Calvin Thoo mencipta warna-warna terang dengan perincian manik untuk menyerlahkan busana.
PADA 16 Ogos lalu, satu sejarah terpahat dalam diri para pelajar lepasan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LKW). Lebih 30 pelajar jurusan Fesyen dan Rekaan Runcitan menampilkan hampir 100 rekaan busana anggun, kasual, koktel dan makan malam.
Pertunjukan peragaan yang berlangsung di Bangsar Shopping Centre (BSC) itu merupakan tugasan terakhir untuk pengajian yang tamat Julai lalu.
Tugasan tersebut menuntut mereka menghasilkan rekaan yang bertemakan kebudayaan.
Kepada Muhammad Shairazi Shafiq, 21, dan Tan See Mun, 21, kedua-duanya memilih rekaan bermotifkan tarian.
Elemen tarian
Setelah membuat sedikit analisis, Shairazi atau lebih dikenali sebagai Aaren, memilih elemen tarian Manipuri.
"Pemilihan ini tercetus selepas saya menyaksikan kesenian dan kehalusan pergerakan tarian klasik India di YouTube. Persembahannya begitu dramatik walaupun penarinya seorang saja. Seperti keunikan dan kehebatan pengacara solo, Oprah Winfrey dalam program Oprah," jelas Aaren.
Keterujaannya semakin membuak-buak apabila mengetahui tarian itu dizahirkan menerusi mimik muka, pergerakan tangan dan jelingan mata.
Meletakkan tarian Manipuri sebagai imbasan inspirasi, Aaren dan See Mun masing-masing menampilkan lima rekaan.
Rekaannya yang berwarna-warni, bercorak dan dihiasi batu permata, pernah mendapat kritikan pensyarahnya.
Aaren mengakui dia hampir putus asa dan hilang berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) dalam proses menyiapkan rekaan tersebut.
Jika tidak kerana suntikan semangat daripada seorang temannya, mungkin rekaan-rekaannya tidak berada di atas pentas peragaan tempoh hari.
Sintetik
Mengangkat fesyen dan kecantikan bintang legenda, Marilyn Monroe dan pereka tersohor, Gianni Versace, Aaren membelanjakan RM600 untuk membeli fabrik sintetik. Ia bertujuan untuk menghasilkan skirt kembang singkat, berpotongan panjang terbuka dan sebagainya.
"Daripada seorang yang pemalu, saya menjadi berani dan berdikari baik dari sikap mahupun rekaan," ujar Aaren yang berkecimpung dalam dunia fesyen dengan menjual rekaannya di laman blog lipstickstainsboutique.blogspot.com.
|
|
Sementara itu, Tan See Mun busana berasaskan tarian Kabuki turut menarik perhatian ramai.
Sejak di bangku sekolah lagi, See Mun menunjukkan kemahirannya mereka pakaian. Atas galakan ibu bapanya, See Mun mendaftar di institusi pengajian tinggi kreatif itu.
Bagi See Mun, idea untuk melukis boleh datang dengan mudah, tetapi tidak dalam aspek pencarian tema, fabrik dan kaedah jahitan. See Mun sendiri mengakui betapa susahnya mengenalpasti sebuah konsep agar diterima.
Komersial
"Kabuki adalah sebuah drama tarian yang popular di Jepun dan negara-negara lain. Saya yakin ia boleh diadaptasi kepada sajian fesyen yang inovatif. Bermain dengan warna-warna terang dan garang seperti merah dan jingga di samping emas, rekaan busana saya menjelmakan seorang wanita feminin lagi seksi.
"Dalam rekaan saya, aspek jahitan yang paling sukar ialah di bahagian lengan. Saya mencari bahan sokongan yang kuat dan keras agar ia mengangkat lipatan," ujar See Mun yang membelanjakan lebih RM3,000.
Fabrik satin sutera yang digunakan dibeli di butik Jakel yang berharga RM68 semeter.
Menjadikan pereka Carven Ong, Khoon Hooi dan Melinda Ooi sebagai idola dan pembakar semangatnya, See Mun berjaya menghasilkan lima Kabuki yang tiada duanya dan mempunyai nilai komersial.
Buat masa ini, dia menimba pengalaman di sebuah syarikat pereka kasut di Serdang, Selangor.
See Mun bercita-cita untuk menjadi pereka fesyen yang disegani satu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: