjawab banyak kali.
"Kalau ikutkan saya dan suami lebih senang untuk tidak bercakap atau memberi sebarang komen, tetapi tidak adil bagi peminat serta masyarakat yang ingin mengetahui keadaan sebenar. Jadi mahu ataupun tidak terpaksa juga kena menjawab.
"Jadi saya harap tiada lagi gosip dibangkitkan dan tidak diselubungi fitnah. Saya mengerti fitnah itu adalah dugaan dari Allah s.w.t, tetapi saya juga manusia biasa. Janganlah fitnah yang dibuat itu sampai menjatuhkan maruah," katanya. Akui Siti, sambutan ulang tahun kali ini memberikan makna cukup mendalam meskipun ia diadakan dalam suasana cukup sederhana berbanding dua tahun sudah.
Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu dihadiri lebih kurang 50 tetamu yang terdiri keluarga terdekat, sahabat handai serta kenalan rapat.
"Memang kami sudah rancang, kebetulan pada malam ini hari pertama mula bertarawih, justeru kami ingin mengambil berkat Ramadan.
"Sejak Jumaat lepas dan Jumaat yang seterusnya di rumah ini kami adakan sembahyang jemaah yang dikendalikan ustaz yang hadir mengendalikan majlis malam ini.
"Di samping solat jemaah, majlis turut diisi dengan tazkirah disampaikan ustaz.
"Sambutan Ramadan kali ini cukup istimewa kerana tarikhnya jatuh pada ulang tahun perkahwinan ketiga kami," katanya.
Berhubung harapannya sempena meraikan ulang tahun perkahwinan yang ketiga, jawab Siti, sudah semestinya dia mengharapkan jodoh mereka berpanjangan serta dikurniakan anak.
"Untuk rumah tangga, semestinya mahukan rumah tangga berkekalan hingga ke akhir hayat. Bak kata suami, berkekalan hingga ke syurga. Selain mengharapkan rezeki bertambah dengan kehadiran cahaya mata," katanya.
Mengakui belum sempat meminta hadiah istimewa daripada suami, Siti berkata, apa yang dimilikinya sekarang serta bersuamikan seorang yang bertanggungjawab sudah cukup membuatkannya mensyukuri nikmat Yang Maha Besar.
"Saya bersyukur dengan nikmat pemberian Ilahi dengan apa yang saya ada sekarang. Kalau ditanya hadiah ulang tahun, saya tidak kisah.
"Jika mahu sekalipun, mungkin saya mengajak suami pergi bercuti. Di mana, itu belum sempat saya fikirkan lagi, tetapi ada dua tempat yang sudah lama saya kepingin untuk pergi iaitu Switzerland dan Rome," katanya.
Destinasi bulan madu yang ketiga belum sempat dirancang, bagaimanapun pada 3 September nanti, Siti dan suami akan berangkat ke Australia untuk menghantar Ashraf (anak ketiga hasil perkahwinan Datuk K bersama bekas isteri) yang melanjutkan pengajian di negara kangaru itu.
"Ashraf akan menyertai dua lagi abangnya yang berada di sana dan kesempatan itu turut digunakan kami menjenguk anak sulung dan kedua," katanya.
Jika tiada aral, Siti dan suami merancang menunaikan umrah Ramadan ini dan melakukan ibadah itu dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri.
Sementara Datuk K yang menikahi Siti pada tanggal 21 Ogos 2006, berkata walaupun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Siti namun, dia terasa bagaikan semalam menikahi biduanita juga pemilik suara merdu itu.
"Tiga tahun rasa sekejap, macam baru semalam kami bernikah. Alhamdulillah, tiga tahun ini kami lalui rumah tangga dengan tenang, gembira, penuh dengan kasih sayang, perhatian dan setiap hari saya jalani hidup dengan indah.
"Siti anugerah Allah s.w.t. Saya berharap hubungan kami bertambah-tambah bahagia lagi, malah berkekalan ke akhir hayat hingga sampai syurga.
"Sama seperti Siti katakan tadi, saya juga doakan Siti dapat cahaya mata untuk menambahkan lagi keceriaan, sekali gus menjadi penyeri dalam rumah tangga kami," katanya.
Datuk K sedar ramai yang begitu cemburu terhadap Siti malah, jika kebanyakan suami punya perasaan cemburu apabila isteri menjadi tumpuan ramai, dia tidak boleh berasa seperti itu dalam banyak hal kerana akur Siti milik masyarakat.
"Saya kena biasakan diri. Namun saya sangat bersyukur, Siti walaupun kadangkala sibuk, dia pandai bahagikan masa untuk saya.
"Alhamdulillah sampai sekarang kami cukup bahagia biar ada yang cuba menduga rumah tangga kami, saya percayakan Siti kerana 'dia hanya ada saya dalam fikirannya.'
"Kadang-kadang itu memanglah Siti tidak sempat masak mahupun menemani saya makan tengah hari hari atau makan malam, tetapi apabila ada waktu dia akan beri seluruh perhatian kepada saya," katanya.
Sementara Siti pula ketika berkongsi tip rumah tangganya, berkata, dia sentiasa memastikan ada komunikasi yang baik dengan suami.
"Ramai pasangan yang mampu mempertahankan rumah tangga lebih lama berbanding saya yang baru melangkau tiga tahun. Cuma apa yang boleh saya katakan, kita harus menerima pasangan kita seadanya.
"Memastikan suami tidak berasa terabai saya pastikan sentiasa wujud komunikasi antara kami," katanya bakal muncul dengan album kerohanian, Tahajud Cinta masa terdekat ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: