Sunday, August 30, 2009

Nilai patriotik anak seni




MENGGABUNGKAN tiga figura terkenal industri seni tanah air, seniman Datuk Aziz Sattar, primadona Vanidah Imran dan supermodel Malaysia, Tengku Azura Tengku Awang dalam sebuah fotografi sempena Hari Kemerdekaan membuahkan persepsi yang selari terutama tentang memartabatkan bangsa Melayu di mata dunia.

Aziz Sattar atau lebih senang disapa sebagai Pak Ajis sempat berkongsi cerita tentang kehidupan zaman sebelum merdeka sehingga negara berjaya meraih kemerdekaan sejak 52 tahun lalu.

Tengku Azura, yang sudah kerap membawa nama Malaysia ke serata dunia pula tetap teguh dengan jati diri sebagai anak Melayu biarpun dirinya dihambat kemodenan.

Sementara Vanidah atau Vee ramah bercerita perihal 1Malaysia yang telah lama subur dalam budaya keluarganya. Ceritera mereka kami gabungkan dalam sebuah artikel sempena menyambut ulang tahun ke-52 negara Malaysia yang dicintai ini.

Jadi pencuri untuk hidup

Ada genangan air jernih pada kelopak mata seniman yang menginjak usia 83 tahun pada 8 Ogos lalu.


TENGKU AZURA


Ironi, Pak Ajis sendiri lahir pada bulan merdeka dan sudah melalui tempoh pahit manis menjadi bangsa merdeka. Maka, tidak hairan jika roh merdeka bagai mengalir deras dalam setiap aliran darahnya.

Kami duduk di satu sudut dan Pak Ajis mula menghamburkan perasaannya. Beliau mula memutar memori lama. Luah Pak Ajis, sebagai anak yang lahir pada tahun 1925, dia berasa keperitan hidup di Tanah Melayu sewaktu dijajah Jepun dahulu.

Selama tiga tahun lapan bulan Tanah Melayu dijajah Jepun dan komunis mencuri nikmat negara, tiga tahun enam bulan Pak Ajis menjadi pencuri.

"Saya curi beras dan gula daripada simpanan orang Jepun di gudang tempat saya bekerja supaya kami semua boleh hidup," akuinya yang mengikat makanan yang dicuri di pinggang untuk diseludup keluar dari gudang.

Namun, kehidupan yang sengsara mula berubah apabila Tanah Melayu mendapat kepimpinan yang begitu baik di bawah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga negara mendapat kemerdekaan.

Paling beliau banggakan tentang para pejuang negara dahulu adalah kebijaksanaan mereka mengemudi negara tanpa pertumpahan darah.

Katanya: "Saya amat bangga dengan para pemimpin kita dahulu yang berjuang tanpa senjata. Hanya berbekalkan pen dan kertas, kita mencapai kemerdekaan.

"Betapa besar jasa pemimpin lama berbanding yang ada sekarang kerana banyak yang berjuang sebab nak jadi hero, tapi bukan memperjuangkan bangsa."


VANIDAH IMRAN


Malah hari ini, Pak Ajis menjadi salah seorang warga Malaysia yang menikmati kemewahan dan kemakmuran negara. Jati dirinya pada negara ditonjolkan dengan semangat membeli produk buatan Malaysia termasuk memandu kereta keluaran negara.

Tambah Pak Ajis, paling penting dalam memelihara khazanah negara adalah memelihara bahasa Melayu. Beliau beranggapan, bahasa rasmi kita semakin pupus kerana banyak orang terutama bangsa Melayu sendiri gemar bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Kita sepatutnya memelihara bahasa kita agar tidak pupus," tegasnya yang sudah tiga tahun memberi ceramah tentang kemerdekaan di sekolah-sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur sebagai satu sumbangan patriotiknya kepada Malaysia.

Menganggap 1Malaysia mengandungi mesej yang paling mendalam untuk bangsa Malaysia, Pak Ajis menyatakan, jika dilihat dari aspek seni, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sudah lama meninggalkan mesej-mesej perpaduan yang tidak akan memporak-perandakan Malaysia.

Beliau menjelaskan, filem Semerah Padi adalah contoh filem yang mengandungi mesej terbaik tentang perpaduan dan perjuangan yang luhur.

Filem Enam Jahaman pula diklasifikasikan Pak Ajis sebagai filem yang menggambarkan tentang petualang yang akan memusnahkan kemakmuran negara.

"Jika ditanya tentang sumbangan saya atau betapa patriotik saya terhadap Malaysia, mungkin ia tidak sebesar mana.

"Tapi saya nak ikut jejak P. Ramlee, saya jadi anak seni bukan untuk duit, tetapi untuk masyarakat," ucap Pak Ajis penuh makna.

Azura moden tapi tetap Timur

Wajah yang pernah mewakili Malaysia untuk jenama Christian Dior dan masih memiliki sikap merendah diri biar sudah terbang ke serata dunia ini cukup teruja digandingkan dengan Pak Ajis dan Vee.

"Pak Ajis adalah lambang kebanggaan Malaysia," ujarnya yang tidak berasa kolot kerana masih menonton dan menyokong filem Melayu mahupun mendengar lagu-lagu Melayu.


AZIZ SATTAR


Mencecah usia 34 tahun, ibu tunggal kepada dua putera, Adam Mustaqim, 14, dan Ilias Amar, 7 tahun ini berkongsi persepsi tentang merdeka dari sudut dunia fesyen.

Beritahu Azura, aliran fesyen yang digelombangkan oleh pereka muda tempatan tidak pernah meminggirkan ciri Malaysia seperti menampilkan songket dan batik dalam karya mereka.

Fesyen bukan satu masalah, tetapi masalah timbul apabila terjadi lambakan peragawati luar yang mengetepikan peragawati tempatan.

Seharusnya kata Azura, hak peragawati tempatan perlu diperjuangkan.

"Memang tidak salah apabila kita mengambil orang luar untuk memperagakan rekaan kebangsaan kita.

"Tetapi saya rasa lebih patriotik apabila ia digayakan oleh bangsa kita sendiri sebagai lambang apresiasi terhadap negara," tegasnya.

Terbang ke serata dunia demi kerjaya modelling, Malaysia tetap di hatinya.

Namun, seminggu sahaja dia mampu bertahan di negara orang sebelum rindu mengetuk tangkai hatinya terhadap Malaysia yang disifatkan begitu harmoni dengan kepelbagaian kaum dan nikmat makanan yang pelbagai rasa.

"Memang saya tak boleh lama di negara orang. Mungkin itu nilai patriotik saya kepada negara selain menjaga batasan sebagai orang Timur.

"Saya juga pesan pada diri sendiri, sejauh mana pun saya melangkah dan semoden mana pun saya, budaya dan adab orang Timur tetap saya junjung," ujarnya yang turut menerapkan budaya Timur kepada anak-anaknya di sebalik kemodenan yang semakin mendominasi dunia.

Tertawa saat mengenang kali pertama menyambut ulang tahun kemerdekaan di Dataran Merdeka bersama teman-teman usai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Azura dia kini masih meneruskan tradisi tersebut.

Saban tahun, jika punya kesempatan, dia akan membawa ibu dan dua puteranya melihat bunga api pada malam kemerdekaan.

Malah sempat Azura berasa teruja dengan idea sambutan ulang tahun di bangunan Parlimen yang diadakan julung-julung kalinya pada tahun ini.

"Menarik juga ya sambut di Parlimen. Tengok keadaan, mungkin saya ke sana," ujarnya yang mengagumi ketokohan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak membawa perubahan kemodenan kepada negara.

Belum merdeka sepenuhnya

Bagi pelakon berwajah klasik, Vanidah Imran, dia sudah dibesarkan dengan konsep 1Malaysia yang sekarang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Famili Vanidah sememangnya berdarah majmuk. Ayah Vanidah berdarah India Pulau Pinang dan rata-rata sanak saudaranya berdarah campur.

Menurut Vanidah, persekitaran 1Malaysia sudah sebati benar dengan jiwanya dan dia melihat suasana tersebut membawa kepada perpaduan kaum.

"Kalau kita lihat, sejak dari dahulu lagi kita sebenarnya sudah diterapkan dengan semangat 1Malaysia dan kini semakin disemarakkan untuk lebih mengukuhkan perpaduan negara kita," ujar Vanidah memiliki darah kacukan India-Jawa ini.

Isteri kepada pelakon Rashidi Ishak ini sudah mula menebarkan budaya 1Malaysia kepada anak-anaknya, Mikail Imran dan Maryam Rashika apabila mereka telah dihantar belajar di sekolah aliran Cina.

"Mikail sudah boleh berbahasa Cina dan adiknya pula baru berjinak-jinak. Saya pun minta anak ajarkan bahasa Cina untuk pengetahuan saya," ungkap Vanidah

Di sebalik perpaduan yang semakin diciptakan di bumi Malaysia, Vanidah meluahkan satu rasa.

Sebenarnya ada kesedihan apabila melihat ragam segelintir generasi muda yang tidak menghargai erti kemerdekaan yang telah diserahkan kepada mereka.

"Saya melihat masalah sosial yang semakin berleluasa termasuk penyalahgunaan dadah, seks bebas malah pemakaian anak muda sekarang yang semakin kebaratan. Ini menyedihkan."

Dengan melihat penyakit sosial ini, Vanidah menyimpulkan bahawa masyarakat kita belum merdeka sepenuhnya.

"Kita masih hidup dalam ketakutan. Bukan kerana jajahan tetapi kerana masalah sosial.

"Sekarang bila-bila masa sahaja beg tangan boleh diragut sedangkan kita berada di dalam kereta sewaktu kesesakan trafik. Negara belum aman seratus peratus."

Beritahu Vanidah lagi, walaupun tidak dilahirkan pada tahun sebelum merdeka, semangat kemerdekaan itu dapat diserap dengan baik setiap kali dia diberikan watak yang menuntut dirinya mendalami jiwa orang lama.

"Saya bersyukur sering mendapat peluang berlakon watak-watak lama.

"Sedikit sebanyak saya boleh merasai pengorbanan dan perasaan orang dulu-dulu yang dilahirkan sebelum merdeka," ujarnya sambil mengenang kembali kali pertama dibawa ayahnya ke Dataran Merdeka seawal pagi untuk sama-sama menyertai perarakan Hari Kemerdekaan.

Sebelum usai bicara tentang merdeka, sempat Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 ini meluahkan isi hati tentang dunia filem yang belum merdeka.


TIGA figura yang berkongsi hati dan perasaan tentang kemerdekaan negara.


"Kita masih tersekat dalam aspek bajet dan kreativiti. Malah pelakon dan tenaga kerja filem tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perkeso untuk masa depan mereka.

"Saya sangat mengharapkan agar kebajikan pelakon dan krew dijaga.

"Bayangkan jika pelakon lama kita dibayar royalti melalui filem mereka, pasti hari ini mereka tidak perlu menerima cek sumbangan orang ramai," ujarnya bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: