CHAMP datang ke Malaysia untuk mendapatkan tali pinggang hitam kelas ketiga. |
BUAT kesekian kalinya penonton National Geographic Channels International (NGCI) seluruh dunia akan dapat mengikuti sisi budaya negara ini apabila dokumentari berjudul Fight Masters: Silat ditayangkan di saluran berkenaan.
Di Malaysia, dokumentari yang dihasilkan menerusi projek usaha sama antara Finas dan NGCI itu menemui penonton buat kali pertama jam 9 malam ini. Ulangannya boleh diikuti pada 11 September dan 15 September, masing-masing pada jam 9 malam.
Dokumentari selama sejam itu diarahkan Justin Ong dari GS Productions. Dirakam dalam bentuk definisi tinggi (HD), produksi NGCI itu meneroka seni dan sains pertahanan diri Melayu lama, silat, sebagai satu daripada budaya unik negara ini.
Fight Masters: Silat ialah satu daripada dua dokumentari yang dihasilkan dalam bentuk HD oleh penggiat filem tempatan di bawah program Malaysia To The World 2, hasil persefahaman antara NGCI dan Finas, dengan matlamat memperkenalkan Malaysia serta budayanya ke peringkat global, di samping memberikan pendedahan kepada pembikin filem negara ini kepada penghasilan dokumentari lebih berkualiti dan kompetitif.
Sebelum ini, Finas dan NGCI pernah menghasilkan kerjasama serupa menerusi program Malaysia To The World. Dokumentari Becoming A King dihasilkan pada 2007, manakala Smart Tunnel pula pada 2008. Masing-masing diterbitkan NGCI bersama produksi tempatan, GS Productions dan Creative Nation.
Sepanjang penghasilan filem terbabit, pembikin filem tempatan mendapat bimbingan daripada veteran NGC bagi memastikan ia mencapai standard yang dikehendaki saluran terbabit, dengan mempunyai jalan cerita menarik, visual mengagumkan, pintar, inovatif serta disokong topik dan cara pembikinan yang terkini.
WONG (kiri) menerima cendera hati daripada Mok dan Basil Chua sambil diperhatikan Mohd Mahyidin. |
Pada majlis pelancaran dokumentari itu baru-baru ini, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong berkata, kerajaan berkeyakinan filem dokumentari mempunyai aset intelektual yang tinggi nilai komersialnya, yang mampu merentasi setiap sempadan dunia dan dikongsi serta dihayati pelbagai bangsa.
"Dua tahun lalu Finas dan NGC menerbitkan dua dokumentari dengan jangkauan siaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa.
"Dengan hasrat membawa dokumentari Malaysia ke persada antarabangsa, Finas terus membina kerjasama dengan saluran terbabit bagi penerbitan dua lagi dokumentari untuk pasaran dan siaran dunia pada 2009 ini.
"Secara total, perkongsian pintar ini memberikan faedah besar kepada rakyat dan negara dari segi pendedahan dan pasaran. Dengan cara ini, budaya dan cara hidup masyarakat kita dapat dipertontonkan kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada filem lain untuk ke pasaran dunia," katanya.
PEMUDA kulit putih ini perlu melepasi ujian dibakar dengan api obor. |
Hadir sama pada majlis terbabit ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim; Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin; dan Pengarah Wilayah National Geograpic Channel Asia, Basil Chua.
Selain itu, katanya, karyawan filem tempatan turut menimba pengalaman bekerja dengan veteran filem saluran terbabit dalam menghasilkan dokumentari bertaraf dunia. Ia tentu sekali proses yang memberikan kelebihan kepada karyawan Malaysia dalam mengutip ilmu yang mampu mempertingkatkan profesionalisme, amalan kerja, pengetahuan dan kemahiran mereka.
SINOPSIS:
FIGHT Masters: Silat antara lain mengisahkan seorang tentera laut Amerika Syarikat, Joel Champ yang mendalami seni pertahanan diri Melayu, silat, sejak 14 tahun lalu. Bekerja dengan pasukan tentera pada siang hari, sebelah malamnya dihabiskan dengan menuntut ilmu persilatan bersama Cikgu Sam.
Joel kini bersedia untuk melalui ujian getir dalam usaha meningkatkan kemahirannya daripada Tali Pinggang Hitam Kelas Kedua kepada Tali Pinggang Hitam Kelas Ketiga. Bagaimanapun, dia hanya boleh berbuat demikian di Malaysia.
Dokumentari ini memaparkan bagaimana Joel mempelajari seni itu daripada pahlawan Silat Gayung negara. Kini, dia harus memahirkan diri dengan beberapa gerakan baru, mempelajari serangan maut yang mesti dia patahkan, serta senjata berbahaya yang tidak pernah terfikir olehnya.
Lebih menggerunkan, apabila Joel perlu melepasi ujian getir - minyak mendidih dan api yang marak membakar. Jika dia berjaya mengatasi dua halangan berkenaan, ujian terakhir menanti apabila dia harus pula berdepan dengan lawan yang juga juara silat olahraga sebanyak dua kali.
Jika anda ingin menyaksikan bagaimana pemuda Amerika itu mendalami ilmu silat serta berdepan ujian dalam mendapatkan kemahiran tertinggi dalam dunia persilatan, ikuti dokumentari menarik ini apabila ia disiarkan sempena Hari Kemerdekaan.
FIGHT MASTERS: SILAT
Tayangan perdana: Isnin 31 Ogos @ 9 malam
Ulangan: Jumaat 11 September @ 9 malam, Selasa 15 September @ 9 malam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: