Sunday, August 30, 2009

Jin Notti sekadar komedi


Fara Fauzana (tengah), Mawi (dua dari kanan) bersama barisan pelakon yang hadir pada tayangan perdana Jin Notti di Damansara, baru-baru ini.


FILEM komedi semakin mendapat sambutan daripada penonton. Sebelum ini filem komedi seram, Jangan Pandang Belakang Congkak berjaya menggegarkan panggung. Kini satu lagi filem komedi fantasi, Jin Notti terbitan KRU Studios Sdn. Bhd. bakal menjejak langkah yang sama.

Menggunakan unsur alam ghaib dan dibantu dengan teknik imej janaan komputer (CGI), filem yang berlatar alam fantasi ini membawakan nilai komedi yang mudah diterima oleh penonton. Seperti biasa filem komedi tempatan kurang mendedahkan penonton dengan komedi yang menuntut penghayatan yang tinggi.

Filem arahan Azhari Zain ini juga telah menarik perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi mengadakan tayangan amal filem dan berjaya mengutip sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada Dana Kebajikan Artis dan Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah Finas, Datuk Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, Jin Notti dipilih kerana aspek komersial dan sifatnya yang ringan serta mampu menarik perhatian penonton.

"Ia bukan filem komedi slapstik dengan aksi kasar dan terasa dibuat-buat untuk mencipta kelucuan. Menonton filem ini boleh membuatkan kita rasa cukup terhibur dengan persembahan komedi yang bijak dan matang, bahkan elemen dramatik juga mampu menjentik emosi keharuan," katanya dalam pada malam tayangan filem berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Jin Notti dibintangi oleh Mawi sebagai Aziz, Fara Fauzana (Notti) dan Cat Farish (Jinbara). Notti merupakan seorang gadis jin berusia 17 tahun yang sangat baik, lembut dan jujur.

Dia dikenakan hukuman yang sangat berat iaitu dikurung dalam penjara All Alone oleh Majlis Penghakiman Jin yang diketuai oleh Jin Samsu (Bob Lokman), pembantunya, Adibah Noor (Sofea Jin) serta Acappan (Jingam).

Sebagai hukuman, Notti dihantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan perkara-perkara yang nakal. Notti memasuki tiga tubuh manusia yang mempunyai sifat yang berbeza iaitu Ruby seorang gadis remaja Punk yang berasal dari keluarga berpecah belah, nakal dan liar, Y'vonne (perempuan Tionghua dan teman wanita kepada kumpulan kongsi gelap yang menjual VCD cetak rompak, memeras ugut dan meminta wang perlindungan) dan Sharifah (peguam sofistikated yang sering membela penjenayah).

Setiap kenakalan yang dilakukan oleh Notti harus melepasi skala nakal yang diletak di pergelangan tangannya. Notti ditemani oleh peguamnya, Jinbara sepanjang menjalani hukuman di dunia manusia sebagai penasihat untuk terus melakukan kenakalan.

Bagaimanapun, sepanjang menjalani hukumannya, Notti mula jatuh cinta kepada seorang lelaki yang dijumpai di tiga tempat yang berbeza iaitu Aziz. Persoalan yang timbul, adakah Notti dapat menemui cinta sejatinya untuk mencari hala tuju hidupnya sendiri.

Ini kerana Jin Notti ia adalah hiburan ringan yang membandingkan jin dengan manusia secara tidak langsung. Ada orang berkata, sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Sindiran sosial itu diselitkan dalam filem ini untuk menyedarkan manusia tentang kepentingan membuat kebaikan. Seperti biasa, filem kita terlalu cenderung untuk mengajar penonton termasuk filem ini.

Secara keseluruhan, dua tunggak utama filem ini iaitu Fara Fauzana dan Mawi adalah faktor utama yang membawa peminat mereka menonton di 60 pawagam seluruh negara pada 20 September ini.

Penonton filem tempatan secara keseluruhannya mempunyai tahap apresiasi yang rendah. Bagi mereka asal saja disogokkan dengan artis atau selebriti popular, maka mereka akan berduyunlah ke panggung. Kerana itu kita tidak perlu membahaskan kualiti lakonan Mawi, Fara Fauzana atau Cat Farish.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: