LEBIH lima bulan penyampai radio Hot FM, Kartini Kamalul Ariffin, 31, atau Tini, melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Nur Sulhi Jasmin yang disapa Sol, 29. |
Kehadiran Ramadan kali ini mencatat pengalaman yang cukup menarik buat Tini selepas bergelar isteri. Di samping menjayakan pelbagai aktiviti bersama stesen radio yang bernaung di bawah Media Prima Berhad itu, Tini turut berpeluang menjalani ibadat puasa di sisi suami.
Gadis kelahiran Petaling Jaya ketika ditemui turut berkongsi pengalaman baru yang disifatkan cukup berbeza.
Sejak awal Ramadan, Tini berdepan pelbagai program berbuka puasa.
"Puasa kali ini memang meriah. Sejak hari pertama puasa lagi saya sudah terbabit dengan program berbuka puasa bersama pendengar. Hari berikutnya saya banyak berbuka di rumah keluarga.
"Biarpun tinggal berasingan dengan keluarga, saya kerap meluangkan masa berbuka puasa dengan mereka disebabkan jarak kediaman kami di Kota Damansara manakala keluarga di Bandar Utama agak hampir.
"Setakat ini, saya dan suami masih belum sempat berbuka di rumah kami sendiri.
"Begitupun, kami menghabiskan waktu sahur bersama. Walaupun saya tidak mengambil makanan berat pada waktu sahur sebaliknya hanya meminum air kosong.
"Soal menyediakan hidangan masakan untuk berbuka dan sahur juga tidak timbul banyak masalah kerana suami bukan seorang yang cerewet.
"Kami juga tidak mahu membazir dan kadangkala juadah makanan berbuka akan dipanaskan untuk sahur.
|
Jika dulu sesi fotografi hanya membabitkan dirinya atau bersama rakan setugas namun kali ini suami turut serta dalam sesi fotografi.
Bersama Hot FM, Tini dan barisan penyampai radio berkenaan menjayakan beberapa program seperti Majlis Berbuka Puasa bersama 100Plus di beberapa lokasi pilihan sepanjang Ramadan, disusuli Majlis Berbuka Puasa Iftar yang berlangsung di Courts, Setapak, Kuala Lumpur pada 4 September ini selain aktiviti Hot FM Bazaar Ramadan yang dijadualkan berlangsung di Kelantan pada 12 September ini.
Tini mengendalikan segmen English Chart Show (20 lagu terbaik antarabangsa) yang disiarkan setiap Sabtu jam 9 hingga 12 tengah malam selain Menu Muzik Hot FM yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 1 tengah hari hingga 4 petang.
Dia yang pernah membintangi filem Gol & Gincu dan pengacara program majalah wanita, 3R berkenalan dengan suami pada 2006 yang bertugas di bawah satu bumbung.
Jika tahun sebelumnya dia terpaksa bertugas di konti namun kini tiba gilirannya untuk bercuti pada Syawal nanti.
"Tidak timbul masalah besar sangat jika saya ditugaskan bekerja pada Aidilfitri nanti. Begitupun mengikut jadual kerja saya difahamkan untuk Aidilfitri kali ini saya tidak beraya di konti. Kemungkinan besar saya akan bercuti selama lima hari selain beraya di rumah mentua di Johor Bharu," katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai cahaya mata. Tini berkata, dia tidak merancang sebaliknya berusaha dan hanya berserah kepada yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: