Sunday, August 30, 2009

Kem Kamunting bukan Guantanamo


PEMERIKSAAN ketat dibuat ke atas pengunjung yang masuk melalui pintu utama tempat tahanan perlindungan ini.


SELEPAS telefon bimbit dan kamera diminta ditinggalkan di loker di ruang lobi, tanda tanya mula tersenarai dalam kepala tentang tempat ini.

Berjalan melewati ruang kepungan yang berpagar setinggi empat hingga lima meter serta berkawat duri, pergerakan sentiasa diawasi anggota pasukan petugas penjara.

Sering dirujuk sebagai Penjara Kamunting, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (Kemta) menempatkan tahanan yang telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 (Sek. 8(1)).

Pusat tahanan yang mula beroperasi pada tahun 1973 ini turut menempatkan banduan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah), dan banduan prabebas iaitu baki tempoh tahanan kurang daripada setahun.

“Di sini, tahanan dibenarkan berjumpa keluarga setiap minggu di bilik perjumpaan keluarga. Setiap sesi yang dipisahkan ruang ini berlangsung selama 30 minit.

“Kami juga memberi kelonggaran dalam kes kecemasan seperti kematian,” ujar Pengarah Komisioner (Pengurusan) Kemta, Ramli Osman.

Dalam lawatan ke kem itu, Ramli membawa kami melihat bangunan pentadbiran dan kemudahan lain seperti balai pengawal, klinik, perpustakaan serta lapangan kerja tani. Seterusnya, kami dibawa menyusuri laluan ke kawasan tahanan ISA.


LALUAN masuk ke kem tahanan.


Jurnal berpeluang meninjau kemudahan di dalam salah satu kem tahanan yang kosong. Dalam bangunan dengan keluasan kira-kira 120 meter persegi itu, maksimum sebanyak 10 buah katil boleh ditempatkan.

Lain daripada jangkaan sebuah sel tahanan sempit dan penghuninya tidur beralas lantai batu, kem ini seumpama sebuah dormitori. Tiada yang ketara jika bercakap tentang kekurangan di dalamnya selain daripada hakikat fizikal bangunan yang kelihatan sedikit usang.

Kami diberitahu, tahanan bebas bergerak dan bergaul sesama sendiri di dalam ruang berlantai simen polos dan berkipas itu.

Turut bersambung dengan ruang tersebut adalah bilik air yang mempunyai empat tandas berpintu (duduk dan cangkung), mandian pancuran serta kolah mandian kongsi.

Penulis sendiri telah cuba berbaring di atas salah sebuah katil yang tingginya kurang setengah meter dari lantai. Seseorang tahanan hanya perlu mencari keselesaan di atas tilam setebal tiga sentimeter itu, tidak ubah seperti mereka yang biasa tidur beralaskan cadar ‘toto’. Bantal dan selimut turut disediakan.

Lampu dipadam

Dengan peraturan lampu yang hanya akan dipadam selepas 12 tengah malam, rasanya tidak banyak yang boleh dikeluhkan oleh 12 orang tahanan ISA yang kini menguni kem tersebut.

“Kami menjalankan program berdasarkan modul Pelan Pembangunan Insan dalam usaha memupuk disiplin dan akhlak tahanan. Ia satu bentuk pemulihan yang dapat disertai tahanan tanpa membezakan tempoh hukuman dan jenis kesalahan mereka,” ujar Ramli.

Beliau juga menerangkan secara terperinci tentang pemberian hidangan seimbang lima kali sehari kepada tahanan serta rutin harian seperti solat berjemaah, tazkirah, kelas ketatanegaraan, kaunseling beriadah dan latihan dalam kumpulan.

“Tahanan juga diberikan hak-hak tertentu seperti hak membuat rayuan, mendapatkan peguam, bertemu keluarga, menulis surat, membuat aduan dan mendapatkan rawatan kesihatan,” terang Ramli.

Timbalan Komisioner Penjara, Datuk Hassan Sakimon memberitahu, dari semasa ke semasa, pihak penjara menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan hak asasi dan juga Majlis Peguam untuk bertemu para tahanan bagi mengetahui tentang kebajikan dan layanan yang mereka terima.

Bagi menjawab dakwaan penggunaan kekerasan dan deraan ke atas tahanan, Hassan menegaskan bahawa tiada sesi soal siasat yang menggunakan kaedah sebegitu di pusat tersebut kerana ia di luar bidang kuasa mereka. Para pegawai penjara juga menjalankan tugas mengikut etika yang ketat.

“Pusat tahanan ini hanya menumpukan usaha pemulihan. Ini bukan Guantanamo yang dilaporkan menyeksa tahanan. Kami bukan saja menawarkan kebebasan bergerak di dalam kawasan ini, malah layanan kami jauh lebih berperikemanusiaan,” jelas Hassan.

Hanya prasangka

Nyata, satu-satunya ‘kekejaman’ adalah prasangka mereka yang tidak berpeluang meninjau isi pusat tahanan ini. Sentimen yang diapi-apikan itu juga datang daripada golongan yang pernah menjadi penghuni kem ini, namun memburuk-burukkannya atas niat mencetus kekecohan dan memanipulasi tanggapan ramai.

“Selain mengakui kekurangan fizikal pada bangunan yang semakin usang, cabaran utama yang kami hadapi adalah mengenai sebarang tindakan pihak yang mencabar penahanan mereka. Bukan mudah sebenarnya hendak memuaskan orang tahanan di sini,” rumus beliau.


KONSEP pemulihan rohani dan jasmani serta modul kenegaraan berlangsung di sebalik pagar yang tinggi ini.


Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, sesetengah masyarakat tidak menyedari betapa pentingnya pelaksanaan ISA di negara ini.

“Memang ada peruntukan dalam Perlembagaan mengenai undang-undang yang menghalang sebarang bentuk gerakan atau tindakan yang menjejaskan keselamatan negara, walaupun kerajaan menjamin kebebasan setiap rakyatnya,” jelas beliau.

Peringatan tentang akta tersebut juga perlu difahami golongan yang melanggar beberapa perkara sensitif seperti mencabar kedaulatan raja, menimbulkan permusuhan antara rakyat berbilang kaum, mempertikaikan soal agama serta menjatuhkan kerajaan tanpa mengikut undang-undang.

Zainal mengalu-alukan usaha mengkaji semula pelaksanaan ISA agar ia relevan dengan keadaan yang sentiasa berubah.

Kalau dahulu ia lebih digunakan untuk menghalang kegiatan komunis dan keganasan, mungkin ia perlu diperinci bagi menilai lebih banyak sudut ancaman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“ISA bukan ciptaan kita. Ia digunakan untuk menjaga keamanan sejak zaman kolonial lagi. Maka kita boleh memindanya agar lebih sesuai dengan situasi dan permasalahan semasa,” jelas beliau.

Tambah beliau, baik di negara Amerika Latin, Afrika dan beberapa negara Asia, akta yang sama juga telah digunakan sejak zaman-berzaman bagi menjamin keamanan negara mereka.

Malah, kerajaan Thailand juga sudah menggerakkan kembali undang-undang ISA bagi mengawal kemelut sosiopolitik di negara itu.

“Jika kita fikirkan, ISA juga boleh diguna pakai untuk menghadapi ancaman kes influenza A (H1N1) jika situasi semakin memburuk hingga membawa kepada status darurat.

“Akta ini sebenarnya boleh digunakan bagi menyekat pergerakan mereka yang membawa virus ini daripada menyebarkan jangkitan yang seterusnya membahayakan masyarakat keseluruhannya,” terang Zainal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: