Saturday, August 29, 2009

3 drama hebat sempena MERDEKA di TV2

Jika pejuang kemerdekaan disanjung baktinya kerana menyumbang tenaga dan berkorban nyawa untuk memerdekakan negara, namun bagi seseorang pelakon, bakat mereka juga tidak kurang pentingnya dalam menyuntik semangat di kalangan masyarakat dengan drama-drama bercorak kemerdekaan yang dapat mengimbau sejarah kemerdekaan selain semangat cintakan negara.

Situasi itu turut dikongsi sama pelakon bertubuh sasa yang kini hangat dikatakan sedang bercinta dengan Scha Al Yahya, pelakon yang juga bekas pengacara program Sehati Sejiwa yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). Fahrin muncul membawakan watak utama menerusi drama menarik, Namaku Bukan Setsuko yang akan disiarkan hari ini (Sabtu) jam 9 malam di TV1.

Namaku Bukan Setsuko merupakan sebuah drama yang sarat dengan kisah percintaan, kesetiaan dan pengorbanan dua insan semasa zaman pendudukan Jepun di Malaya yang akhirnya membawa perpisahan. Kazuo seorang tentera Jepun berpangkat Jeneral bertemu cinta pandang pertama dengan Tijah, seorang gadis Melayu yang juga seorang penyanyi ghazal di Muar, Johor.

Pertemuan pertama mereka bermula ketika Kazuo dan bala tenteranya datang menggempur kampung di mana ketika itu Tijah sedang membuat persembahan ghazal di sebuah majlis perkahwinan. Cinta mereka berputik dari mata jatuh ke hati. Kazuo mengahwini Tijah walaupun mendapat tentangan termasuk Hamid yang ketika itu adalah tunangan Tijah. Hasil daripada perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Saleha. Perpisahan mereka terjadi pada Ogos 1945 ketika Jepun menyerah kalah di Malaya. Hamid dan konconya memburu untuk menghapuskan Kazuo yang melarikan diri di suatu malam ketika hujan lebat bersama Tijah dan anak mereka. Perpisahan berlaku semasa mereka melarikan diri di mana Tijah terlepas daripada pegangan tangan Kazuo lalu hanyut dibawa arus air yang deras. Kazuo dan anaknya terselamat.

Kehadiran Setsuko bersama anaknya, Yuki ke Malaysia pada Ogos 2008 berbekalkan seribu satu harapan di mana beliau ingin mencari dan menemui ibu kandungnya setelah sekian lama terpisah.

Berbekalkan wasiat daripada mendiang bapanya serta sebuah kotak kayu lama yang mengandungi gambar serta cincin lama peninggalan bapanya, Setsuko dan Yuki berusaha menjejaki wanita Melayu bernama Tijah. Bahrin seorang pemuda tempatan, rakan Yuki ketika menuntut di Tsukuba Universiti menawarkan bantuan untuk merealisasikan harapan mereka. Cabaran demi cabaran serta kekeliruan mereka tempuhi sepanjang proses menjejaki Tijah di mana wanita yang mereka jumpai bukanlah Tijah namun Nek Mah. Selain seorang imam tua di kampung tersebut bernama Tok Hamid.

Selain Fahrin Ahmad, drama terbitan Unit Drama RTM arahan Fahmi Sarindi ini memperkenalkan watak lakonan Mariani Ismail , Nisya Dirr, Dian P Ramlee, Elaine Daly, Wan Maimunah, Maimun Talib dan Abu Bakar Omar.


Zulhuzaimi teraju utama 'Azam'

Telemovie terbitan Eurofine Sdn Bhd, Azam yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Zul Huzaimy, Liza Abdullah, Lisdawati, Ridzuan Hashim, Almy Nadia, Abu Bakar Juah, Eric Fuzzy dan Zizan Nin ini berlegar sekitar kisah anak muda bernama Azam yang tidak mempunyai arah tujuan hidup dan dia mengambil mudah dalam segala hal. Memang sejak dari kecil dia tidak pernah cemerlang dalam pelajaran dan keputusan peperiksaan Azam pun hanya cukup-cukup makan sahaja dan ini sudah cukup untuk mengembirakan Azam. Tidak seperti namanya, dia tidak mempunyai keazaman walaupun dia bukan seorang yang bodoh. Keluarga Azam tahu yang sekiranya dia rajin berusaha Azam mempunyai potensi untuk berjaya di dalam hidupnya tetapi tiada apa yang boleh mengubah sikap malasnya ditambah pula dengan sikapnya yang tidak mempunyai keazaman dalam apa jua dilakukan.

Sehinggalah apabila Azam memasuki IPTS, Azam mendapat lebih kebebasan lalu prestasi akademiknya merosot. Pada usia 23 tahun, rakan-rakan Azam sudah mula bekerja tetapi Azam masih belum tamat pengajiannya kerana terpaksa mengulangi beberapa semester untuk menamatkan pengajiannya. Satu-satunya orang yang masih berlembut dengan Azam ialah datuknya yang merupakan seorang nasionalis dan pejuang kemerdekaan ketika mudanya. Haji Subhi selalu menceritakan pada Azam tentang kesesusahan yang terpaksa ditempuhi oleh orang Melayu semasa dijajah dan bukan mudah untuk membebaskan diri daripada penjajah. Menurutnya, ia memerlukan kegigihan dan semangat juang yang tinggi. Bagaimanapun Azam tidak pernah mengambil peduli akan apa yang diperkatakan datuknya. Sehinggalah Azam terkandas di sebuah pulau selama beberapa hari. Adakah Azam dapat menyelamatkan dirinya untuk keluar dari pulau tersebut justeru berubah sikap? Jangan lupa saksikan Azam di pagi Isnin, 31 Ogos, jam 10 pagi di TV2.


Pengorbanan orang Melayu bangunkan ekonomi dalam 'Daerah Kelabu'

Menerusi Daerah Kelabu pula anda diajak menyusuri jalan cerita bermula di Daerah Kelabu dalam tahun 1952 sebelum tarikh keramat 31 Ogos 1957 di mana banyak penerokaan tanah hutan telah diusahakan oleh masyarakat kampung dengan tujuan menanam getah sekaligus mendapat keselesaan hidup apabila tanahair ini merdeka. Kelompok penduduk kampung yang diketuai Judin bersama-sama Setapa, Hamid dan Andak telah bersatu untuk meneroka hutan berhampiran dengan tujuan meluaskan kawasan kampung mereka dan berhasrat menyediakan keselesaan untuk anak cucu mereka kelak.

Namun begitu, malang menimpa apabila Hamid mati ditembak komunis. Mereka bertiga sepakat untuk tidak memberitahu punca kematian Hamid yang sebenar kepada Hendon, adik arwah dan Taib suami Hendon. Hal ini terpaksa dilakukan kerana sebenarnya mereka melakukan penerokaan haram. Mereka khuatir kerana berita kematian Hamid diketahui, pihak kerajaan akan menjadikan kawasan tersebut kawasan hitam. Jika ini berlaku, musnahlah segala usaha dan penat lelah mereka selama itu. Selepas berhenti sebagai askar, Taib bekerja sebagai pengawal di sebuah ladang kepunyaan orang Inggeris. Tidak lama kemudian, Taib menerima surat kematian Hamid setelah enam bulan Hamid meninggal.

Di kampungnya, Taib mendapat tahu punca kematian Hamid yang sebenarnya. Dia amat marah dengan Judin dan Andak yang telah membohonginya mengatakan Hamid meninggal kerana demam malaria.

Telemovie arahan Kamarudin Ambak ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Sharonizam Nor, Md Diah, Merisa Yasmin,Kazar, Aishah Atan, Zainurdin Ismail, Sarip Noor, Rashid Jaafar dan Jefry Sulaiman.

Saksikan semangat kemerdekaan yang dipaparkan menerusi drama hebat ini yang akan ditayangkan di TV2 pada jam 12.30 tengah hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: