Friday, August 28, 2009

Pelayar solo termuda


MIKE PERHAM dirakam berada dalam kapal layar di Lizard Point, Britain baru-baru ini.


LONDON - Seorang pelayar Britain berusia 17 tahun Mike Perham merupakan individu paling muda belayar mengelilingi dunia tanpa sebarang bantuan, lapor sebuah akhbar semalam.

Perham mencipta rekod pelayaran solo selepas menamatkan perjalanan sejauh 45,000 kilometer selama 156 hari yang berakhir di Cornwall, selatan England semalam.

Perham, yang mula belayar seawal usia tujuh tahun, merupakan orang termuda merentasi Lautan Atlantik ketika berusia 14 tahun pada 2007.

"Halangan utama dalam pelayaran seperti ini adalah apabila berlaku perkara di luar jangkaan seperti kerosakan kerana anda perlu membaikinya sendiri tanpa bantuan," katanya kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC) melalui telefon.

Pelayar muda itu berkata, dia menamatkan pelayaran dengan menggunakan kapal layar lumba Totallymoney.com sepanjang 15 meter tepat pada pukul 9.55 pagi waktu tempatan.

Remaja tersebut memulakan perjalanan pada November tahun lalu.

Perham lebih muda beberapa bulan daripada Zac Sunderland, pelayar berusia 17 tahun dari Thousand Oaks, Amerika Syarikat yang menamatkan pelayaran serupa pada Julai lepas dalam masa 13 bulan.

Kurang 250 orang berjaya belayar mengelilingi dunia secara solo tetapi rekod remaja tersebut bakal tergugat jika sebuah mahkamah membenarkan seorang remaja perempuan Belanda belayar secara solo ketika berusia hanya 13 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: