Saturday, August 29, 2009

Ahmad Idham enggan melatah


KONSEP 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat sambutan memberangsangkan sama ada dari pihak individu, agensi kerajaan mahupun badan korporat yang tidak ketinggalan melaungkan sokongan padu ke arah usaha merealisasikannya.

Penerimaan baik terhadap konsep berkenaan tidak hanya terbatas di situ, tetapi turut melangkaui industri berdaya kreatif, seni, hiburan tanah air.

Bertitik tolak dari situ, ramai penggiat seni aktif berbicara untuk tampil produk yang menyatukan rakyat Malaysia menerusi lagu, drama, filem dan sebagainya.

Bagi pengarah filem muda, Ahmad Idham, dia yakin industri hiburan tempatan berupaya memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang diinginkan.

Apatah lagi, sebelum ini kajian sudah dijalankan dan terbukti peranan televisyen mahupun radio dalam menyebarkan informasi amat mengesankan.

"Sudah tentu saya gembira dengan idea cetusan Perdana Menteri ke arah memakmurkan lagi hubungan pelbagai kaum.

"Sebagai penggiat seni, saya dapati pengisian program televisyen sudah lama diselit mesej 1Malaysia tanpa disedari ramai.

"Kalau kita tonton kembali sitkom komedi Puteri, filem Setem, Upin dan Ipin dan hasil kreatif Allahyarham Yasmin Ahmad, karya mereka kaya dengan unsur muhibah berbilang kaum.

"Saya fikir, maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat lebih mudah diterima menerusi program sebegini berbanding kempen.

"Walaupun ada memandang rendah kepada penggiat seni, namun kami banyak berjuang merapatkan jurang perkauman dengan kreativiti yang ada.

"Kerja kami bukan saja memberi hiburan, tetapi turut bertindak sebagai mentor atau pengajar menerusi mesej yang diselitkan."Kadangkala saya sedih apabila ada sesetengah pihak memperkotak-katikkan usaha kami. Apa yang kami lakukan ikhlas dan secara tidak langsung membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang diinginkan," keluh Ahmad Idham.


Menyentuh sama ada pengarah Jangan Pandang Belakang Congkak ini akan tampil dengan karya 1Malaysia, beritahu Ahmad Idham dia tidak mahu tergesa-gesa ke arah itu kerana risau akan memberi kesan buruk kepada industri perfileman.

"Saya tahu, sejak kebelakangan ini ramai pula yang ingin tampil dengan produk memaparkan konsep 1Malaysia. "Namun, saya tidak mahu 'melatah' dengan keadaan itu. Saya fikir, buat apa kita hendak tergopoh-gapah? Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, drama dan filem tempatan kita sebenarnya sudah pun menjurus ke arah konsep itu tanpa ramai menyedari.

"Saya lihat senario ini cuba disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk keuntungan sendiri.

"Ini secara tidak langsung, memberi impak negatif kepada industri apabila produk yang dilahirkan tidak berkualiti dan hanya indah khabar dari rupa. Bagi saya, apa yang perlu dititikberatkan adalah mesej," katanya.

Sementara itu, berkuat kuasa 1 Julai lalu, Ahmad Idham secara rasminya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas yang baru.

Bukan senang mendapat peluang itu apatah lagi seorang penggiat filem muda seperti Ahmad Idham yang usia pembabitannya dalam kerja perfileman belum pun lama. Justeru, ramai tertanya-tanya apa rasionalnya Ahmad Idham dilantik ke jawatan itu.

"Saya bersyukur kerana kreativiti selama ini mendapat perhatian dari Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Saya tahu ramai mempersoalkan kewajaran keputusan itu hingga ada melabelkan saya seorang yang suka 'melobi.' Kalau diikutkan, saya sendiri tidak pernah berpeluang bercakap dengan beliau.

"Saya hanya membuat kerja sebaik mungkin. Perihal rungutan tidak puas hati memang biasa berlaku, tetapi saya anggap sebagai perkara normal kehidupan. Itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus mara ke depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: