YAN - Sudah tiga kali banjir melanda sebuah kampung di sini dan berlaku pula dalam bulan puasa.
Demikian cerita Sukri Saad, 50, seorang mangsa banjir di Kampung Teroi Bukit dekat sini yang terpaksa menghadapi masalah banjir setiap kali Ramadan.
"Saya sudah tidak tahu hendak cakap apa. Hendak kata sedih, memang sedih tetapi kalau tiap-tiap tahun berlaku, ia sudah jadi biasa," katanya.
Sukri menambah, salah satu sebab kampungnya mengalami banjir setiap kali hujan lebat adalah kerana sistem perparitan yang tidak sistematik menyebabkan air tidak dapat dilepaskan dengan sempurna ke laut.
"Ia bukan masalah baru, sudah banyak kali diperkatakan namun sampai sekarang belum ada penyelesaian," katanya.
Seorang penduduk lain, Ismail Ahmad, 56, pula berkata, dia dan enam ahli keluarganya tidak sanggup lagi berhadapan dengan masalah banjir setiap kali musim hujan.
"Memang kami sudah tidak sanggup lagi, bukan sahaja rumah malah harta benda seperti perabot dan peralatan lain juga rosak," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang melawat mangsa banjir petang semalam berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk mendalamkan sungai-sungai di daerah Yan yang kerap mengalami banjir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: