KEJAYAAN drama Mentua vs Menantu yang mencatat rating tinggi sebanyak 880,000 penonton di Astro Prima (saluran 105) pada tahun lalu mendorong semangat produser David Teo untuk menerbitkan drama baru. |
Jika sebelum ini, David menerusi produksi MIG Productions Sdn Bhd aktif menghasilkan filem, tetapi sejak kejayaan drama itu, dia turut memberi tumpuan pada penerbitan drama TV.
Mengekori kejayaan drama itu, drama bersiri Jangan Pandang Belakang (JPB) yang baru selesai tayangan di RTM menerusi TV2 turut mencatat kejayaan sama dengan rating sebanyak 2.1 juta.
Atas pencapaian itu, drama JPB menduduki drama nombor satu di saluran berkenaan dan keempat dari keseluruhan drama di semua stesen TV tempatan.
Kata David, kejayaan drama JPB memberi berita gembira kepadanya yang bersemangat untuk menerbitkan lebih banyak drama baru selepas ini.
Malah, kejayaan drama berkenaan juga membantu meningkat mutu drama tempatan khusus di RTM.
"Jika diberi peluang, saya ingin menghasilkan banyak drama yang berkualiti untuk penonton.
"Sekuel JPB musim kedua akan kembali apabila penggambaran dijangka bermula selepas Aidilfitri nanti.
"Sebelum ini, drama 3 Serumah yang ditayangkan di Astro Citra (saluran 131) turut mencatat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Pihak Astro berpuas hati dari aspek pembikinan dan respons penonton terhadap drama itu dan ia akan ditayangkan semula di Astro Prima tidak lama lagi.
|
"Bagi saya, penerbitan filem masih terus aktif bersama drama. Buat masa ini, filem sekuel Senario The Movie 3 menantikan tayangan pada 19 November manakala Santau akan ditayangkan pada 10 Disember nanti," katanya.
Untuk drama baru, David memperkenalkan drama bersiri sebanyak 13 episod iaitu Mama Murai yang akan ditayangkan di Astro Warna (saluran 132) mulai 3 Disember nanti.
Drama genre komedi ini diarahkan Hashim Rejab dan menampilkan gandingan pelakon berpengalaman seperti Kartina Aziz, Sheila Mambo, Anne Abdullah, Bob Lokman termasuk Intan Ladyana, Putri Mardiana Zainal Abidin, Mas Muharni, Siti Zee dan Azad Jazmin.
David menyatakan keyakinan drama berkenaan yang mengisahkan keluarga anak mami yang berasal dari Pulau Pinang mampu menarik perhatian penonton.
Katanya, filemnya sebelum ini seperti Anak Mami The Movie dan Mami Jarum (2002) berjaya meraih sambutan positif penonton.
"Elemen komedi drama ini terletak pada dialog yang memaparkan dialek tempatan yang sering didengar. "Biarpun segelintir penonton berpandangan dialek ini kasar, tetapi ia sebenarnya sedap didengar dan boleh diterima ramai termasuk penonton bukan berasal dari Pulau Mutiara itu.
"Pemilihan Hashim sebagai pengarah berdasarkan pengalamannya yang pernah menjadi penolong pengarah untuk beberapa drama saya sebelum ini antaranya 3 Janda, 3 Serumah dan filem baru, Zoo.
"Kini, saya beri peluang kepadanya untuk mengarah dan dia juga diserap sebagai pengarah kelima dalam Skim 10 Pengarah Muda yang menjadi matlamat saya sebelum ini.
"Matlamat selepas ini, saya mahu perkenalkan ramai lagi bakat baru sama ada pengarah, pelakon, penulis skrip dan kru produksi untuk meningkatkan produktiviti filem dan drama tempatan," katanya.
Bagi Hashim, tanggungjawab mengarah drama itu memberi peluang terbaik kepadanya untuk menimba lebih banyak pengalaman baru.
Drama ini mula menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur sejak 28 Ogos lalu.
"Sukar untuk pengarah baru meraih peluang besar seperti ini. Apapun, saya berusaha untuk berikan hasil kerja yang terbaik untuk memastikan drama ini diminati dan mencatat rating tinggi penonton," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: