SEDAP mata memandang akan kemanisan pada wajah selebriti yang datangnya dari Indonesia ini. Bakatnya dalam bidang nyanyian, lakonan serta mencipta lagu tidak dapat kita nafikan lagi.
Selebriti yang memiliki nama Acha Septriasa ini bukan saja mengukir sebuah lagi kejayaan dengan menghasilkan album terbarunya yang berjudul 'Keputusan Hati', namun kesemua lagu di dalam album tersebut dicipta oleh Acha sendiri.
Menurut Acha sendiri album terbarunya ini merupakan album kelimanya tetapi bagi dirinya album ini adalah yang pertama baginya kerana kali menghasilkan album solonya.
"Album terbaru ini merupakan album kelima Acha yang berjaya dihasilkan, tetapi bagi Acha sendiri album ini merupakan album pertama kerana baru kini Acha berjaya menghasilkan album solo sendiri.
"Album ini juga sebenarnya hanya mini album dari Acha yang mmengandungi empat buah lagu dan kesemua lagu-lagu tersebut dicipta oleh Acha sendiri.
"Melodi dan liriknya semua hasil ciptaan Acha dan Acha memilih untuk membuat mini album kerana inginkan kepuasan, kalau buat single Acha tidak rasa puas," kata Acha yang turut terlibat dalam album 'Sinaran Lebaran' keluaran Suria Record (SRC).
Acha yang menangguhkan sementara pelajarannya di Universiti Limkokwing mengatakan dengan mencipta lagu sendiri dia akan mendapat kesungguhan untuk menyanyikan lagu tersebut dan lebih menghayatinya.
"Bila Acha buat lagu sendiri, kesungguhan untuk Acha nyanyikan lagu tersebut seperti tidak ada ditempat lain dan Acha akan lebih menghayati lagu tersebut kerana lebih tahu akan maksud disebalik lagu dan liriknya.
"Album ini berkonsepkan genre pop, tetapi ada juga 'pop ballad' dan 'pop country'. Ia tidak tumpukan pada lagu-lagu sedih saja," katanya yang akan menyambung semula pengajiannya awal tahun depan.
Malah Acha juga merancang untuk menghasilkan sebuah album lengkap dengan menambah enam buah lagu lagi ke dalam album 'Keputusan Hati' ini mulai tahun depan.
"Acha masih lagi merancang untuk hasilkan sebuah album lengkap tetapi mungkin pada tahun depan.
"Acha akan muatkan lagi enam buah lagu tetapi keenam-enam lagu itu adalah lagu duet Acha bersama-sama artis yang akan Acha pilih nanti.
"Mungkin Acha akan jemput Irwan Syah untuk berduet, dan mungkin akan ada artis dari Malaysia dan SIngapura," jelas Acha yang juga mahu berduet dengan artis seperti Anuar Zain dan Taufik Batisah.
Sempat ditanya selebriti yang berusia 20 tahun ini mengenai lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini jika mungkin ada yang ditujukan buat bekas kekasihnya, Irwan Syah, Acha mengatakan dia ada mencipta lagu berkenaan hubungan cinta mereka dan mendapatkan persetujuan dari Irwan dahulu sebelum mengeluarkan lagu tersebut.
"Acha ada cipta sebuah lagu, judul dia 'Tentang Kita', selepas lagu tu siap, Acha ada bagi Irwan dengar dan minta persetujuan dia untuk keluarkan lagu ini. Irwan pun benarkan jadi Acha keluarkan lagu ini.
"Jika sesiapa yang mengikuti kisah cinta Acha dan Irwan, pasti bila mendengar lagu ini anda akan faham jalan ceritanya," jelas Acha.
Acha juga menjelaskan yang dia masih lagi single dan tidak pernah mempunyai hubungan dengan sesiapa, sebaliknya sebagai remaja dia bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Malah Acha sendiri akan memberitahu umum jika dia sudah bertemu dengan pilihan hatinya.
Puasa di Malaysia sangat berbeza
Tahun ini Acha menyambut Ramadan di Malaysia dan menurutnya dia merasakan waktu di Malaysia lebih cepat berlalu jika dibandingkan di Indonesia.
"Di Malaysia masanya berlalu begitu cepat, kadang-kadang tak terasa dah hampir waktu berbuka... Jika di Jakarta, terasa lama walaupun bezanya dengan Malaysia hanya satu jam lebih awal.
"Di Jakarta mungkin dengan kesesakan lalu lintas yang teruk jadi mungkin sebab tu terasa lambat waktu berjalan," kata Acha sambil ketawa.
Acha juga sebenarnya suka pergi ke bazaar di Kampung Baru kerana menurutnya makanan di sana murah-murah dan amat gemarkan sup ekor yang terdapat di sana.
"Acha suka pergi ke bazaar Kampung Baru sebab makanan di sana murah-murah dan setiap kali ke sana Acha akan beli sup ekor.
"Selain tu Acha suka ayam goreng di Datuk Keramat... sampai tuan kedai tu dah kenal Acha sebab Acha selalu ke sana," jelas Acha.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: