Tuesday, August 25, 2009

Cinta, benci dan dendam




Drama Kasih Tercipta gabung bintang popular tanah air

BAGI meneruskan kesinambungan tayangan drama bersiri popular di saluran mereka seperti Mertua Vs Menantu dan Awan Dania, Astro Prima membawakan pula kepada penonton siri arahan Rashid Sibir, Kasih Tercipta.

Drama berkenaan diharap stesen penyiar terbabit dapat mengumpul sejumlah penonton yang besar, sehingga sejuta orang, berdasarkan beberapa kekuatan yang ada.

Drama yang mula disiarkan pada 1 September di Astro Prima itu bukan saja menampilkan kisah cinta yang disulam dengan elemen komedi, malah siri terbitan Opera Klasik itu mengetengahkan bintang popular seperti Erra Fazira, Nasha Aziz dan Aaron Aziz sebagai tunjang cerita.

Turut membintangi drama romantik 26 episod ini ialah Fouziah Gous, Syed Ali, Aleeza Kassim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Aida Rahim, Dee dan Norlia Ghani.

Antara lain siri terbabit mengisahkan seorang wanita keras kepala tetapi berhati mulia, Tona (Nasha), yang ingin menjadi jurugambar terbaik dan meletakkan karier pada tempat teratas dalam hidupnya. Tona berkawan dengan seorang lagi jurugambar, Shark (Aaron), yang bekerja keras kerana ingin membuktikan pada keluarga dia mampu melakukannya.


Tona dan Shark mempunyai hubungan cinta-benci, tetapi masing-masing tidak pernah meluahkan perasaan sehinggalah mereka sedar wujudnya cinta antara mereka. Tona mengalah dan mengikut kata hati untuk mencintai lelaki itu. Malangnya, dia mendapat tahu Shark sudah bertunang dengan Lisa (Erra).

Lisa pula hanya ingin membolot harta Shark, tetapi lelaki itu tidak dapat melawan kata-kata ibunya. Dek jalan ceritanya yang sedemikian, maka wujud beberapa babak yang menemukan pelakon Erra dan Nasha dalam suasana agak tegang. Babak begitu sudah semestinya menjadi tarikan ramai, apatah lagi Erra sendiri belum pernah menjayakan watak jahat yang cuba memisahkan dua insan saling mengasihi.

Begitupun, kata pelakon yang juga bekas ratu cantik itu, babak tegang antara dirinya dan Nasha dibuat dengan gaya lebih bercita rasa tinggi apabila tidak ada adegan tarik rambut atau tampar menampar dipaparkan.

Bak kata pengarahnya pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama bersiri itu di Bukit Damansara baru-baru ini, babak ‘gaduh’ dua pelakon terkenal itu dirakam dalam bentuk lebih bertamadun.

Nasha menjelaskan, babak gaduh secara fizikal tidak dimuatkan kerana ingin mendidik masyarakat supaya menjauhkan budaya tidak elok.

"Episod 13 ke atas ada menyaksikan babak watak lakonan saya diberikan amaran oleh Lisa. Terasa jugalah apabila diperlakukan sedemikian. “Namun, Tona dan Lisa sempat berbincang, apakah mereka mahu membawa pergaduhan itu ke peringkat fizikal atau sebaliknya. Mereka bersetuju untuk tidak melanjutkan pertengkaran hingga ke tahap berkenaan," cerita Nasha.

Dia dan Erra turut berbincang sebelum penggambaran dimulakan, apakah kedua-dua watak terbabit perlu dipaparkan bergaduh sehingga ke peringkat melampau atau sekadar bertikam lidah. Akhirnya, hanya kata-kata pedih yang menjadi medium meluahkan rasa.

Erra mengaku dia terkejut apabila mendapati watak Lisa agak kelam berbanding peranan lain yang pernah dipegangnya sebelum ini.

"Rashid bijak memujuk dengan mencabar saya untuk mencubanya. Lagipun, saya sudah lama berlakon dan sudah banyak watak baik saya jayakan. Jadi apa salahnya saya mencuba watak jahat pula? Penonton tahu, ini hanyalah lakonan,” katanya disulam ketawa kecil.

Akui Erra, bukan mudah membawakan watak jahat. Begitupun dia bertuah mendapat kerjasama daripada pengarah serta pelakon lain.

"Rasanya selepas ini biarlah saya berehat seketika daripada membawakan watak begitu. Lainlah kalau ia watak jahat yang benar-benar berbeza seperti pembunuh bersiri dan sebagainya," ujar Erra.

Aaron yang ditanya pengalamannya bekerja bersama dua aktres terbaik ini berkata, adalah tidak sukar untuk ‘mengendalikan’ dua pelakon terkenal berkenaan kerana mereka tidak bersikap ‘diva’ ketika di lokasi penggambaran.

"Cuma masalahnya bagi saya adalah dari segi kerja. Saya selalu terfikir, bagaimana hendak membawa diri di samping dua pelakon ini. Saya bimbang jika persembahan saya tidak sampai ke tahap mereka,” kata Aaron.

Rashid pula memberitahu, bekerja dengan dua pelakon wanita popular itu tidak memberikannya masalah kerana masing-masing mengerti apa yang dia mahukan.

"Saya biasa bekerja dengan Nasha. Erra pula senang memberikan kerjasama. Saya memberikan Erra watak jahat untuk mencipta kelainan. Bagaimanapun, ia bukannya watak hitam, tetapi watak kelabu, kerana Lisa sebenarnya berkelakuan begitu kerana terpaksa," jelas Rashid.

Pengarah terbabit turut menegaskan, dia tetap mengekalkan motto ‘menyentuh hati penonton’ menerusi drama terbaru arahannya itu. Justeru, ia masih mempunyai elemen yang sering ditampilkan olehnya dalam drama terdahulu - cinta, benci, dengki, dendam - pada ketika yang sama tampil dengan sebuah cerita yang relevan dengan kehidupan penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: