MELALUI fasa hidup selepas berkahwin hingga bergelar ibu memberi makna mendalam kepada aktres Hollywood, Ashlee Simpson. |
Pelakon berasal dari Waco, Texas, Amerika Syarikat ini mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan, Peter Wentz yang juga pemain gitar bass kumpulan Fall Out Boy pada 17 Mei tahun lalu.
Selepas menggalas tanggungjawab sebagai isteri, kehidupan Ashlee bertambah bahagia apabila dikurniakan cahaya mata sulung, Bronx Mowgli yang lahir pada 20 November tahun lalu.
Ashlee menyatakan pengalaman menjadi ibu suatu yang menakjubkan dan kehadiran Mowgli sentiasa menceriakan suasana pada setiap hari.
Ashlee, 24, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat anaknya itu membesar dan berusaha meluangkan lebih banyak masa untuknya.
Mowgli kini sudah berusia sembilan bulan dan bertuah kerana mendapat perhatian penuh ibunya.
“Setiap minggu, saya belajar perkara baru mengenai dirinya dan dia makin menunjukkan perkembangan diri.
“Buat masa ini, dia pandai merangkak, mempunyai enam gigi dan sudah boleh memanggil mama dan dada.
“Dalam pada itu, dia juga memberi respons pada muzik. Mungkin dia suka pada muzik klasik dan broadway. Bagaimanapun, saya selesa melalui kehidupan bersamanya.
“Namun, itu bukan halangan untuk saya terus bekerja. Saya mampu melakukan kedua-dua tanggungjawab ini serentak,” katanya.
Mengenai masa depan anaknya itu, Ashlee bersikap terbuka untuk menerima keputusan jika Mowgli berminat mengikuti Wentz yang cenderung ke arah muzik. Ashlee yang ditemui pada tayangan perdana drama baru lakonannya, Melrose Place di Los Angeles, baru-baru ini menyatakan dia mahu menjadi ibu terbaik pada anaknya dengan memberi kebebasan dalam mencapai cita-cita sendiri.
Menyingkap perjalanan karier seninya, Ashlee mula menunjukkan minat sebagai penari seawal usia empat tahun hingga meraih peluang menyertai sekolah latihan tarian terkenal, School of American Ballet pada usia 11 tahun.
Pada usia 14 tahun, dia aktif menari secara profesional.
Pada 1999, Ashlee menemani kakaknya, Jessica yang juga penyanyi pop, mengadakan persembahan jelajah.
Selama tiga tahun bersama kakaknya, Ashlee turut mempunyai peminat sendiri.
Ashlee yang mahu mengikut jejak langkah kakak menjadi penyanyi terlebih dulu berkecimpung dalam bidang lakonan.
Menerusi penampilan sulung drama bersiri, Malcolm In The Middle pada 2001, Ashlee seterusnya meraih peluang membintangi filem The Hot Chick (2002).
Berbeza dengan watak pembantu sebagai Monique dalam filem lakonan pertamanya itu, dia kemudian mendapat watak utama menerusi Undiscovered (2005).
Perkembangan terbaru, Ashlee terbabit membintangi drama baru, Melrose Place yang mula ditayangkan sejak 9 Ogos lalu. Katanya, dia gembira bertemu dengan pelakon berpengalaman seperti Laura Leighton dan Colin Egglesfield sambil berharap drama berkenaan mendapat sambutan positif penonton.
“Saya tertarik untuk berlakon drama ini bersama pelakon lain. Malah, saya mengambil bahagian sebagai generasi baru drama ini,” katanya.
Ketika ini, Ashlee memberi lebih fokus pada lakonan berbanding nyanyian.
Sumber daripada rakan Ashlee menyatakan aktres ini senang untuk berlakon pada masa ini kerana pada masa yang sama, dia mahu meluangkan masa bersama keluarga.
Apapun, Ashlee sebenarnya tidak sanggup berjauhan dengan anaknya yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Berbanding pelakon lain yang bekerja keras untuk mendapat tawaran di layar perak dan drama, sebaliknya Ashlee mempunyai prinsip sendiri untuk mengimbangi dua karier.
Hakikatnya, Ashlee gembira dengan apa yang dilakukan dan tetap memberi keutamaan pada keluarga.
Sebelum ini, Ashlee yang turut mencipta nama sebagai pelakon menerusi drama 7th Heaven, kali ini membawa watak Violet Foster iaitu gadis dari satu pekan kecil yang mencuba nasib di Los Angeles.
Mengenai karier nyanyian, Ashlee sebelum ini turut aktif menghasilkan lagu soundtrack untuk drama TV antaranya America, Smallville, Las Vegas dan One Three Hill pada 2005 serta filem seperti Freaky Friday (2003), Bratz (2007) dan The House Bunny (2008).
Selepas menghasilkan tiga album bermula Autobiography (2004), I Am Me (2005) dan Bittersweet World (2008), dia masih mencari lagu baru yang sesuai untuk penerbitan album seterusnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: