ASAL nama saja perjuangan pasti ada halangan apatah lagi untuk menegakkan syiar Islam. |
Raihan antara kumpulan nasyid tanah air yang berjaya mengharumkan nama di luar negara namun bukan sedikit cabaran yang mereka hadapi terutama dalam mencari tajaan untuk ke sana.
Apa yang membuatkan Raihan sangat terkilan ialah apabila tujuan murni mereka untuk memperkenalkan Malaysia menerusi nasyid di luar negara tidak mendapat sokongan syarikat korporat yang perniagaan mereka bertunjang Islam termasuk perbankan Islam.
Menurut seorang anggota kumpulan itu, Che Amran Idris, 40, kehadiran mereka di luar negara lebih dihargai masyarakat di sana berbanding di negara sendiri.
"Saya hairan kenapa syarikat ternama yang diterajui orang Islam tidak mahu memberi sokongan kepada kami sedangkan apa yang kami lakukan untuk mendidik ummah menuju ke jalan kebaikan dan diredai Allah Taala.
Kementerian yang menguruskan kesenian negara juga menganaktirikan kami.
"Setiap tahun mereka hantar wakil dalam pelbagai cabang seni untuk mempromosikan nama malaysia dan menyertai pertandingan di luar.
"Sekali pergi bukannya seorang dua, tetapi apabila Raihan minta sedikit tajaan, langsung tidak diendahkan. Dalam perkara ini kami tidak tahu di mana salah dan silapnya.
"Ketika Raihan membuat persembahan di Perancis sedikit masa lalu, saya perhatikan masyarakat di sana sangat menyokong pelbagai kumpulan nasyid luar negara yang bertandang.
"Kumpulan nasyid itu dihantar kerajaan masing-masing sedangkan kami macam pengemis hendak minta tajaan. Mereka meminati Raihan kerana budaya Melayu yang kami tonjolkan dan nasyid kami juga agak moden dan kontemporari.
Kami menyanyi hanya diiringi gendang dan rebana, tetapi sambutannya amat luar biasa. Raihan boleh buat konsert besar di luar negara, tetapi sukar sekali untuk melakukannya di negara sendiri.
"Jika nasyid tempatan di sanjung tinggi oleh masyarakat luar, saya merayu berilah ruang baru kepada kami menyemarakkan irama itu di Malaysia.
"Meskipun begitu banyak halangan dan adakala terasa ingin berundur dari arena seni namun atas nama perjuangan, Insya-Allah kami akan teruskan.
"Bagaimanapun perjuangan kami itu hanya terbatas dengan apa yang kami ada.
"Paling buat saya terkilan orang kita begitu mengagungkan budaya dan orang luar yang kita tidak tahu asalnya sehingga diambil menjadi duta mewakili pelbagai produk tempatan. Kami kumpulan nasyid ini bagaikan melukut di tepi gantang," katanya.
Che Amran ditemui bersama dua lagi anggota kumpulan itu, Abu Bakar Md Yatim, 39, dan Zulfadli Mustaza, 25, selepas pembukaan Bufet Ramadan Sajian Arab dan Cina Muslim di Kelana Sentral, Kelana Jaya, Rabu lalu.
Seorang lagi anggota kumpulan itu, Amran Ibrahim, 38, tidak turut serta kerana menjaga bapanya yang uzur di kampung.
Tambah Che Amran, sudah 13 tahun Raihan berada dalam arus perdana persada seni tanah air namun daripada pengalaman, irama nasyid hanya dipandang sebelah mata.
"Tengok saja masalah remaja hari ini yang semakin sukar dibendung. Sepatutnya nasyid yang sarat dengan unsur nasihat dan dakwah dijadikan santapan rohani anak-anak dan bukannya irama yang ada sekarang seperti hip hop dan black metal yang didatangkan dari Barat.
"Negara sudah merdeka, tetapi pemikiran dan budaya kita masih dijajah. Didiklah anak-anak mengenali asal-usul, budaya dan agama mereka menerusi nasyid sejak mereka masih berada di bangku sekolah sehingga menuntut di pusat pengajian tinggi," katanya.
Abu Bakar mencelah rakan Che Am yang pernah menuntut satu universiti dengannya sudah berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing namun Che Am masih begitu juga.
"Bukan Che Am tidak boleh mencari kerja tetap berpendapatan lumayan, tetapi kecintaannya terhadap nasyid sukar dikikis. Tetapi jika suatu hari nanti keadaan tidak berubah mungkin Raihan akan dibubarkan juga dan masing-masing mencari kerja tetap," katanya.
Pada hari raya ketiga kumpulan akan terbang ke Leicester, London untuk membuat persembahan di sana.
"Kami dijadualkan membuat persembahan tiga hari (24 hingga 26 September) di sana anjuran Persatuan Muslim Leicester dengan kerjasama Islamic Relief.
"Sebelum ini Raihan juga mendapat undangan ke Indonesia, Ivory Coast, Bosnia Herzegovina, Russia dan Thailand, tetapi terpaksa ditolak kerana tiada penaja.
"Di Bosnia dan Ivory Coast misalnya, kumpulan nasyid dari merata negara dijemput membuat persembahan sama yang dibiayai negara masing-masing. Kali ini mujurlah Air Asia X sudi menaja pemergian kami ke London," katanya.
Menjelas keadaan mereka yang dikatakan agak kerap menghiburkan masyarakat luar daripada orang sendiri, jelas Abu Bakar, jemputan membuat persembahan di tempat sendiri adakala datang bermusim.
Jadi apabila tiada undangan dari penganjur tempatan mereka mengambil kesempatan itu menerima jemputan persembahan di luar negara.
Ramadan ini rezeki Raihan murah apabila pemaju Kelana Sentral melantik Raihan Event Management (M) Sdn Bhd mengendalikan acara di situ dalam rangka untuk mempromosikan tempat berkenaan.
Abu Bakar berkata, Kelana Sentral akan dijadikan pusat perniagaan sederhana berbentuk berkonsep hab Muslim setempat.
Sempena pembukaan pusat itu, ruang legar yang luas itu dijadikan ruang berbuka puasa yang dihiasi suasana Arab dan Cina Muslim 'laluan sutera.'
Makanan Arab dan Cina Muslim menjadi juadah utama disediakan chef antarabangsa berpengalaman.
"Berkonsepkan berbuka, berhibur dan bersolat Tarawih bersama artis jemputan, pengunjung tidak perlu risau untuk membawa keluarga atau rakan taulan berbuka di sini kerana ada surau yang luas dan selesa, berimamkan artis nasyid tanah air dan imam dari Arab Saudi.
":Dengan itu pengunjung dapat menyempurnakan urusan Ramadan di sini. Di samping Raihan membuat persembahan tetap di sini, kami turut mengundang kumpulan nasyid lain secara bergilir termasuk Rabbani, Hijjaz, Inteam dan Saujana," katanya.
Harga makanan selerak untuk dewasa, RM35 dan kanak-kanak, RM20.
Dalam perkembangan lain, Raihan baru saja merakamkan lagu single terbaru hafalan, Doa Niat Puasa.
"Lagu itu bacaan niat puasa yang dilagukan supaya mudah dihafal kaum Muslimin. Ia dirakamkan bagi memudahkan pendengar menghafal niat untuk menunaikan ibadah puasa dengan sempurna.
"Kami pernah merakamkan lagu sama pada 2007, tetapi lagu versi itu digabungkan suasana berpuasa dan hari raya. Rakaman terbaru ini versi penuh doa niat puasa dan berkaitan Ramadan saja. Lagu ini ditulis Che Amran manakala melodi oleh saya sendiri.
"Untuk lagu hari raya pula Raihan masih dalam rakaman berkolaborasi dengan kumpulan Hujan berjudul Salam Aidilfitri Ayah Bonda ciptaan dan lirik oleh saya juga," katanya.
sy ske kumpln raihan..gud luck!!
ReplyDelete