Monday, August 31, 2009

Jiwa merdeka!


Dari kiri; Prema Yin, Soo Wincci Hafiz dan Stacy.

Stacy, Hafiz, Soo Wincci dan Prema Yin teruja dapat peluang hiasi ruangan Hip sempena Hari Kemerdekaan ke-52

MALAYSIA sememangnya amat unik. Dengan rakyat pelbagai bangsa, negara ini kekal aman sejak mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu. Semangat bersatu padu tanpa mengira fahaman agama dan warna kulit membolehkan Malaysia bergerak maju dalam suasana penuh harmoni.

Sempena sambutan Kemerdekaan negara tahun ini, dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin serta rakyatnya, Hip berbesar hati mengundang empat artis muda yang mewakili pelbagai kaum di negara kita untuk menjayakan fotografi khas merdeka.

Mereka adalah juara terbaru program realiti Akademi Fantasia (AF7), Hafiz; bintang sedang mencipta nama yang juga juara AF6, Stacy; penyanyi yang juga Ratu Malaysia, Soo Wincci; dan penyanyi rock wanita yang baru saja muncul dengan album pertama, Prema Yin.

Masih baru dalam dunia seni, sebahagiannya belum pernah bersua muka. Namun, jelas sekali suasana tengah hari di studio Balai Berita pada 26 Ogos lalu cukup meriah apabila masing-masing bergelak ketawa dan bantu-membantu sepanjang sesi fotografi berlangsung, bagai sudah lama saling kenal-mengenali.

Nyatanya, Hafiz, Stacy, Soo dan Prema cukup berbangga bergelar rakyat Malaysia dan empat artis ini menunjukkan contoh bagaimana perbezaan yang wujud antara mereka sebenarnya boleh dijadikan pelantar terbaik untuk mengukuhkan lagi perpaduan yang ada.



Soo Winci

"SEBAGAI rakyat Malaysia, saya cukup berbangga dengan keunikan yang wujud dalam negara kita. Negara ini kaya dengan adat budaya, pelbagai bangsa serta bahasa, menjadikannya cukup istimewa. Apatah lagi, walaupun kita baru 52 tahun merdeka, namun kita mampu berdiri setaraf dengan negara membangun lain di dunia.

"Sebagai Ratu Malaysia/Dunia 2008, saya mewakili negara ke pertandingan Ratu Dunia di Johannesburg, Afrika Selatan, penghujung tahun lalu. Sebagai wakil negara, saya cuba sebaik mungkin menjalankan tugas. Sebahagian peserta memang sudah mengenali negara kita, malah ramai juga yang pernah berkunjung ke sini.

"Sebahagiannya pula bertanya mengenai negara kita. Pastinya saya menggunakan kesempatan itu untuk mempromosikan tanah air dengan segala keindahan serta keenakan makanan yang boleh didapati di negara ini.

"Sebulan di Afrika Selatan, saya memang merindui negara kita, terutama makanannya. Apabila pulang saja, saya makan di restoran mamak dan gerai selama sebulan. Maklumlah, rindu sangat rasanya pada makanan berempah. Perkara yang sama berlaku ketika saya menuntut di United Kingdom, dalam bidang undang-undang (2004-2007). Kerinduan pada tanah air sendiri memang sukar hendak dilafaz dengan kata-kata.

"Biarpun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang perundangan, tetapi minat saya lebih kepada cabang seni. Atas alasan itu, saya hadir bersama album muhibah yang memuatkan lagu pelbagai bahasa, Melayu, Cina dan Inggeris. Sebagai Ratu Malaysia, saya mewakili semua bangsa di dalamnya. Jadi, album sulung yang menggunakan nama sendiri sebagai judul ini ialah sumbangan saya dalam memperkasakan lagi semangat 1Malaysia."

Prema Yin

"SEBAGAI generasi muda Malaysia, saya tidak terkecuali menyimpan impian untuk membantu negara supaya lebih dikenali pada peringkat antarabangsa. Satu hari nanti, saya amat berharap muzik kita akan turut membuka mata masyarakat dunia.

"Menerusi muzik yang baik hasil tangan rakyat Malaysia, mungkin kita juga berupaya mengharumkan nama negara. Lalu, saya sendiri akan terus menghasilkan muzik terbaik demi memajukan industri muzik, yang bukan saja diterima di negara sendiri, malah pada peringkat lebih besar.

"Memang ia kelihatan seperti sebuah mimpi. Namun, rasanya tidak salah setiap daripada kita untuk mempunyai impian dan angan-angan, yang seterusnya mendorong kita lebih maju dalam hidup.

"Menjadi rakyat Malaysia pula, saya amat bangga dengan kepelbagaian yang ada di dalamnya. Bukan hanya pelbagai bangsa yang memakmurkan negara ini, tetapi saya juga berasa seronok kerana kita mempunyai pelbagai jenis makanan yang enak untuk dibanggakan. Apatah lagi bagi penggemar makanan seperti saya, pelbagai jenis hidangan daripada bermacam-macam etnik dan kaum yang wujud di negara ini sukar untuk ditewaskan.

"Saya yang lahir daripada keluarga muhibah (bapa keturunan India, manakala ibu keturunan Cina) turut berbangga menjadi rakyat Malaysia dek penduduknya yang menolak perbezaan warna kulit dan agama untuk hidup aman damai sesama kita. Mana mungkin kita dapat lihat keadaan yang sama di negara lain?"

Stacy

"SAYA sentiasa memanjat kesyukuran kerana dilahirkan di bumi bertuah, Malaysia. Melalui bidang yang diceburinya kini, saya sedar setiap manusia yang bernyawa di bumi tercinta ini mempunyai sumbangan tersendiri dalam meningkatkan nama Malaysia pada mata dunia.

"Selagi mampu memberikan variasi terhadap jalur muzik yang diperjuangkan kini, saya tidak sesekali akan menghancurkan kepercayaan yang diberi peminat selama ini, hingga layak mengisi ruang seni. Apa yang saya lakukan bukan sekadar melepaskan batok di tangga, sebaliknya ia sebagai jaminan pada masa mendatang.

"Tidak kira apa juga bangsa, kaum atau warna kulit kita berdiri di bawah satu nama yang sama, yakni Malaysia. Dengan keamanan yang dikecapi dan harapnya ia akan terus berpanjangan, kita bebas melakukan apa saja tanpa ada langsung sekelumit perasaan takut.

"Sama-samalah kita mendoakan kegemilangan yang dirasai selama 52 tahun ini tanpa rasa prejudis. Pada Ramadan ini juga saya juga sering diundang untuk menyertai program raya yang lebih terarah kepada pembabitan artis Melayu. Seronok juga merasai pengalaman sebegini biarpun saya hanyalah gadis Kadazan Dusun.

"Saya juga diundang ke majlis berbuka puasa termasuk mendendangkan lagu raya. Saya tidak janggal menggayakan baju kurung yang sering dipakai wanita Melayu. Sedar atau tidak, ini menunjukkan simbolik keterbukaan masyarakat yang terus menjadi kunci kepada kemakmuran negara kita."

Hafiz

"LIHAT saja apa yang berlaku di sesetengah negara dengan berlaku peperangan dan perpecahan kaum hingga nyawa insan yang tidak bersalah tergadai. Tetapi, negara kita masih terjaga dengan penuh kerukunan biarpun berbeza fahaman politik. Kita masih mampu bersatu biarpun hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

"Apa yang kita kecapi sekarang semuanya buat bekalan kehidupan pada masa akan datang, untuk generasi baru. Sebagai generasi muda yang memilih kerjaya seni sebagai laluan mencari rezeki, saya juga seperti Stacy yang boleh menyampaikan mesej di dalam muzik. Muzik juga dilihat sebagai entiti perpaduan kerana ia diterima secara umum.

"Saya juga berbangga kerana dipilih untuk merakamkan lagu 1Malaysia ciptaan Nik Nizam untuk RTM. Lagu ini menjadi saluran menyatukan rakyat negara kita supaya terus utuh menjaga nikmat keamanan yang dimiliki. Saya juga suka berkawan tanpa mengira bangsa kerana secara tidak langsung ia membuka laluan untuk kita mempelajari budaya orang lain.

"Dalam diri saya sendiri mengalir tiga darah campuran, Melayu, Cina dan Bugis. Bangga juga menjadi anak Malaysia yang merangkumi kepelbagaian budaya yang ada di negara kita. Malaysia itu jelas memaparkan keunikan daripada pelbagai perspektif. Selamat Hari Merdeka."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: