TANPA disedari penyanyi dan pelakon Ahmad Azhar Othman atau Awie, memakan satu serta dua kilo duku langsat sahaja kaki kirinya boleh menjadi bengkak!
Perkara itu didedahkan vokalis utama Wings - sebuah kugiran rock yang berasal dari Malaysia dan ditubuhkan sekitar 1980-an - apabila pergerakannya kelihatan tidak lancar dan sesekali mengerang kesakitan apabila kakinya menghentak permukaan lantai.
"Itu hari... masa itu pergi ke Pulau Redang. Makan duku langsat hampir sekilo. Sekali sakit sehingga terus tak boleh diving oh...," katanya ketika menghadiri rakaman khas 'Mentor Raya' di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Khamis lalu (27 Ogos 2009).
Awie bersama protegenya, Keena dalam program realiti sensasi Mentor musim ketiga tampil dalam rakaman khas tersebut dan mempersembahkan lagu-lagu malar segar Raya.
Antaranya, 'Suara Lebaran', 'Indah Di Hari Raya', 'Cahaya Aidilfitri', 'Satu Hari Di Hari Raya' dan 'Setahun Sekali'.
Ditanya sama ada dia menghidap penyakit Artritis Gout atau sakit buah pinggang, Awie menidakkannya sambil tangannya mengurut-urut pergelangan kaki kirinya yang bengkak.
Serangan artritis gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan sendi yang terlibat itu membengkak dan sakit sehingga menyebabkan seseorang pesakit itu sukar untuk berdiri ataupun berjalan.
Kesan ini menjadi maksimum setelah beberapa jam dan hanya hilang setelah berminggu-minggu lamanya. Ia biasanya berlaku di sendi ibu jari kaki dan sendi lutut. Namun, sendi-sendi lain juga boleh terlibat dan menyukarkan diagnosis.
"Ini adalah old injuries (kecederaan lampau)... dulu main bola.. tetapi sekarang dah lupa umur.
"Tiga tahun lepas, 30-an. Sekarang dah 40-an. Lupa umur. Makan hampir sekilo (duku langsat). Lepas itu, terus tak boleh diving oh," keluh Awie yang terpaksa melupakan hasratnya untuk menyelam dan menikmati panorama menarik marin di pulau yang indah itu.
Pun begitu, Awie tidak berpendapat bengkak pada kakinya adalah berpunca daripada duku langsat.
"Sebaliknya, baru-baru ini, beli lagi tiga kilo (duku langsat)," kata Awie yang tidak serik lagi dengan duku langsat. Maklumlah duku langsat adalah buah-buahan kegemarannya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang sama ada dia tidak kekok bergandingan dengan Erra Fazira dalam filem 'Andartu Terlampau', Awie menepis gosip tersebut seperti menghembuskan habuk yang melekat di bajunya.
"Gosip tersebut dah lama berlalu (tidak relevan lagi). Kalau ikut filem 'Cuci', saya dah berdialog dan berlakon dengan dia (Erra Fazira) ....dua atau tiga tahun lampau.
"Lagi pun, ada dua tiga scene... it's part of the whole script.. tak banyak. Semua diambil sikit-sikit," katanya yang merupakan bapa kepada dua anak, Puteri Aleeya Antasha, 8 dan Puteri Aleefa Antasha, 5 hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Arni Nazira Anuar.
Filem pertama terbitan Big Production milik Haliza Misbun, "Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami" adalah sebuah filem komedi romantik yang membabitkan pelakon Erra Fazira, Awie, Fahrin Ahmad, Mamat Khalid, Fizo Omar dan pelakon Indonesia, Ari Wibowo.
Filem arahan Din CJ ini mengisahkan kehidupan andartu, Nik Melati Sukma lakonan Haliza sendiri yang sering gagal dalam percintaan dan telah memulakan penggambaran pada 1 Ogos lalu.
Suatu hari keluarganya memberi tempoh 21 hari untuk Nik Melati Sukma mencari suami jika tidak mahu dijodohkan sendiri oleh ibu dan bapanya.
"Saya adalah salah seorang calonnya," kata Awie. Bimbang mendapat lelaki yang tidak secocok, Nik Melati terpaksa bekerja keras mencari pasangannya sehingga menyebabkan dia bertemu dengan pelbagai ragam lelaki.
Menceritakan perkembangan terkininya, Awie berkata, dia kini terlibat dalam teater 'Cuci The Musical' yang bakal dijayakan di Istana Budaya dari 23 Oktober hingga 8 November ini.
Sementara itu, Awie berkata, dari segi lakonan, dia lebih suka berlakon dalam filem bergenre komedi.
"Kalau boleh saya ingin menolak watak-watak berunsur romantis dalam filem bertemakan cinta," katanya yang pernah menolak tawaran berlakon dalam 'Seri Dewi Malam' dan 'Idola'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: