Saturday, August 29, 2009

Scha, Fahrin kumpul duit dulu


KISAH cinta pelakon meningkat naik, Scha Al Yahya dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad memang heboh diperkatakan peminat ketika ini.

Malah, pelakon yang popular dalam drama Awan Dania itu sudahpun tampil membuat pengakuan kepada pihak media mengenai hubungan cintanya dengan Fahrin yang terjalin hampir setahun itu.

"Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar. Lebih bermakna, ia mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Terus terang, saya juga mengharapkan hubungan saya dan Fahrin berakhir ke jenjang pelamin apabila tiba masanya nanti," katanya.

Jika nak diikutkan, kata Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 26, dia mensasarkan usia 28 tahun untuk mendirikan berumah tangga.

"Namun, buat masa ini, kami belum menuju ke arah itu (berkahwin) termasuk perancangan untuk melangsungkan majlis pertunangan dalam tempoh terdekat ini.

"Maklumlah, kedudukan kewangan kami berdua belum stabil lagi dan kami perlu kumpul duit terlebih dulu sebelum memutuskan berkahwin," katanya.

Scha ditemui ketika pelancaran filem Libas arahan Jurey Latiff Rosli di Saloma Bistro, Jalan Ampang, baru-baru ini.

Ditanya gosip yang mengaitkan dirinya ada masalah disiplin hingga menyusahkan produksi sebelum ini, Scha menafikan perkara itu.

"Sebagai artis baru, saya memang menitikberatkan soal disiplin sejak mula terbabit dalam bidang seni lagi.

"Sebab itu saya tidak akan terima tawaran buat dua kerja sekali gus dalam satu masa hingga menyusahkan produksi atau pihak tertentu ."Contohnya, saya bukan sengaja datang lewat pada majlis pelancaran filem Libas hari ini. Sebenarnya, apa yang berlaku juga di luar kawalan saya.


"Saya sudah memberitahu penerbit filem ini, MDAG Sdn Bhd, saya ada komitmen lain dan pada hari yang sama dengan majlis pelancaran ini, tetapi mereka memberi kebenaran kepada saya untuk datang lewat sekalipun majlis sudah berakhir," katanya.

Bercerita lanjut mengenai lakonannya dalam filem Libas, Scha berkata, dia hanya bawa watak pembantu bernama Ratna yang bercinta dengan watak utama, Adnan Saladin (lakonan Rosyam Nor) dalam filem aksi komikal itu.

"Saya juga hanya terbabit dalam penggambaran filem arahan Jurey Latiff Rosli itu tidak sampai sepuluh hari. Saya terima tawaran bawa watak Ratna kerana tertarik dengan karakternya.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Rosyam dan pada mulanya memang saya berasa takut bergandingan dengannya kerana bimbang tidak dapat sampaikan apa yang dikehendakinya.

"Apapun, Rosyam tidak kedekut ilmu serta banyak membantu saya di lokasi pengambaran filem ini," katanya.

Libas adalah filem keenam lakonan Scha selepas Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Dimensi Cinta dan Evolusi KL Drift 2.

Dalam pada itu, bekas pengacara program Sehati Sejiwa dari Sungai Petani, Kedah ini juga nampaknya tidak menang tangan menerima tawaran berlakon tahun ini.

"Saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri Awan Dania untuk musim kedua sepanjang Ramadan ini. Mengenai program raya pula, saya terbabit dalam dua program untuk stesen TV9 iaitu Nak Duit Raya dan Santai Aidilfitri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: