“KALAU saya ditakdirkan menjadi artis pada suatu hari nanti, baru saya akan ambil serius tetapi buat masa ini hanya berminat sahaja,” kata Maizawati Zainal yang baru sahaja berjinak-jinak untuk terjun dalam industri seni ini.
Kata bekas isteri kepada penyanyi dan penceramah bebas Akhil Hayy ini, dia sudah lama menanam minat mendalam dalam bidang nyanyian sejak berusia 7 tahun dan pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian.
Apabila mempunyai peluang sekarang, Maiza seharusnya tidak akan melepaskan peluang itu lebih-lebih lagi apabila ditawarkan oleh pihak Yayasan Pembangunan Nurhikmah (YPN) untuk menyanyikan sebuah lagu.
“Saya tak tahu lagi lagu apa yang akan dinyanyikan nanti dan tak kisah rentak lagu yang bagaimana kerana semuanya masih di dalam perbincangan antara orang dalam YPN.
“Ikutkan saya lebih minat dalam bidang bisnes dan akan ceburi bidang nyanyian secara sampingan tetapi kalau rezeki lebih ke arah itu saya terpaksa bahagikan masa saya kepada dua bidang ini,” ujarnya yang baru sahaja terlibat dengan pengambaran iklan komersil biskut D.Haiz Cookies untuk siaran TV9.
Apabila sudah terlalu banyak kerja yang diterimanya selepas bercerai dengan Akhil yang digelar ‘Ustaz Rock’ lebih sebulan lalu, ada juga pihak yang menasihati Maiza supaya menumpukan kepada kariernya dan elakkan berkahwin dulu.
“Sekarang, apabila banyak pandangan daripada orang luar, kadangkala saya rasa tertekan juga kerana ada yang tidak galakkan saya berkahwin buat masa ini dan tumpukan kepada kerja dulu.
“Saya fikir kalau sampai jodoh nanti, sekurang-kurangnya suami boleh uruskan bisnes kalau saya sibuk dengan nyanyian atau lakonan.
“Saya nak kahwin pun sebab fikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan sokongan apabila saya tiada dengan mereka.
“Karier boleh datang kemudian. Tetapi apabila sampai ‘seru’ nanti takkan saya nak tunggu lagi,” jelas Maiza yang sedang memilih-milih calon suami.
Seronok pertama kali berlakon iklan
Sejak kes penceraiannya dengan Akhil menjadi hangat, Maiza tidak terlepas daripada mendapat tempias populariti.
Dirinya menjadi buruan ramai pihak termasuk pengarah dan produser drama.
Menurut Maiza, kini dia sudah mendapat tawaran untuk berlakon dua buah drama yang ditawar oleh produser Yong Rahimah Mohd Johari dan pengarah Adam Hamid.
“Setakat ini saya hanya menerima tawaran daripada Kak Yong dan Adam Hamid dan jika ada tawaran lagi selepas ini mungkin saya akan pertimbangkan.
“Ini kerana saya takkan berlakon sepenuh masa dan ceburi bidang ini bagi mengisi masa lapang.
“Saya bukan nak jadi pelakon tetapi lebih kepada mengisi watak-watak ketandusan yang orang lain susah nak terima.
“Saya tak harapkan pada bidang lakonan semata-mata,” katanya yang seronok berlakon iklan komersil yang diterbitkan oleh Kak Yong.
Maiza terlibat dengan iklan Komersil biskut D.Haiz Cookies arahan Zulkifli Salleh, dua hari lalu selama dua jam.
Bercerita mengenai pengalaman barunya itu, Maiza berkata dia telah mendapat suatu pengalaman yang manis apabila dapat bekerja dengan krew yang ‘sporting’ dan kelakar.
“Saya berlakon dengan seorang perempuan cina dan India dengan berkonsepkan Hari Raya.
“Cerita dalam iklan ini mengenai dua orang itu datang beraya ke rumah saya dan berbual tentang biskut yang dihidangkan.
“Dalam iklan itu, saya memakai jubah dan tudung seperti biasa,” katanya.
Selain itu, Maiza juga dalam proses untuk merakam lagu yang dibikin oleh pihak YPN pada hujung bulan ini.
Dia juga bersedia menerima tawaran jika ada pihak yang berminat membuat album solo untuknya.
Dalam perkembangan yang lain, ibu kepada enam orang anak ini juga sibuk mengendalikan bisnes kek dan jubah abaya di bawah jenama namanya sendiri.
“Sekarang saya sibuk mencari ejen, membuat perbincangan dan kertas kerja untuk produk saya.
“Saya sudah mula membuat promosi dengan menjual 18 biji kek coklat bagi mencuba pasaran tempatan.
“Selepas itu, ada pihak yang membuat tempahan untuk 50 biji kek coklat lagi,” katanya yang turut akan menjayakan ‘roud tour’ Koleksi Tudung Myza di Seremban pada 11 September ini dan muncul di rancangan ‘Wanita Hari Ini’ di TV3 pada 9 September.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: