CHILMARK - Senator Edward Kennedy yang meninggal dunia dianggap lebih daripada sekadar rakan sekerja di Dewan Senat atau penggubal undang-undang kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.
Hubungan antara dua pemimpin tersebut sebenarnya jauh lebih akrab dan jalinan tersebut terserlah dalam ucapan penuh emosi Obama berhubung pemergian Kennedy.
Presiden kulit hitam pertama AS itu tidak akan melupakan sokongan Kennedy sehingga beliau terpilih sebagai calon bagi mewakili Parti Demokrat pada pilihan raya Presiden 2008 yang melihat Senator Hillary Rodham Clinton terpinggir.
Dalam ucapannya, Obama melemparkan pujian kepada Senator Negeri Massachusetts itu kerana bersungguh-sungguh membaik pulih sistem perundangan negara ke arah kehidupan lebih baik bagi jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) termasuk dirinya.
Pemergian Kennedy akibat kanser otak ketika berusia 77 tahun malam Selasa lepas meninggalkan kesan dalam diri Obama yang memendekkan percutian musim panas di Pulau Martha's Vineyard, Massachusetts bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Sebaik sahaja beliau dimaklumkan tentang kematian Kennedy pada pukul 2 pagi (waktu tempatan), Obama terus menghubungi balu Kennedy, Victoria untuk menyampaikan ucapan takziah dan mengarahkan supaya bendera AS dikibarkan separuh tiang di semua bangunan persekutuan.
"Perjuangan mendiang memberikan kita peluang yang dinafikan setelah kita kehilangan dua orang abangnya, John dan Robert (kedua-duanya meningal dunia dalam tragedi) iaitu kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal," kata Obama.
Mayat Kennedy akan diletakkan di Perpustakaan dan Muzium Presiden John F. Kennedy di Boston untuk majlis penghormatan terakhir pada malam ini.
Mayatnya akan disemadikan keesokan harinya bersebelahan kubur abangnya, John di Tanah Perkuburan Kebangsaan di Arlington, dekat Washington.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: