Sunday, August 30, 2009

Biorock kembalikan keindahan dasar laut




Terumbu karang tiruan tingkat ekosistem, pulih khazanah perairan negara

MELIHAT kepada apa yang terjadi pada muka bumi ketika ini, memang ada logiknya kenapa malaikat tertanyatanya apa tujuan Allah menjadikan manusia jika mereka hanya membawa kerosakan.

Kemusnahan yang diciptakan manusia atas nama pembangunan bukan sedikit dan penduduk dunia sudah mula berasa kesan hasil daripada kerakusan berpuluh tahun lamanya. Paling malang kerosakan bukan hanya dirasakan makhluk yang berada di darat, sebaliknya sudah melarat menjejaskan hidupan laut yang selama ini menjadi sumber ketakjuban manusia kepada keindahan ciptaan Allah.

Perairan Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman kemusnahan, sebahagian besarnya disebabkan manusia dan selebihnya oleh kuasa semula jadi alam. Batu karang yang menjadi sumber keindahan dasar laut dan berfungsi sebagai pemecah ombak kini semakin pupus dan jika tiada langkah diambil, ia hanya akan tinggal nama.

Enggan dibebani rasa bersalah terhadap generasi akan datang kerana tidak berbuat sesuatu untuk menyelamatkan batu karang, Bioreef Technology (M) Sdn Bhd (Bioreef Malaysia), ditubuhkan dan menerima tanggungjawab untuk cuba mengatasi dan menghalang pencemaran yang semakin buruk dengan memperkenalkan Proses Biorock, teknologi terkini memulihkan batu karang dan bertahan daripada kerosakan disebabkan perubahan iklim global, fizikal dan nutrien berlebihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioreef Malaysia, Zulfakar Salleh, berkata kaedah Biorock bukan sekadar memulihkan batu karang tetapi menjadikannya lebih tahan lasak dan mampu tumbuh tiga hingga lima kali lebih cepat berbanding proses semula jadi.



Katanya, Bioreef Malaysia bertindak sebagai perintis dan menjadi satu-satunya organisasi swasta di Malaysia yang memantau dan memastikan pertumbuhan terumbu karang berkualiti dan sihat.

"Saya sedar rakyat Malaysia masih terlalu asing dengan Biorock walaupun kaedah itu sudah terbukti berjaya di banyak negara lain seperti Maldives, Seychelles, Thailand, Indonesia, Papua New Guinea, Mexico, Panama sehingga ke Saya de Malha, sebuah kawasan terpencil dan belum pernah diteroka di Lautan Hindi.

"Biorock ialah struktur rangka besi dihasilkan manusia yang bertindak sebagai terumbu karang tiruan. Ia menjadi tapak untuk diikat dengan serpihan batu karang dan arus elektrik voltan rendah dialirkan ke struktur berkenaan.

"Ia akan bertindak menjadi terumbu yang kukuh dan meningkatkan ekosistem laut bagi membantu hidupan laut serta menghalang hakisan pantai," katanya.

Contoh bentuk Biorock yang dibuat mengikut kesesuaian.

Ia adalah sistem yang boleh menghasilkan kalsium karbonat, iaitu sumber subtrak semula jadi yang amat penting untuk tumbesaran semua jenis batu karang.

Apabila arus elektrik disalirkan, besi akan bergetar dan sembilan elemen yang ada dalam air laut iaitu sodium, magnesium, kalsium, potassium, strontium, klorin, sulfur, bromin dan karbon akan mendak dan melekat pada struktur besi berkenaan.

"Proses Biorock iaitu tokokan mineral pula ialah kaedah terkini menghasilkan batu kapur yang menutupi struktur besi dalam jangka masa 48 jam dan bertindak sebagai sumber membantu pertumbuhan batu karang. "Batu karang yang dihasilkan menerusi kaedah itu mampu bertahan dalam tekanan persekitaran laut seperti faktor manusia dan semula jadi.

"Syarikat ini tidak berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada kesedaran dan keinginan mendesak menjaga laut kita supaya ia dapat dikembalikan kepada generasi akan datang sekurangkurangnya sama seperti kita memperolehnya dulu," kata Zulfakar yang mengakui kewangan menjadi faktor utama kaedah itu masih belum dijalankan di Malaysia.

Katanya, sikap lebih mengutamakan keuntungan dalam sekelip mata daripada sabar menunggu hasil tuaian lebih lumayan menjadi penghalang besar kepada usahanya mencari penaja untuk memulakan proses itu secepat mungkin bagi menyelamatkan batu karang di perairan negara yang disifatkannya semakin nazak.

"Struktur besi berukuran 3 meter x 3 meter x 5 meter saja memakan kos sehingga RM500,000 termasuk menyalurkan arus elektrik selama dua hari tanpa henti untuk menghasilkan batu kapur, proses pemantauan berikutnya dan pelbagai proses lagi untuk memastikan ia dapat hidup seperti dimahukan.

"Jika ada syarikat korporat yang sudi menaja, kita boleh membentuk struktur besi mengikut logo atau nama syarikat mereka untuk ditenggelamkan di dasar laut yang ditentukan dalam usaha menumbuhkan batu karang. Dalam masa tiga tahun, batu karang akan tumbuh mengikut acuan logo atau nama syarikat yang dibentuk.

"Kita sebenarnya boleh membentuk taman laut sendiri menerusi proses ini. Ia bukan saja dapat memelihara karang, menghalang hakisan pantai sebaliknya menjadi syurga penyelam seluruh dunia yang sudah pasti dalam menggerakkan industri pelancongan dengan lebih pesat," katanya.

Terumbu biak hidupan marin

KESUNGGUHAN Ketua Pegawai Eksekutif Bioreef Technology (M) Sdn Bhd (Bioreef Malaysia), Zulfakar Salleh menyuarakan keyakinannya mengenai usaha menumbuhkan semula batu karang, turut disambut pertanyaan - bolehkan batu karang ditumbuhkan kerana ia adalah kejadian alam, bukan satu daripada rekaan manusia yang boleh dijelmakan kembali jika sudah pupus?

Seperti mengerti apa yang bersarang di fikiran, Zulfakar lantas memperkenalkan Biorock iaitu satu struktur tiruan yang dicipta untuk menjadi struktur secara langsung, disalirkan dengan arus elektrik untuk menyokong karang yang diikat padanya dengan dawai besi, beransur-ansur tumbuh dan berkembang menjadi satu sistem terumbu yang kukuh.

"Struktur besi akan diturunkan pada lokasi sedalam enam meter yang dikenal pasti - selalunya berhampiran pantai kerana memudahkan penyaluran arus elektrik dan mengurangkan kos. Selama dua hari, arus elektrik voltan rendah dialirkan untuk menghasilkan batu kapur yang boleh menghalang besi daripada berkarat sekali gus menjadi makanan kepada terumbu Biorock dan selepas dua hari, ia dihentikan dan cuma akan disalirkan semula mungkin dua, atau tiga hari sekali. Ia langsung tidak membahayakan kepada semua jenis sukan air terutama menyelam.

"Pemantauan secara berkala dibuat untuk membersihkan terumbu Biorock daripada organisme yang menumpang kerana ia boleh membantutkan pertumbuhan batu karang. Batu karang pada terumbu Biorock diperoleh daripada serpihan batu karang yang patah atau tertimbus, malah batu karang hampir mati juga diambil dan dipulihkan menerusi kaedah ini," katanya.

Kaedah ini mungkin terlalu asing di Malaysia tetapi negara seperti Maldives dan Indonesia sudah memperoleh kejayaan daripada teknologi ini.

Di Maldives misalnya, projek itu berjaya menghalang hakisan pantai yang kronik, malah mempertingkatkan keluasan ruang depan pantai sejauh 15 meter hanya dalam beberapa tahun saja. Ketika Malaysia baru diperkenalkan kepada teknologi ini, negara jiran, Indonesia sudah menikmati faedah Biorock dengan penghasilan lebih banyak karang laut dan ikan di sekelilingnya berbanding pertumbuhan semula jadi.

Zulfakar berkata, kebaikan Biorock dapat dilihat daripada kemampuan batu karang untuk pulih 20 kali lebih cepat dan dapat hidup dalam suhu tinggi melebihi 16 hingga 50 kali ganda.

"Ia juga berfungsi sebagai pemecah ombak menggantikan konkrit dan batu yang agak mahal, tanpa mencemarkan alam sekitar, menghasilkan anak terumbu karang dengan lebih banyak dan kepada nelayan persisiran pantai, Biorock umpama penjana rezeki kerana ia turut menarik kehadiran ikan dalam jumlah menakjubkan.

"Rangka besi boleh direka dalam pelbagai bentuk tertakluk kepada kesesuaian tempat dan kawasan tarikan pelancongan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: