Tuesday, August 25, 2009

Jaclyn tidak mahu menjerit


ALBUM ketiga Jac tampilkan kelainan dari segi vokal.

ALBUM Gemilang dan Inilah Cinta yang dihasilkan sebelum ini menyaksikan kehebatan vokal penyanyi ini terutama dalam menyanyikan lagu bernada tinggi.

Dan, disebabkan suara emas itulah maka Jac menerima laluan mudah untuk menggenggam gelaran juara Malaysian Idol musim pertama. Bagaimanapun, untuk album ketiga ini, tiada lagi jeritan atau "melalak' yang akan kedengaran.

Kata Jac, untuk album terbarunya yang diberi judul Jaclyn Victor 111, dia tidak akan lagi berbuat demikian sejajar dengan perubahan muzik yang hendak ditonjolkannya.

"Saya tidak mahu lagi menjerit. Cukuplah saya sudah membuktikan yang saya boleh menyanyi dalam nada yang tinggi dalam dua album sebelum ini. Jadi dalam album ketiga ini, saya akan menurunkan vokal supaya kedengaran lebih tenang dan selesa ketika menyanyi," katanya kepada media di majlis pra-dengar album terbarunya baru-baru ini.

Jika sebelum ini Jac banyak bekerja dengan komposer ternama tapi kali ini, syarikat rakamannya, Sony Music menyuntik sedikit elemen pembaharuan dengan bergabung lebih ramai komposer muda.

"Walaupun mereka komposer muda tapi saya berpuas hati dengan hasil kerja mereka. Saya akui seronok bekerjasama dengan mereka. Apabila bekerja dengan komposer baru, perubahan muzik juga berlaku. Mungkin akan kedengaran sedikit kelainan tetapi hanya suara saja yang akan membuat peminat kenal itu adalah nyanyian dari Jaclyn Victor.

KEHADIRAN Jac pada Festival Filem ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah menjadi perhatian penonton.

"Antara komposer yang menyumbangkan lagu dalam album itu termasuklah Aubrey Suwito, Sharon Paul, Anjang Jinbara, Gjie 6ixth Sense, Syed Nitrus, Nur Fatimah, Panji, serta Boy Raz.

Kepada peminat Jac, mereka boleh memiliki album terbaru penyanyi ini yang sudah berada di pasaran 20 Ogos lalu.

Mengenai lakonan, Jack yang diketengahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad menerusi filem Talentime dengan membawa watak Bhavani berkata, dirinya cukup bertuah kerana berjaya menggenggam anugerah yang menjadi idaman ramai itu.

Dengan pengiktirafan itu, katanya, ia membuktikan bahawa tanpa sebarang pengalaman dia mampu menghasilkan mutu lakonan yang cemerlang di mata juri.

Namun begitu, semangatnya untuk terus berlakon bagaikan hilang di bawa pergi Yasmin yang meninggal dunia pada penghujung Julai lalu.

"Entahlah, saya sendiri rasa mungkin filem Talentime ini adalah filem pertama dan terakhir. Apabila mak (Yasmin) tiada, saya sendiri seperti tiada semangat untuk berlakon," katanya.

Bagaimanapun, apa yang dikatakannya itu bukanlah satu keputusan yang muktamad. Bagi Jac, apa yang diluahkannya itu adalah isi sebenar hatinya ketika ini.

"Barangkali saya masih lagi terkesan dengan pemergian Mak hingga menyebabkan mood saya untuk kembali berlakon sudah tiada. Tapi pada masa akan datang, saya tak berani nak kata apa-apa. Kalau saya kembali berlakon pun, saya teringin berlakon di bawah pengarahan Afdlin Shauki, Shuhaimi Baba," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: