Sunday, August 30, 2009

Terpaksa tanggung malu - Hafiz


Salah satu adegan lokonan Hafiz dalam Rasukan Ablasa.


Cerita ini dah lama. Dah lebih sebulan. Tapi di sana sini orang masih bercerita ataupun bercakap-cakap mengenai perangai pelakon Hafiz Nafiah, 25. Dia dikatakan terlalu mengejar glamor dan kemaruk sangat dengan publisiti. Dalam erti kata lain macam kemaruk untuk muncul di akhbar.

Kisahnya semasa sesi penyerahan tiket penerbangan dan pengumuman lima finalis pencalonan Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM-22) yang diadakan di Finas pada akhir Julai lalu, Hafiz dituduh dengan tak tahu malu sanggup naik ke pentas bersama calon-calon top 5 festival itu. Sedangkan dia bukanlah individu yang dicalonkan dalam katogeri berkenaan.

Tindakan pelakon filem Rasukan Ablasa ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang menganggap sikapnya itu dipengaruhi faktor mahu glamor. Peristiwa itu menjadi bahan kritikan orang termasuklah media.

Selain peristiwa berkenaan, Hafiz dikatakan suka menumpang populariti orang lain sehinggalah timbul isu kononnya dia bercinta dengan Heliza, bekas pelajar Akademi Fantasia. Percintaan itu dikatakan sekadar rekaan hanya kerana untuk dia mahu mendapat perhatian dan publisiti.

Merungkai perkara itu, saya bertanya sendiri kepada Hafiz untuk dia menjelaskannya.

“Saya malu besar gara-gara tuduhan itu,” katanya kepada saya petang Khamis lalu.

Hafiz yang berkecimpung secara serius dalam bidang seni sejak tiga tahun lalu sudah berlakon banyak filem termasuklah Dunia Baru The Movie, Nana Tanjung dan Skrip 7707.

Ikuti penjelasan Hafiz adakah dia gila glamor seperti yang didakwa?

Panasnya orang bercerita Hafiz gila glamor. Asyik menempel sana-sini untuk masuk surat khabar termasuklah pada satu majlis di Finas pada 31 Julai lalu. Boleh jelaskan sikit?

Saya tak marahkan sesiapa dalam hal ini. Terpulanglah kepada orang nak buat apa-apa persepsi kepada saya. Cuma saya agak kecewa bila orang tak tahu cerita sebenar sebaliknya buat tuduhan yang bukan-bukan. Tak eloklah macam tu. Nampak sangat saya macam nak glamor tapi ada cerita lain sebenarnya yang orang tak tahu.

Apa ceritanya?

Saya ke Finas pada hari berkenaan sebab saya dapat jemputan. Orang lain kebanyakan pergi sebab nak ambil tiket penerbangan mereka ke Sabah tu. Tapi saya tak. Tiket saya pihak pengurusan saya yang ambil. Saya dijemput kerana filem pendek arahan dan terbitan syarikat saya, Red Apple Communication Sdn. Bhd. iaitu Lilin tercalon. Walaupun tak tersenarai top five tapi saya pergi atas jemputan. Semasa sesi bergambar, semua artis naik ke pentas. Saya tak naik tetapi pegawai promosi saya suruh naik juga. Saya kata buat apa nak naik sedangkan saya tak terlibat apa-apa pun? Nak jadikan cerita tiba-tiba pengacara majlis sebut nama saya dan suruh saya bergambar dengan artis lain. Dah orang panggil, saya terpaksalah naik. Yang hairannya beberapa hari lepas tu timbul cerita dalam akhbar kata saya gila glamor.

Hafiz terkejut dengan tuduhan itu?

Terkejut jugalah. Saya dapat tahu kisah tu masa saya sampai di Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadiri FFM-22. Ada kawan-kawan tanya, “Kau baca tak surat khabar? Ada tulis pasal cerita kau gila glamor.” Saya terkejut besar. Bila saya baca saya tahu ia mungkin salah faham orang terhadap saya.

Apa reaksi Hafiz masa tu?

Malu besarlah bang. Saya tertanya-tanya apa salah saya sampai dihentam macam tu? Tuduh pula saya gila glamor. Memang saya murung gila masa tu. Yalah... saya malu sangat tapi saya tak boleh buat apa-apa sedangkan orang tak tahu cerita yang sebenarnya.

Sebelum kejadian tu pun timbul juga isu Hafiz seolah-olah hadap sangat untuk popular. Betulkah macam tu?

Okeylah, macam ni. Saya mengaku sebelum ni saya pernah telefon sendiri pihak wartawan untuk dia orang bagi publisiti kepada saya. Tapi kena ingat, saya tak akan telefon kalau tak ada produk baru atau filem baru lakonan saya yang akan keluar. Kalau saja-saja nak telefon untuk masuk surat khabar, tidaklah. Selalunya saya telefon nak minta publisiti apabila saya ada cerita yang nak diberitahu. Kalau tak boleh tolong tak apalah. Salahkah cara saya macam tu?

Salah tu tak, tapi kadang-kadang orang tak selesa. Manalah tahukan?

Selalunya saya akan hubungi atau hantar SMS kepada wartawan atau orang yang kenal rapat saja. Saya nak minta tolong. Tapi saya bukan paksa. Kalau paksa tu lainlah cerita. Saya fikir juga pelakon-pelakon dulu pun selalu juga datang ke pejabat media, selalu juga jumpa dan borak-borak dengan wartawan. Jadi saya buat macam tu sebab nak berkawan. Bukannya sebab nak masuk surat khabar. Kalau saya salah, saya minta maaflah. Yang penting saya tak paksa untuk keluarkan artikel tentang saya.

Ada kesan atau tidak bila timbul isu itu?

Kesan tu dalam diri saya sendiri. Lepas ni kalau saya nak duduk lepak-lepak dengan artis atau dengan sesiapa saja, nanti orang ingat saya nak tumpang glamor. Nak menempel kerana nak dapatkan publisiti. Saya malu kerana bimbang orang akan ada persepsi sedemikian.

Sebelum ni Hafiz dikaitkan bercinta dengan Heliza (AF). Ada yang kata itu semua taktik nak glamor saja. Macam mana?

Saya ada baca cerita tu. Sebelum ni saya pernah ada empat majlis melibatkan saya dan Heliza. Jadi kami bertemu di empat majlis yang sama. Bila kerap kali jumpa mulalah orang buat cerita yang saya bercinta dengan dia. Pada hal tak pun. Kami kawan biasa je. Sebelum ni saya dikatakan ada hubungan dengan Naufara sedangkan dia kawan bisnes saya. Saya lihat dalam hal ni saya selalu jadi mangsa keadaan. Tak boleh nak kawan dengan sesiapa. Asyik jadi tohmahan orang saja. Kalau macam ni saya tak boleh berkawan dengan oranglah!

Apa tindakan dan pendirian Hafiz sekarang?

Sebelum ni saya banyak berdiam diri. Orang nak kata apa pun, katalah. Saya tak kisah. Nampaknya kalau kita terlalu berdiam, akan timbul banyak masalah rupanya. Jadi selepas ini kalau timbul macam-macam cerita negatif tentang saya, saya perlu mempertahankannya. Saya tak mahu mengalah lagi. Saya rasa hubungan saya dengan semua orang tak ada masalah. Jumpa sesiapa pun saya tegur. Tapi itulah... kita selalunya nak buat baik, orang akan anggap macam lain pula. Itu yang masalahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: