AARON memberikan aksi hebat dalam Murderer. |
Aaron Wok memberi lakonan mantap dan meninggalkan kesan
TIGA tahun selepas menonton lakonan berkesannya sebagai bapa bermasalah dalam After This Our Exile, kini aktor Aaron Kwok sekali lagi tampil cukup meyakinkan dalam filem Murderer atau Saat Yan Faan. Menerusi filem arahan Roy Cheung ini, lakonannya sebagai Ketua Inspektor Polis Ling yang tertekan dengan sebuah kes siasatannya sangat memberangsangkan.
Murderer mengisahkan Ling yang ditugaskan untuk menyelesaikan kes pembunuhan kejam oleh penjenayah yang belum dapat dijejaki. Ling ialah pegawai polis berkaliber yang sudah banyak menyelesaikan kes rumit. Rekod kerjanya yang bagus turut membolehkan dia dicalonkan untuk kenaikan pangkat.
Dia dianugerahkan dengan kehidupan mewah serta berbahagia bersama isteri yang jelita dan anak angkat yang comel. Pada dasarnya, kejayaan Ling memang mudah dicemburui sesiapa saja.
Kehidupan sempurna Ling bagaimanapun bertukar apabila rakan sekerja yang juga teman baiknya dibunuh ketika mereka menjalankan operasi. Ling sendiri ditemui dalam bangunan yang sama, tidak sedarkan diri. Pembunuh yang mereka buru itu pula melepaskan diri. Lebih memburukkan keadaan, Ling tidak mengingati kejadian berkenaan selepas sedar daripada pengsan.
Pembunuh kejam itu menggerudi tubuh mangsanya untuk mati secara perlahan-lahan. Ia membuatkan Ling serta pasukan polis bermati-matian mencari pembunuh terbabit, yang jejaknya sukar dikesan. Mereka berusaha menghentikan pembunuhan paling kejam pernah berlaku di Hong Kong.
Namun, setiap kali Ling menemui petunjuknya, semua maklumat yang diperoleh itu bagai menuding jari ke arah dirinya sendiri sebagai pembunuhnya. Lebih dalam dia menggali untuk mencari kebenaran, lebih kuat dirinya menjadi orang paling disyaki dengan kes berkenaan. Keadaan itu membuatkan dirinya hampir hilang akal.
Berperang dengan diri sendiri, Ling tertekan dalam persoalan, apakah dia pembunuh yang dicari-cari selama ini atau sebaliknya?
Bagi menjayakan watak ketua inspektor polis yang hampir hilang kewarasan apabila berdepan dengan kemungkinan dirinya ialah pembunuh sebenar, Aaron memaksa dirinya duduk keseorangan di suatu sudut ketika berada di lokasi penggambaran, dengan muka yang garang. Dia juga tidak bercakap hampir seharian dan tidak tidur ketika produksi filem ini diadakan. Kru produksi memberi amaran sesama mereka untuk tidak menghampirinya. Semua itu dilakukan Aaron bagi membolehkannya mendapatkan emosi lelaki yang terganggu perasaan.
‘Seksaan’ itu dilihat berbaloi apabila dia menguasai sepenuhnya filem terbabit dengan lakonan membanggakan. Pada wajahnya jelas terbayang kekusutan, kekeliruan, amarah, dendam dan sebagainya. Persembahan pelakon berusia 43 tahun ini cukup menonjol dan meyakinkan.
Membantu menguatkan Murderer ialah jalan cerita yang membuatkan penonton berteka-teki sendiri, apakah Ling benar-benar penjenayah tidak berhati perut yang dicari, atau dia hanyalah mangsa aniaya sesetengah pihak yang cemburukan kejayaan serta kesenangan hidupnya?
- Filem: Murderer
- Genre: Misteri, Thriller
- Pengarah: Roy Cheung Hin-Yeung
- Pelakon: Aaron Kwok, Ning Chang, Chin Ka-Lok, Josie Ho, Cheung Siu-Fai
- Tayangan: Mulai 27 Ogos
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: