NABIL dan kekasihnya, Irma Hasmie. |
Majlis berbuka puasa eksklusif selebriti undang 15 Rakan@bh bertuah
KHAMIS ini, 15 Rakan@bh yang juga pembaca setia akhbar Berita Harian dan pasangan masing-masing berpeluang menikmati majlis berbuka puasa eksklusif bersama selebriti popular tanah air.
Senarionya sedikit berbeza kerana majlis yang turut mendapat kerjasama Hotel Crowne Plaza Mutiara ini turut diserikan dengan sesi memperkenalkan koleksi kasut pereka fesyen popular, Michael Shu.
Diberi nama The Black Collection, koleksi kasut rekaan buat golongan wanita itu sesuai digayakan bersempena musim Aidilfitri yang bakal bertandang tak lama lagi. Ia juga sesuai dijadikan sebagai hadiah buat yang tersayang untuk dikenakan dengan busana indah.
Penyanyi bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak antara yang awal lagi mengesahkan kehadiran ke majlis ini bersama suami tersayang, Mahathir Mohamad. Tidak ketinggalan, Chef Wan dan anaknya, Serina Redzuawan yang bakal bergelar pengantin awal tahun depan juga turut hadir memeriahkan suasana.
Kehadiran Chef Wan pastinya akan menambahkan kegamatan majlis itu nanti kerana umum tahu, tukang masak bermulut keletah itu sentiasa bijak menggamit hati orang ramai. Selain itu, Bintang Paling Popular Berita Harian 2008, Nabil tidak hadir berseorangan, sebaliknya akan ditemani kekasih hatinya, Irma Hasmie.
Anita Sarawak |
Pelakon drama Nur Kasih, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah juga hadir. Fizz tidak keseorangan kerana buah hatinya, Almy Nadia yang kini wajahnya boleh ditonton menerusi drama Senandung Si Dayang turut memeriahkan majlis. Di samping itu, ahli Rakan@bh yang bertuah dapat bermesra dengan pelakon popular, Scha Al Yahya, Diana Danielle, Fouziah Gous, Iqram Dinzly dan Sherry Ibrahim.
Menurut Michael Shu, koleksi kasut hitam rekaannya menampilkan kombinasi material kulit dan kain. Ia berkonsepkan glamorama dan tiga dimensi. Beberapa artis wanita yang diundang akan memperagakan kasut itu seperti Irma Hasmie dan Diana Danielle yang turut bergelar model.
Majlis akan dihoskan Richie Rachman dan inilah masanya untuk pembaca Berita Harian yang bertuah mengenali dengan lebih dekat dan beramah mesra dengan selebriti kegemaran yang hadir. Kalau nak tahu kesahihan gosip atau barangkali usikan yang sering dihadapi artis, mungkin ini kesempatan untuk bertanyakan perihal sebenar kepada mereka.
Nak tahu, benarkah hubungan Iqram dan Fouziah hanya sekadar teman baik atau sudah ke peringkat bercinta, betulkah Fizz dan Almy sudah bertunang atau macam-macam lagi cerita berkaitan, jangan segan untuk bertanya mereka mengetahui cerita sebenar.
CHEF WAN akan hadir bersama anaknya, Serina. |
Pastinya kenangan pada 3 September ini akan terus menjadi memori indah untuk dititip sebelum menjelangnya Aidilfitri. Untuk merealisasikan detik indah ini klik ke laman web www.bharian.com.my untuk keterangan selanjutnya.
Terima kasih Crowne Plaza
KEPADA Hotel Crowne Plaza terima kasih kerana sudi bekerjasama dan menaja hidangan berbuka puasa. Menu menarik seleksi masakan kampung antara pembuka selera yang pastinya akan membuat sesiapa kecur air liur.
Kepada yang berminat untuk mencuba pakej bufet Ramadan hotel ini berharga RM95++ bagi dewasa dan separuh harga kepada mereka yang berusia 4 hingga 12 tahun boleh menghubungi Planters' Inn Restaurant di talian 03-21482322 sambungan 3820/3821.
Hidangan seperti Kerabu Kerang, Kerabu Sotong, Kerabu Mangga, Kerabu Anika Laut, Kerabu Perut and Jelatah, Rendang Puyuh Pak Sahar, Soto Ayam, Bubur Lambok, Ayam Masak Merah, Rendang Kambing, Ikan Patin Masak Asam Tempoyak, Pucuk Paku Masak Lemak, Daging Rendang dan Udang Galah Masak Lemak antara menu yang perlu dicuba.
Tak dilupakan Kambing Kurma, Ikan Bakar, Tumis Udang Daun Kunyit, Ayam Kuzi, Daging Salai Masak Lemak dengan Pucuk Ubi, Daging Mesamah, Rendang Tok, Sayur Dalca Mangga Muda, Ikan Asam Pedas Johor, Kepah Tumis Bercili dan pemanis mulut seperti Bubur Kacang Hijau dan Pengat Pisang Bersagu wajib untuk dijamah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: