Monday, August 31, 2009

Prema mahu tempa nama


VOKAL yang lantang dan genre muzik pop rock pilihan, nyata taruhan tepat bintang baru Prema Yin. Berusia 23 tahun, gadis jelita ini juga bukan sekadar berbakat dalam nyanyian tetapi waktu sama dia boleh mencipta lagu. Ia terbukti dalam mini albumnya, Eyo Eyo.

Memuatkan lima lagu, boleh dikatakan semuanya iaitu Eyo Eyo, Ain’t Got Tears (duet Moot’s), These Are The Day, Bleed dan Higher Love dihasilkan Prema Yin. Berdarah kacukan India dan Cina, Prema Yin sudah mencipta lagu sejak usianya 14 tahun.

Menurut Prema Yin, bergelar artis adalah karier pilihannya kerana sangat meminati muzik. Malah, bagi menonjolkan bakat seni dimiliki, dia tidak gusar menyertai pertandingan realiti televisyen seperti One In AMillion 2 (OIAM2) dan Who Will Win Malaysia Topstar (2004).

“Saya tidak pernah fikir soal menang dan kalah ketika menyertai pertandingan nyanyian. Bagi saya, semua itu bergantung pada rezeki dan apa yang penting ilmu. Saya gembira dapat berguru dengan Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz Selamat.

“Sebagai penyanyi, mengawal lontaran vokal sangat penting. Oleh itu, bersama mereka saya belajar banyak perkara berkaitan nyanyian sehingga kini benar-benar sedia untuk aktif menyanyi. Ditambah lagi, keluarga juga memberi sokongan padu.

“Ibu bapa memberi restu apabila mereka tahu minat sebenar saya. Sehubungan itu, mini album Eyo Eyo ini saya anggap percubaan pertama untuk melihat sejauh mana penerimaan pendengar. Saya harap, pendengar menyukai muzik dan lagu saya,” katanya.

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Prema Yin atau nama sebenarnya Prema Yin Ranee juga mengakui sangat meminati kumpulan Pop Shuvit.

Katanya, disebabkan itu, dia turut berbangga dapat berduet dengan anggota Pop Shuvit, Moots.

“Saya minat dengan semua jenis muzik tetapi apa yang diketengahkan Pop Shuvit cukup serasi dengan jiwa. Malah, saya dapati kumpulan ini turut aktif dan berjaya di luar negara seperti Jepun. Oleh itu, saya menyimpan impian berjaya seperti mereka.

“Selain diterima di negara ini, saya juga bercita-cita mengembang karier ke luar negara. Jika tiada aral dan semua dirancang berjalan lancar, saya akan ke Jerman pada September ini kerana diundang menyanyi. Saya harap ia platform terbaik buat diri.

“Saya akan membuktikan keupayaan dan bakat diri selain mengambil peluang memperkenalkan muzik Malaysia ke luar negara. Saya yakin akan berjaya serta dikenali ramai. Apapun, saya mahu pendengar terus menyokong pasaran album tempatan,” katanya.

Memulakan karier sebagai pemuzik bebas, kemunculan Prema Yin dalam industri muzik tempatan juga tidak berseorangan apabila turut tampil dengan kumpulan. Selain Prema Yin sebagai vokalis, kumpulannya dianggotai Moe (drum), Nish (keyboard), Zaim (basis) dan Isaac (gitar).


Memiliki empat beradik, anak kepada pasangan Kali Kavandan dan Alicia Chiw ini turut menonjolkan bakatnya dalam penulisan lagu bahasa Melayu. Dalam mini albumnya, Prema Yin tidak ketinggalan mempertaruhkan single Melayu, Eyo Eyo ciptaannya dan lirik, Tinta.

Katanya, dia tidak menggunakan khidmat komposer sedia ada tanah air kerana lagu dimuatkan dalam mini album Eyo Eyo sudah dicipta agak lama. Jadi, menurut gadis ini adalah wajar baginya mengetengahkan lagu sendiri kerana serasi dengan muzik dan jiwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: