Siti dan Khairul pada sidang akhbar di Bukit Jalil. |
BERMULA esok, stesen televisyen berbayar Astro akan memperkenalkan saluran baru sempena sambutan hari kemerdekaan ke-52 tahun ini.
Saluran baru yang diberi nama Siti (saluran 188) yang juga penyanyi nombor satu negara dipilih selepas melihat kejayaan individu itu dalam mengharumkan nama negara sebagai penyanyi.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pemilihan nama Siti sebagai saluran sempena kemerdekaan ini di bersesuaian dengan kempen Negaraku, The Best of 1 Malaysia yang dianjurkan Astro.
“Kami mahu meneruskan hasrat dalam memaparkan program yang menceritakan kejayaan individu dalam mengharumkan nama dan sejarah negara. Lebih-lebih lagi Siti atau Siti Nurhaliza dilihat individu yang berjaya sepanjang pembabitan dirinya dalam bidang nyanyian.
“Saluran ini adalah saluran percuma yang diberikan khas kepada pelanggan Astro, cuma siarannya hanya pada tempoh terhad saja iaitu selama dua hari bermula 30 Ogos jam 8 malam hingga 31 Ogos jam 11.59 malam,” katanya.
Menurut Khairul Anwar, segmen utama yang akan dipaparkan menerusi saluran itu adalah konsert Satu Siti Nurhaliza yang pernah diadakan diadakan Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun lalu.
Siti Nurhaliza |
“Kepada peminat Siti yang tidak berpeluang menyaksikan konsert Satu Siti lalu disebabkan kehabisan tiket, inilah masanya untuk melihat kembali persembahan istimewa Siti yang mengangkat tema Satu.
“Siti adalah pilihan yang tepat berbanding individu lain. Memang kita tidak menyenaraikan nama-nama lain untuk menyediakan saluran khas ini kerana kejayaan Siti dalam konsert Satu lalu menepati tema kemerdekaan yang kita mahukan.
“Selain menyiarkan konsert Satu Siti, kita juga akan menayangkan pembikinan video klip Siti dan sesi temu ramah sebelum pembikinan video klip itu diadakan,” katanya yang bakal menyiarkan tujuh hingga lapan video klip.
Bagai pucuk dicipta ulam mendatang, begitulah luahan yang dapat dirasai apabila soalan diajukan kepada yang punya diri selepas diberikan keistimewaan mempunyai saluran sendiri biarpun hanya untuk dua hari.
“Sepanjang berada dalam industri ini, memang saya tidak pernah menyangka akan diberi keistimewaan seperti ini kerana perkara ini tidak pernah berlaku dalam industri kita.
“Memang saya bersyukur kerana dipilih untuk menggunakan nama saya dalam saluran ini selain menyiarkan kembali konsert Satu itu khas kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan lalu.
“Lebih lagi, saluran itu diadakan khas sempena sambutan hari kemerdekaan tahun ini yang secara tidak langsung saya juga terbabit dalam memeriahkan sambutan tahun ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: