Saturday, August 29, 2009

Teruja hiburkan kanak-kanak


Kumpulan Hi-5

Sejak diperkenalkan 10 tahun lalu, program Hi-5 popular dilebih 200 negara

SUDAH sedekad lamanya mereka menghiburkan dan menggembirakan hati kanak-kanak di seluruh dunia. Walaupun anggotanya bersilih ganti, namun bagi golongan itu mereka tetap kumpulan Hi-5, sebuah kumpulan nyanyian pop serta program untuk kanak-kanak yang terkenal di Australia.

Bagaikan sebuah jenama hebat, nama Hi-5 terus dekat di hati mereka kerana sejak diperkenalkan sekitar tahun 1999, program yang menjadikan kanak-kanak berusia dua hingga lapan tahun ini sebagai penonton sasaran memang cukup dikenali di serata dunia.

Sebagai sebuah program yang diguna pakai untuk peringkat pra-sekolah, Hi-5 sememangnya banyak menabur jasa terutama dari segi sistem pembelajaran. Malah keberkesanannya terserlah apabila rancangan itu berjaya menggondol pelbagai anugerah di tanah air mereka sendiri. Program ini juga disiarkan di 220 buah negara seperti Amerika Syarikat, Britain, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan negara-negara di Timur Tengah. Di Malaysia program Hi-5 disiarkan di ntv7 dan saluran Astro 612.

Dan sempena ulang tahun ke-10, Hi-5 yang dianggotai Stevie Nicholson, Casey Burgess, Tim Maddren, Lauren Brant dan Fely Irvine membuat kejutan dengan menganjurkan konsert berskala mega khusus untuk kanak-kanak di negara ini. Memilih Arena of Stars, Kota Keriangan Genting Higlands sebagai lokasi persembahan mereka, konsert yang dinamakan Hi-5 Surprise! Live Tour 2009 ini akan diadakan selama tiga hari, mulai hari ini. Ia dianjurkan oleh Yvents! For Kids dan Sheares Asia Productions.

Jika selama ini ada yang hanya melihat mereka di kaca televisyen, kini peluang terbuka kerana bukan saja dapat melihat mereka beraksi secara live tetapi juga mungkin bertemu empat mata kerana mereka sebenarnya begitu teringin untuk beramah mesra dengan peminat di negara ini.

Kumpulan Hi-5 menjanjikan persembahan hebat untuk konsert Hi-5 Surprise! Live Tour 2009 nanti.

Hasrat itu diluahkan sendiri oleh kesemua anggota berkenaan pada satu sidang media bagi memperkenalkan konsert itu.

Sambil melahirkan perasaan teruja kerana berpeluang membuat persembahan di Malaysia, Maddren berjanji anggota kumpulan Hi-5 akan menampilkan satu persembahan yang menarik kerana ini adalah konsert perdana mereka di sini.

“Ini akan menjadi satu persembahan yang hebat dan memberikan satu pengalaman buat kanak-kanak yang datang menyaksikannya. Walaupun kami sudah dewasa, namun di hati ini, kami masih lagi kanak-kanak dan saya pasti kami akan berseronok di sana nanti,” katanya jejaka comel berambut perang ini.

Biarpun ada di antara mereka mempunyai perwatakan berbeza namun apa yang boleh dikongsi bersama adalah sifat ceria serta keinginan dan keberanian untuk mengenakan pakaian berwarna warni. Dan bercakap soal pakaian, Nicholson ada cerita menarik yang ingin dikongsikan bersama.

“Dalam almari pakaian saya sendiri memang banyak pakaian berwarna-warni. Malah pernah berlaku satu peristiwa melucukan apabila seorang pekerja rencam membaiki almari saya terkejut melihat pakaian saya yang pelbagai warna.

“Lebih kelakar apabila dia menyangka saya seorang badut. Dia juga tidak percaya apabila saya katakan pakaian itu adalah pakaian harian saya,” ceritanya sambil disambut dengan gelak ketawa tetamu yang hadir.

Untuk menjayakan program yang membabitkan kanak-kanak, tidak dinafikan mereka juga perlu tampil cergas dan ceria. Bagi Hi-5, mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan perkara itu.

“Tenaga yang mereka keluarkan serta sifat yang aktif membuatkan kami tidak pernah merasa penat atau bosan. Melihat mereka menari dan menyanyi bersama kami sudah cukup untuk membuatkan kami lebih bersemangat untuk membuat persembahan,” jelas Brant, wajah baru dalam kumpulan ini selain Maddren dan Irvine.

Sementara Nicholson menyertai kumpulan ini pada tahun 2007, manakala Burgess pula setahun kemudian.

Walaupun sudah sedekad mereka mendidik dan menghiburkan kanak-kanak, namun menurut gadis bertocang dua, Burgess, rancangan ini masih lagi relevan kerana mereka sering mendapatkan maklum balas apakah yang kanak-kanak mahukan dalam program ini.

“Perkara itu bukanlah satu masalah bagi kami kerana dalam kehidupan seharian, kami memang dikelilingi kanak-kanak iaitu anak saudara sendiri. Saya anggap mereka mewakili kanak-kanak yang ada di dunia ini dan nampaknya apa yang kami lakukan itu berhasil.

“Pada majlis itu, sempat juga mereka mempamerkan persembahan penuh bertenaga menerusi lagu popular mereka berjudul Monster Dance dan Zoo Party, yang juga lagu yang akan dinyanyikan mereka pada konsert sebenar mereka nanti.

INFO: Lima Sekawan

  • Fely Irvine (Segmen puzzle dan membuat corak)

    Mendapat latihan dalam cabang seni seperti drama, nyanyian, tarian tap, jazz dan ballet. Irvine mendapat keputusan cemerlang dalam bidang tarian. Selain terbabit dalam produksi teater, dia juga bekerja untuk program TV dan terbabit dalam pelbagai rancangan lain.

  • Tim Maddren (segmen mencipta muzik)

    Dibesarkan dalam keluarga yang meminati muzik dan berlakon dalam produksi Les Miserables ketika berusia 9 tahun. Graduan dalam bidang Seni persembahan dari Akademi West Australian dan mengajar tarian dan nyanyian. Dia juga pernah berkerja untuk program TV.

  • Lauren Brant (Segmen pergerakan badan)

    Diperkenalkan dalam bidang seni seawal tiga tahun. Mendapat pendidikan dari pelbagai guru dan sekolah. Selain daripada mengajar kanak-kanak di Bright Talent Academy dia juga bekerja dalam bidang perfileman dan program TV.

  • Stevie Nicholson (Segmen bentuk dalam ruang)

    Selepas menamatkan pengajian di National Institute of Dramatic Arts di Australia, dia menjelajah negara bersama Brainstorm Productions, membuat persembahan untuk kanak-kanak sekolah. Dia pernah menjadi penolong pengarang untuk majalah Australian Teen Magazine.

  • Casey Burgess (segmen permainan)

    Mendapat latihan dalam bidang tarian, jazz dan tap di Brent Street Studios. Ketika berusia 11 tahun, dia muncul dalam teater muzikal, Annie The Musical. Selain terbabit dalam produksi pementasan, dia juga bekerja di sebalik tabir serta membuat suara latar untuk filem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: