Saturday, August 29, 2009

Memoir Aishah mengisi slot Cerekarama malam ini





SAMBUTAN kemerdekaan dianggap lebih bermakna kepada pejuang bangsa yang bersama-sama mempertaruhkan nyawa mempertahankan kedaulatan negara daripada cengkaman penjajah.

Segala kenangan perit suka duka ketika melalui zaman itu masih segar di dalam ingatan perjuangan bangsa ini, namun lebih mendalam lagi apabila berpeluang menonton kembali segala kejadian yang berlaku.

Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, slot Cerekama di TV3 malam ini akan menyiarkan telefilem menarik berjudul Memoir Aishah. Memoir Aishah menceritakan pengalaman masa lampaunya yang berpeluang hidup di zaman penjajahan sebelum merdeka. Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah 82, hidup dengan segala memori yang cuba menghantui dirinya.

Cucu Aishah, Qistina cuba mencari jawapan daripada semua persoalan yang perlu neneknya huraikan. Melalui foto-foto koleksi Aishah satu persatu memori terungkap. Di era pendudukan Inggeris Aishah bersama datuknya (Datuk Hassan), ibu (Wan Mawar) dan ayahnya (Rahim) membesar dalam keadaan sempurna. Datuknya antara orang kaya Melayu ketika itu dan ayahnya seorang jurugambar dan penulis.

Jiran mereka berketurunan India iaitu Manikam dan Rajeswari. Kealpaan dengan tindak-tanduk Inggeris membuat Datuk Hassan muflis dan meninggal dunia.

Episod derita Aishah makin menikam apabila ayahnya ditangkap ketika cuba menyelamatkan tauke Tan daripada dibunuh tentera Jepun. Rahim kemudiannya dihantar sebagai buruh paksa untuk membuat jambatan maut di Siam. Ketika itu Rahim sempat menyuruh Aishah menyelamatkan diri. Aishah berlari dalam ketakutan namun diselamatkan seorang pemuda bernama Zul.

Wan Mawar ibu tunggal cekal membesarkan Aishah walaupun dalam keperitan hidup. Aishah memegang kamera bapanya untuk melepaskan rindu. Jepun menyerah kalah pada 1945 dan Inggeris kembali berkuasa. Tiada bezanya kedua penjajah ini menjerut anak bangsa. Dengan egonya Malayan Union ditafsirkan. Makin ramai menentang dan gerakan bawah tanah terbentuk.

Parti Komunis Malaya (PKM) diilhamkan mereka yang cetek akal dan tiada beza kejamnya dalam mendukung faham an dan wawasan komunisme. Ketika ini Aishah makin dewasa dengan keayuan wanita Melayu. Aishah mendukung karier bapanya sebagai jurugambar dan penulis. Tetapi episod duka Aishah makin bertaut. Wan Mawar meninggal dunia kerana mengidap penyakit malaria. Aishah gusar dan sedih dan ketika ini Zul muncul kembali di dalam hidup Aishah.

Perjuangan orang Melayu ke arah kemerdekaan adalah kisah yang mematangkan Aishah. Jiwa bangsa yang kuat di dalam diri Aishah mendorongnya sama-sama menuntut apa yang berhak.

Kemunculan Zul dalam diri Aishah penuh dengan teka-teki. Reaksi dan kelakuan Zul sekali pandang bagai tali barut penjajah. Cinta Aishah bagai dirobek dengan kelakuan Zul. Zul tahu erti cinta Aishah namun meletakkan cinta di tempat kedua. Zul sekali lagi menyelamatkan Aishah apabila Aishah menjadi sasaran PKM. Zul sebenarnya adalah seorang pengintip dan pemberi maklumat kepada gerakan orang Melayu yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman.

Dalam suasana sederhana Aishah dan Zul dinikahkan. Aishah dengan semangat baru bersama-sama berjuang melalui ’pena’ dan ’gambarnya’. Apakah yang terjadi pada perjuangan Aishah? Berjayakah dia dalam menghadapi cabaran dalam hidupnya?

Memoir Aishah membariskan pelakon seperti Sherie Merlis, Helmi Hussaini, Normah Damanhuri, Faizal Yusof, Sharifah Shahora, Nadia Aqilah dan Nur Aqilah Malek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: