Monday, August 31, 2009

Joki lintah darat, menipu - Kononnya tak kena saman jika bayar RM20 caj letak kereta di petak kuning


Salah sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan ditunda dalam Ops Helang di Jalan Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - Kewujudan 'joki haram' yang mengenakan caj sehingga RM20 bagi setiap buah kenderaan yang ditinggalkan di petak kuning di tepi jalan di Jalan Ampang oleh pengunjung pusat hiburan di sini disifatkan sebagai lintah darat dan kaki menipu.

Joki itu menipu pemilik kenderaan terutama pengunjung pusat hiburan dengan memberikan jaminan kononnya kenderaan yang ditinggalkan di petak-petak kuning tidak akan disaman kerana mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dalam Ops Helang yang dijalankan pada pukul 12.30 malam kelmarin, para pengunjung pusat hiburan di situ terkedu apabila semua kenderaan yang diletakkan di petak kuning disaman dan ada yang ditunda.

Seorang wanita yang dipercayai mabuk gagal mengawal perasaannya dengan cuba menyerang seorang anggota polis trafik apabila mendapat tahu keretanya telah ditunda.

Kenderaan wanita itu ditunda selepas ia diletakkan di petak kuning yang menghalang laluan trafik berhampiran sebuah pusat hiburan di situ.

Wanita dalam lingkungan usia 30-an itu dapat ditenangkan kemudian oleh rakan-rakannya yang menariknya ke tepi jalan daripada terus berkelakuan tidak senonoh dengan menjerit-jerit dan mengeluarkan kata kesat kepada polis.

Pemangku Ketua Trafik Kuala Lumpur, Supritendan Rusli Mohd. Noor berkata, joki-joki haram terbabit meyakinkan pemilik kenderaan bahawa mereka ada hubungan dengan polis bagi mendapatkan wang RM20 bagi setiap kereta yang diletakkan di petak kuning.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: