Monday, August 31, 2009

Kosmo! kini lima tahun


TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI menatap akhbar Kosmo! sambil diperhatikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kanan), Pengarang Kosmo! yang pertama, Hamzah Sidek (kiri sekali) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali di Kompleks Sri Utusan, Bangi pada 30 Ogos 2004. Terbitan pertama Kosmo! menemui pembaca pada 31 Ogos 2004.


SEJAK ditubuhkan lima tahun lalu, akhbar bersaiz kompak Kosmo! telah mengalami pelbagai transformasi sehingga berjaya mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Sejarah mula dilakar apabila Kosmo! dilancarkan pada petang Isnin 30 Ogos 2004 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di kilang percetakan Kumpulan Utusan di Bangi. Terbitan pertama Kosmo! menemui pembaca pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2004.

Kosmo! yang mengandungi 64 muka surat kemudian diedarkan secara percuma kepada pembaca selama lima hari berturut-turut dan mendapat reaksi positif daripada pembaca.

Dengan slogan Suara Kontemporari yang menyasarkan generasi muda yang moden dan aktif dalam kehidupan seharian, ia mula dijual pada harga RM1 senaskhah.

Pada peringkat awal, edaran Kosmo! hanya untuk kawasan Lembah Klang.

Bagi memberi kelainan, Kosmo! pada 3 Januari 2005 memperkenalkan Kosmo! Ahad untuk sajian hujung minggu dengan berita-berita lebih santai dan berinformasi.

Pada 10 September tahun yang sama, akhbar kompak Kosmo! mula mengembangkan sayapnya apabila Biro Pulau Pinang dan Kedah dilancarkan bagi memperluaskan liputan Kosmo! di utara tanah air.

Setahun selepas itu, Kosmo! memperluaskan lagi liputannya apabila membuka biro Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Pahang manakala edisi utara turut memuatkan bahan-bahan dari Perlis dan Perak.

Selepas lima tahun akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu dilancarkan, ia mula menunjukkan potensi positif dan mendapat sambutan hangat daripada pembaca.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: