SEPULUH tahun menanti, akhirnya impian Noryn Aziz untuk memiliki sebuah lagu raya tercapai. |
Sinar Lebaran itulah judul yang diberi. Lagu nukilan Pak Ngah dan lirik oleh Siso ini turut dipilih sebagai judul album raya artis Suria Records (SRC), yang membabitkan Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Yuni Shara, Taufik Batisah, Sofaz, Intan Ruhaila, Intan Nuraini, Revalina S Temat, Melanie Putria dan Acha Septriasa.
Majlis pelancaran album Sinar Lebaran dan berbuka bersama artis SRC diadakan di Songket Ballroom, Level 7, Maytower Hotel & Services Residence di ibu kota, Khamis lalu.
“Saya ingin berterima kasih kepada SRC kerana memenuhi impian saya untuk memiliki lagu raya sendiri. Sinar Lebaran adalah lagu raya pertama saya hasilkan sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam arena seni.
“Lagu ini adalah adalah hasil ciptaan Pak Ngah dan Siso. Mulanya, saya agak terkejut apabila dimaklumkan akan menyanyikan lagu raya ciptaan komposer itu kerana saya fikir pasti konsepnya nanti 100 peratus irama tradisional.
“Justeru, pengurus saya Sam Kassim pun bertanya pada Pak Ngah, bagaimana konsep yang ingin dilakukan untuk lagu saya nanti dan kata Pak Ngah, tahulah dia buat susunan yang bersesuaian dengan imej muzik dan vokal saya.
“Sebaik selesai muzik dihasilkan, saya diperdengarkan pada lagu itu. Terus-terang, hasilnya cukup mengejutkan dan konsep lagu raya sebeginilah yang saya cari-cari selama ini kerana ia menggabungkan elemen tradisional dan jazz,” katanya.
Pada temubual sama, penyanyi yang pernah tampil dengan album Alam Maya ini memaklumkan berbeza dengan Ramadan sebelumnya, tahun ini aktiviti seninya cukup padat.
Dijangkakan, dalam masa terdekat ini penyanyi jelita ini akan terbang ke Filipina untuk merakamkan lagu duet berbahasa Tagalog bersama seorang penyanyi terkenal di sana, Christian Batisha.
“Di mana rakamannya dijalankan, saya belum pasti, tetapi besar kemungkinan untuk lagu Tagalog ini, proses rakaman dibuat di Filipina.
“Sebenarnya, lagu duet ini diadakan dalam tiga versi bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Tagalog.“Untuk bahasa Melayu, saya sudah pun merakamkannya bersama Ariff Jonier, penyanyi indie yang cukup popular dari Indonesia yang turut memilih jazz sebagai jalur muzik.
“Saya ingin berterima kasih pada kedua-dua penyanyi ini kerana memilih saya sebagai pasangan duet saya.
“Juga kepada penganjur projek ini iaitu syarikat yang pernah menganjurkan program Ikon tidak lama dulu. Dua artis Malaysia yang terpilih menjayakan projek ini selain saya adalah Datuk Sheila Majid.
“Difahamkan, lagu duet ini akan memuatkan ke dalam album kedua-dua penyanyi itu. Insya-Allah di sini, mungkin lagu ini kami jual secara nada dering,” katanya.
Tambahnya lagi, selain menghitung menjalani rakaman lagu duet dia juga sudah menjalankan serba sedikit persiapan sempena menjelang persembahan solonya di Dewan Filharmonik pada Januari 2010.
“Tidak lama dulu, saya dan Atilia beraksi dalam persembahan Malam Nada Biru di Istana Budaya, tetapi saya sifatkan persembahan itu sebagai konsert ‘duo’.
“Berbeza dengan Filharmonik walaupun ia menampilkan tiga penghibur namun persembahan setiap daripada kami pada hari yang berbeza.
“Justeru, saya akan melakukan persembahan selama satu jam 30 minit secara solo dan mahu memberikan yang terbaik dan menjadikan ia persembahan penuh kejutan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: