Monday, August 10, 2009

Papadom bolot lima anugerah



Walaupun belum menjengah pawagam, filem arahan Afdlin Shauki, Papadom berjaya merangkul lima anugerah termasuk Filem Terbaik pada malam Festival Filem Malaysia ke-22 yang berlangsung di Dewan Chanselor Universiti Malaysia Sabah, malam semalam.

Kejayaan Papadom sekali gus menyangkal persepsi banyak pihak yang menjangkakan filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime untuk memenangi kategori tersebut.

Selain Filem Terbaik, Papadom turut menjulang dua pelakon utamanya, Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik. Papadom turut mengungguli kategori Cerita Asal Terbaik (Afdlin Shauki) selain Skor Muzik Asal Terbaik (Syed Ahmad Faizal).

Kejayaan merangkul Filem Terbaik membolehkan Tayangan Unggul selaku penerbit membawa pulang wang tunai RM50,000 dan kemudahan penggambaran bernilai RM100,000. Hadiah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan diiringi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Selain itu, Afdlin juga menambah koleksi peribadinya apabila sebuah lagi filem arahannya, Los dan Faun dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik.

Bagaimanapun, Talentime turut memberi saingan sengit apabila turut meraih lima anugerah pada malam tersebut. Yasmin sendiri memenangi dua anugerah menerusi kategori Pengarah Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Mohd Shafie Naswip berjaya membawa pulang trofi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala Pelakon Harapan Wanita Terbaik menjadi milik Jaclyn Victor.

Sebagai sebuah filem dimensi baru yang segar dan berkekalan, Talentime turut membawa pulang Anugerah Khas Juri.

Filem arahan Kabir Bhatia, Setem tidak pulang hampa apabila merangkul tiga anugerah menerusi Sinematografi Terbaik (Mohd Nor Kasim), Penyunting Terbaik (Faizul Mohd Noh) dan Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff Mahzan).

Begitu juga dengan filem seram Histeria turut cemerlang apabila pengarahnya, James Lee dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik selain memenangi Poster Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Pelakon yang sebelum ini lebih dikenali lakonannya menerusi drama, Salina Saibi berjaya mengetepikan pesaing-pesaingnya untuk memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Bohsia) dan Zahiril Adzim (Kami The Movie) sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik. Pelakon cilik, Mohd Hadziq pula cemerlang sebagai Pelakon Kanak-kanak Terbaik.

Pemenang bagi kategori Anugerah Perdana mebawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 manakala Anugerah Cipta sebanyak RM10,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: