Saturday, August 29, 2009

Tiada Lagi Iklan Yasmin - Adibah Noor

"Sebelum ini setiap kali menjelang bulan puasa, kami akan menjalani penggambaran iklan puasa dan raya. Inilah kali pertama kali bulan Ramadhan, tiada lagi hasil kreatif Yasmin Ahmad yang bakal kita tonton.

"Iklan raya terakhir yang kami lakukan bersama adalah Cokodok Monster dan proses penggambarannya penuh dengan gelak tawa dan memang sangat seronok," ujar Adibah Noor tatkala mengenang kembali kenangan bersama Allahyarham Yasmin Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada Julai lepas.

Adibah menyifatkan Yasmin seorang yang pandai menilai hati budi seseorang dan akan membuatkan mereka yang baru mengenalinya selesa untuk berdamping. Yasmin juga tidak pernah mengamalkan sifat prejudis dan sifat kelakar yang ada pada dirinya membuatkan beliau disenangi ramai.

Adibah merupakan salah seorang teman rapat Yasmin yang kerap membintangi filem mahupun iklan yang diarahkan pengarah terkenal itu. Namun, kini beliau tidak lagi dibayangi nama besar tersebut. Cuba mencari kelaian dengan menceburi bidang teater yang pernah ditinggalkannya pada 2002.

Projek Terbaru

"Saya bakal melakonkan watak ikan pari dalam Teater Gamat dan yang terbaru, Cuci The Muzikal yang turut menampilkan Awie, Hans Isac, AC dan Afdlin. Selain teater, saya juga terlibat dengan filem Jin Notti, Hooperz dan Magika namun kesemuanya masih belum ditayangkan lagi," ujarnya ringkas mengenai perkembangan terbaru dirinya.

Walaupun berusaha memenuhi tawaran berlakon, namun Adibah masih lagi aktif membuat persembahan di majlis-majlis korporat. Jelas beliau, hatinya tetap dalam bidang nyanyian.

"Sebelum penghujung tahun ini, saya berikrar akan muncul dengan album terbaru dan ia akan terdiri daripada pelbagai rentak," katanya yang turut aktif melakukan kerja amal Kembara Terlalu Istimewa yang turut mendapat perhatian pasaraya The Store dan Islamic Relief Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: