Sunday, August 30, 2009

Buka puasa dan tanggungjawab sosial


Para artis tidak melupakan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ketika Ramadan. - Gambar hiasan


RASANYA masih belum terlewat untuk Wanda mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat di negara ini, juga di perantauan.

Sememangnya bulan penuh keberkatan ini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Ketika ini ramai yang mengambil peluang untuk tidak melakukan sebarang aktiviti bagi menumpukan perhatian kepada ibadat.

Para artis tempatan juga ramai yang menolak tawaran seni semata-mata untuk menjalani ibadah dan mendapatkan keberkatan Ramadan.

Malah ketika ini juga ramai artis yang mengambil peluang menjalani ibadah berpuasa di Mekah untuk mengerjakan umrah.

Memang jika dilihat aktiviti seni agak berkurangan pada bulan ini namun sambutan Ramadan tetap dirai dan terus meriah dengan pelbagai majlis sambutan berbuka puasa.

Sejak awal Ramadan lagi, sudah banyak jemputan yang diterima untuk menghadiri majlis sebegini. Selalunya dewan hotel menjadi pilihan.

Mungkin kerana kemudahan yang disediakan dan pelbagai juadah berbuka puasa disediakan untuk meraikan tetamu.

Tetapi ada juga yang mengadakan majlis di masjid antaranya Aizat dan syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment yang memilih Masjid KLCC untuk meraikan majlis berbuka puasanya.

Selalunya memang ramai artis yang meluangkan masa untuk menghadiri jemputan majlis berbuka puasa.

Sementelah mereka juga berpeluang untuk meraikan Ramadan dan kehadiran Syawal bersama golongan kurang bernasib baik.

Warga tua, anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan golongan kurang upaya merupakan antara insan yang sering diraikan semasa sambutan majlis berbuka puasa.

Memenuhi tanggungjawab sosial mereka, golongan industri seni juga tidak ketinggalan mengambil peluang mengerjakan amal.

Justeru selalunya dalam kemeriahan sesebuah majlis berbuka, golongan yang dirai ini akan diberikan duit raya.

Sekurang-kurangnya dengan adanya majlis sebegini mereka sedar masih ada pihak yang prihatin dan mengambil berat terhadap nasib mereka.

Biarpun mungkin jumlahnya tidak sebesar mana namun pemberian ini pasti mampu memberikan senyuman kepada mereka yang memerlukan.

Itulah lumrah kehadiran Ramadan. Boleh dikatakan hampir sepanjang bulan mulia itu, insan kurang bernasib baik ini diraikan dengan harapan agar mereka dapat merasai kemeriahan meraikan hari kemenangan umat Islam.

Wanda mengharapkan kemeriahan begini akan berterusan dan golongan kurang bernasib baik ini terus dibela nasibnya.

Hendaknya janganlah tanggungjawab sosial seperti ini hanya tertumpu pada bulan-bulan Ramadan dan Syawal sahaja.

Selamat berbuka puasa dan selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-52.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: