Wednesday, August 26, 2009

Peguam 'belut' tumpas

KUALA LUMPUR - Kelicikan seorang peguam yang dapat meloloskan diri daripada diberkas polis sejak tiga tahun lalu menemui noktahnya apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Lelaki berusia 47 tahun yang hidup bagaikan pelarian kerana kerap berpindah randah untuk menyembunyikan diri itu ditahan pukul 8 pagi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ketika hendak berlepas ke Hong Kong.

Difahamkan, ketika ditahan, dia memberikan alasan kononnya hendak memulakan pekerjaan dengan sebuah syarikat guaman di sana tetapi siasatan polis mendapati dia dipercayai ingin pergi berjoli.

Satu sumber memberitahu, peguam yang masih bujang itu amat dikehendaki bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian RM169,000 tiga tahun lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan naib presiden sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka berusia 55 tahun telah membuat laporan polis selepas mendapati ditipu oleh suspek.

"Mangsa merupakan pelanggan kepada suspek dan telah menaruh kepercayaan kepadanya untuk mencari pembeli bagi menjual tiga lot tanahnya di Sepang bernilai RM169,000.

"Bagaimanapun, selepas menerima wang dari pembeli, suspek tidak menyerahkan kepada mangsa sebaliknya telah menggunakannya untuk melangsaikan hutang syarikat,'' katanya di sini semalam.



No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: