
LUMUT - Grade One Marine Shipyard Sdn. Bhd. (GOMS), syarikat pembina kapal bumiputera yang beroperasi di Kampung Aceh di sini berjaya membuktikan keupayaan apabila menyiapkan tempahan kapal ke-14 meskipun baru beroperasi empat tahun lalu.
Lebih membanggakan, kapal terbaru, Tanjung Dahan 1 yang ditempah anak syarikat Tanjung Offshore Berhad, Tanjung Kapal Services Sdn. Bhd. bernilai RM50 juta itu disiapkan awal dua bulan daripada jadual asal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Che Mansor Md. Rejab berkata, Tanjung Dahan 1 merupakan kapal pengendali penambat berkeupayaan tinggi dan berjaya disiapkan lebih awal tanpa menjejaskan kualiti sekali gus membuktikan GOMS setanding dengan pembina kapal antarabangsa.
"Ini membuktikan keupayaan syarikat pembinaan kapal bumiputera dan pencapaian ini membanggakan kami sekali gus menggembirakan pemilik kapal ini," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Tanjung Dahan 1 di dermaga GOMS di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: