Sunday, August 30, 2009

Petugas YB kena pukul, nyaris dirogol




Mangsa tikam penjenayah dengan pisau

SEREMBAN: Seorang kakitangan wanita sebuah pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melalui pengalaman mengerikan semalam, apabila diserang dan nyaris dirogol dua penjenayah di pejabat Adun berkenaan di sini.

Dalam kejadian di pejabat yang terletak di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini, kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dipukul berulang kali sebelum diheret ke dalam sebuah bilik di pejabat itu dan hampir dirogol.

Mangsa, Cheng Wai Fong, 31, berkata dia berada seorang diri di pejabat apabila seorang lelaki berusia 30-an datang menekan loceng dan memberitahu mahu berjumpa Yang Berhormat (YB).

"Saya tidak syak apa-apa lalu membuka pintu yang dikunci dari dalam. Mungkin melihat saya seorang diri, dia tiba-tiba mengheret dan menghentak saya ke dinding beberapa kali sebelum mengikat tangan saya," katanya di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya seorang rakan penjenayah itu yang berada di luar pejabat meluru ke dalam dan turut membelasahnya.

Wai Fong berkata, seorang daripada lelaki itu menyelongkar pejabat, manakala seorang lagi menumbuk mukanya berulang kali.

Katanya, lelaki itu kemudian mengheretnya ke dalam sebuah bilik sebelum membuka baju dan cuba merogolnya yang ketika itu lembik dibelasah.

"Lelaki itu yang melihat saya sudah tidak berdaya cuba melakukan perbuatan keji itu dan saya lihat badannya penuh tatu," katanya.

Bagaimanapun, Wai Fong dapat meleraikan ikatan tangannya lalu mencapai sebilah pisau yang ada di situ dan menikam bahagian bahu kiri lelaki berkenaan. Tindakannya menyebabkan penjenayah itu segera melarikan diri bersama rakannya.

Wai Fong kemudian menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian itu dan kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan.

Penjenayah itu sempat melarikan dua komputer riba, sebuah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM2,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis masih menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: