Monday, August 31, 2009

Ceria pada pagi Aidilfitri

Calvin Thoo mencipta warna-warna terang dengan perincian manik untuk menyerlahkan busana.


DARI KIRI: KAFTAN yang mendapat sentuhan moden sesuai digayakan pada majlis formal mahupun hari raya.
MERAH jambu menampilkan imej feminin.
BAJU kurung rona hijau yang diserikan dengan hiasan manik di dada dan pergelangan.


SEOLAH-OLAH memahami belenggu ekonomi, rona-rona yang dulunya cerah digantikan dengan warna suram.

Menyedari hakikat tersebut, pereka fesyen Calvin Thoo mencipta warna-warna terang dan ceria menerusi koleksi fesyen Hari Raya Aidilfitri.

"Usah disebabkan masalah ini kehidupan kita suram. Sekali-sekala kita memerlukan hari yang penuh dengan warna-warni.

"Pada tahun ini koleksi fesyen raya Calvin Thoo banyak menggunakan nuansa ceria dan terang. Misalnya rona hijau terang, hijau lembut, biru, jingga, merah jambu dan gabungan pelbagai warna," terang pereka fesyen Calvin Thoo sambil memadankan selendang lembut merah jambu kepada Zahnita Wilson.


DARI KIRI: BAJU kurung warna biru dengan selendang yang sedondon dengan baju Melayu.
CERIAKAN Aidilfitri dengan warna-warna terang.
PERINCIAN manik yang berwarna-warni menghiasi kurung moden ini.


Tambah Calvin, baju kurung cukup sinonim dengan hari raya. Sehubungan itu, pereka kelahiran Kuala Lumpur tersebut tidak ketinggalan menawarkan koleksi baju kurung dengan sentuhan moden.

Himpunan baju kurung modennya menggunakan fabrik sifon dan crepe. Ini kerana fabrik tersebut kelihatan terletak di tubuh si pemakai, biarpun kebanyakan fabrik yang dipilih tidak bercorak (polos), tetapi Calvin bijak menyerlahkan baju tersebut dengan hiasan manik dan batu permata.

Manik




Perincian manik yang berwarna-warni itu memenuhi bahagian pergelangan tangan, leher dan kaki baju. Jahitan manik yang kemas dan rapi itu berjaya menyerlahkan rekaan busana dan bersesuaian dengan penampilan wanita Melayu.

Selain baju kurung, Calvin Thoo turut menawarkan baju kaftan yang bercorak abstrak. Kaftan tersebut turut menampilkan kelainan dari segi hiasan manik di bahagian leher dan padanan tali reben yang melilit kemas di pinggang si wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: